
Penglihatan merupakan antara deria yang paling penting kepada manusia. Walaupun kita cuba menjaga kesihatan mata dengan baik, masih terdapat beberapa maklumat yang salah mengenai penjagaannya. Dalam artikel ini, terdapat 3 fakta dan mitos, antara yang paling kerap didengar.
Mitos #1 – Penglihatan akan rosak duduk terlalu dekat dengan televisyen
Ketika anda masih kecil, anda mungkin pernah diberi amaran bahawa menonton televisyen terlalu dekat akan merosakkan mata anda. Walau bagaimanapun, ia adalah tidak benar sama sekali. Menonton televisyen pada jarak dekat tidak mendatangkan bahaya fizikal kepada mata, namun mata anda akan mengalami keletihan atau anda akan merasai sakit kepala apabila menghabiskan banyak masa menonton televisyen, LCD, skrin rata, komputer mahupun menonton filem 3-D. Jika anda tidak dapat mengelakkan kerja dalam keadaan atau situasi ini, ambil masa untuk rehatkan mata anda selama beberapa minit (atau jam).
Mitos #2 – Membaca dalam gelap memburukkan tahap penglihatan
Ramai ibu bapa melarang anak-anak mereka untuk membaca dalam keadaan gelap, atau cahaya suram kerana bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada mata. Sebenarnya, membaca dalam cahaya yang suram tidak menyebabkan kerosakan pada mata, ia hanya menjadikan proses pembacaan lebih sukar. Masyarakat pada masa dahulu hanya menggunakan lilin dan lampu gasolin untuk membaca dan bekerja, ia membuktikan pencahayaan yang suram tidak mendatangkan efek pada penglihatan. Walaupun begitu, cahaya yang terang dapat membantu mencegah keletihan pada mata dan memudahkan pembacaan.
Mitos #3 – Cermin mata membuatkan anda bergantung kepadanya
Pemakaian cermin mata membantu membetulkan penglihatan yang kabur, ia membantu untuk melihat dengan lebih jelas tetapi tidak menjadikan mata anda bergantung kepadanya. Cermin mata tidak mengubah apa-apa pada mata anda. Kenyataannya anda yang terbiasa untuk dapat melihat dengan jelas. Malah memakai cermin mata dengan preskripsi yang salah juga tidak akan merosakkan mata anda, cuma anda tidak dapat melihat dengan jelas
Fakta #1 – Pemanis buatan meningkatkan tahap sensitiviti mata kepada cahaya
Penggunaan pemanis tiruan seperti cyclamate membuatkan mata anda lebih sensitif pada cahaya. Faktor lain seperti antibiotik, pil kontraseptif, ubat tekanan darah tinggi, diuretik, dan ubat diabetes juga boleh meningkatkan sensitiviti mata kepada cahaya.
Fakta #2 – Mata juling boleh dirawat
Strabismus, adalah istilah perubatan untuk mata juling. Ia satu keadaan yang tidak akan pulih tanpa kaedah perubatan. Keadaan mata ini lebih mudah diperbetulkan pada usia yang muda. Oleh itu adalah penting untuk ibu bapa melakukan ujian mata pada anak anda pada usia muda; pertama pada anak anda masih bayi dan kali kedua ketika usia menjelang 2 tahun.
Fakta #3 – Lobak bantu perbaiki penglihatan
Lobak kaya dengan vitamin A, nutrisi penting untuk memberikan penglihatan yang baik. Pengambilan lobak akan membekalkan anda separuh jumlah vitamin A yang diperlukan untuk penglihatan yang baik. Walau bagaimanapun, lobak bukanlah satu-satunya makanan yang mengandungi vitamin A. Anda boleh mendapatkan nutrisi ini dalam susu, keju, kuning telur dan hati. Mempunyai diet makanan yang seimbang dengan pelbagai kandungan nutrisi dapat memberikan manfaat yang sama.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.