Isu bau mulut adalah keadaan biasa yang dialami oleh kebanyakan individu selepas bangun tidur. Jom fahami punca mulut berbau dan cara untuk mengatasinya.
Bau mulut saat bangun pagi
Nafas waktu pagi atau morning breath adalah istilah biasa digunakan untuk menggambarkan bau mulut yang tidak menyenangkan apabila seseorang bangun tidur.
Ini adalah situasi yang sangat biasa untuk berlaku.
Dalam istilah perubatan, punca mulut berbau ini dikenali sebagai halitosis, menggambarkan nafas berbau kronik yang tidak hilang.
Berita baiknya, masalah bau mulut yang dialami setiap pagi ini boleh dicegah sama seperti punca halitosis yang lain.
Apakah punca mulut berbau waktu pagi?
Umumnya, terdapat beberapa penyebab punca masalah ini. Tetapi antara 2 faktor terbesar adalah mulut kering dan penjagaan kebersihan mulut (oral) yang buruk.
1. Mulut kering
Jika anda mempunyai tabiat penjagaan kebersihan mulut yang baik, kemungkinan besar keadaan mulut kering yang mengakibatkan bau mulut ini tidak akan terjadi.
Air liur bertanggungjawab menyingkirkan bakteria yang boleh menyebabkan bau.
Semasa kita tidur, pengeluaran air liur akan menurun dengan ketara. Jadi pertumbuhan bakteria adalah cepat pada saat ini.
Selain itu, pengambilan ubat-ubatan tertentu turut boleh menjadikan mulut kering, sekali gus mengakibatkan nafas selepas bangun tidur pada waktu pagi yang sangat tidak menyenangkan.
2. Penjagaan kebersihan mulut yang buruk
Tabiat kebersihan mulut yang buruk adalah penyebab biasa mulut berbau. Ini kerana mulut adalah tempat pembiakan bakteria yang paling baik.
Jika anda tidak menggosok gigi atau flos dengan cara yang betul, zarah makanan boleh tersekat di permukaan lidah, antara gigi atau pada tisu gusi kita.
Manakala bakteria yang berada dalam mulut pula akan memecahkan zarah makanan tersebut dan akhirnya mengakibatkan bau mulut tidak menyenangkan pada waktu pagi.
Nafas berbau ini juga boleh menjadi simptom penyakit periodontal, terutamanya jika kebersihan mulut tidak dijaga sebaiknya.
Penyakit ini akan menjejaskan gusi dan mengakibatkan jangkitan pada poket di bawah gusi yang menyebabkan halitosis kronik dan berterusan.
Umumnya, penyakit periodontal ini bermula sebagai gingivitis dan perlu mendapatkan rawatan dengan doktor gigi.
3. Pengambilan makanan tertentu
Apa yang masuk ke dalam tubuh juga boleh menjadi punca mulut berbau selepas bangun tidur.
Makan makanan berbau kuat pada waktu petang seperti bawang putih atau bawang mentah boleh menyebabkan nafas kurang enak pada keesokan harinya, walaupun anda menggosok gigi dengan baik.
Makanan berempah yang dimakan seseorang juga dapat mempengaruhi bagaimana bau nafasnya akan terjadi.
[embed-health-tool-bmi]
4. Merokok
Tabiat tidak sihat seperti merokok juga boleh menyebabkan bau mulut.
Seseorang individu mungkin tidak menyedari kesan merokok terhadap bau nafas mereka kerana tabiat tersebut melenyapkan keupayaan deria bau.
5. Masalah kesihatan
Individu dengan refluks gastrointestinal (GERD) – juga dikenali sebagai refluks asid, mungkin akan mengalami bau mulut kerana asid perut naik kembali ke esofagus ketika tidur malam.
Selain itu, diabetes yang tidak dirawat turut boleh menjadi penyebab bau nafas kurang menyenangkan.
Sesetengah jangkitan, seperti tonsilitis, sinusitis dan bronkitis – dan jangkitan kulat pada mulut, bibir dan lidah juga boleh memberi kesan buruk pada nafas.
Mengatasi masalah punca mulut berbau
Keadaan ini umumnya boleh dirawat. Paling penting anda mengambil berat apa yang dimasukkan ke dalam tubuh, seperti:
- Minum banyak air. Ini terutamanya sebelum tidur pada waktu malam. Ini menjadikan anda terhidrasi, mencegah mulut kering dan bau mulut daripada terjadi.
- Elakkan pengambilan makanan berbau kuat hampir dengan waktu malam, seperti bawang putih atau bawang. Elakkan juga minum kopi (walaupun tanpa kafein) selepas waktu tengah hari. Secara keseluruhannya, diet yang sihat dan seimbang akan membantu memperbaiki tahap kesihatan dan mengurangkan risiko punca mulut berbau.
- Meninggalkan tabiat merokok dapat memperbaiki nafas anda dengan serta-merta, sama ada pada waktu siang mahupun malam.
Sangat mustahak untuk mempraktikkan amalan penjagaan kebersihan mulut dengan baik bagi mencegah dan mengelakkan nafas berbau selepas bangun tidur.
Anda disarankan untuk:
- Gosok gigi selama 2 minit sebelum tidur dan juga menggunakan ubat kumur antiseptik bagi membunuh sebarang bakteria yang tertinggal.
- Anda juga perlu menggunakan pembersih lidah atau tongue scraper untuk menjaga kebersihan lidah.
Berjumpa doktor gigi
Biasanya, anda tidak perlu risau apabila bangun tidur dengan mulut berbau pada waktu pagi.
Jika seseorang individu mendapati bahawa nafas pada waktu pagi tidak hilang dengan rawatan konvensional seperti meningkatkan kebersihan mulut dan gigi serta mengelakkan mulut kering, dapatkan nasihat doktor gigi.
Pemeriksaan doktor gigi perlu dilakukan sekiranya:
- Mempunyai rasa atau bau yang tidak menyenangkan dalam mulut
- Mengalami simptom baharu lain selain bau mulut
- Meludahkan darah ketika menggosok gigi
Darah di dalam air liur ketika memberus gigi boleh menjadi tanda penyakit gusi dan memerlukan rawatan perubatan.
Sekiranya doktor gigi mendapati punca mulut berbau itu bukan disebabkan faktor mulut, anda mungkin dicadangkan untuk melakukan pemeriksaan doktor.