Mata Tiba-tiba Tersembul? Usah Biarkan! Ini Mungkin Petanda Masalah Mata Kronik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    Mata Tiba-tiba Tersembul? Usah Biarkan! Ini Mungkin Petanda Masalah Mata Kronik

    Exophthalmos, juga dikenali sebagai proptosis, adalah istilah perubatan bagi bebola mata tersembul atau terjojol.

    Ia boleh menyerang satu atau kedua-dua mata dan paling sering disebabkan oleh penyakit mata tiroid.

    Mata tersembul

    Mata yang terjojol, atau agak terkeluar daripada kedudukan normalnya, boleh menjadi tanda keadaan perubatan yang serius.

    Proptosis dan exophthalmos adalah istilah perubatan yang digunakan untuk menggambarkan mata yang tersembul.

    Sekiranya anda menghidap exophthalmos, terdapat risiko kecil saraf optik anda (yang menghantar isyarat antara mata dan otak anda) menjadi mampat, yang boleh mempengaruhi penglihatan anda secara kekal jika tidak dirawat dengan cepat.

    Dalam kebanyakan kes, bahagian putih mata anda tidak boleh kelihatan di atas iris anda (bahagian berwarna mata) tanpa mengangkat kelopak mata anda.

    Sekiranya mata putih anda muncul di antara iris dan kelopak mata atas anda, ini mungkin merupakan tanda tersembul yang tidak normal.

    Punca terjadinya exophthalmos

    exophthalmos

    Penyebab mata yang menonjol adalah hipertiroidisme, atau kelenjar tiroid yang terlalu aktif.

    Kelenjar tiroid anda terletak di bahagian depan leher anda, ia melepaskan beberapa hormon yang membantu mengawal metabolisme anda.

    Hipertiroidisme berlaku apabila tiroid anda melepaskan terlalu banyak hormon ini.

    Gangguan autoimun yang disebut penyakit Graves adalah penyebab hipertiroidisme dan mata yang terjojol.

    Penyakit Graves adalah gangguan sistem imun yang mengakibatkan pengeluaran hormon tiroid yang berlebihan (hipertiroidisme).

    Hormon tiroid mempengaruhi banyak sistem badan, jadi tanda-tanda dan gejala penyakit Graves boleh menjadi luas.

    Walaupun penyakit Graves boleh menyerang sesiapa sahaja, namun ia lebih kerap berlaku pada wanita dan individu yang berusia bawah 40 tahun.

    Tujuan rawatan utama adalah untuk mengurangkan jumlah hormon tiroid yang dihasilkan oleh badan dan mengurangkan tahap keparahan gejala.

    Dalam keadaan ini, tisu di sekitar mata anda menjadi radang dan ini menimbulkan kesan membonjol.

    Antara penyebab lain yang berpotensi menyumbang kepada keadaan ini termasuk:

    • Neuroblastoma, sejenis kanser yang boleh mempengaruhi sistem saraf simpatik
    • Leukemia, sejenis kanser yang boleh mempengaruhi sel darah putih
    • Rhabdomyosarcoma, sejenis kanser yang boleh berkembang di tisu lembut anda
    • Selulitis orbital, jangkitan yang boleh mempengaruhi tisu di sekitar mata anda
    • Hemangioma, kumpulan saluran darah yang tidak normal
    • Pendarahan di belakang mata anda disebabkan oleh kecederaan
    • Penyakit tisu penghubung, seperti sarcoidosis

    Diagnosis penyebab mata tersembul

    Sekiranya anda mengalami pembengkakan mata pada salah satu atau kedua-dua belah mata, buat temu janji dengan doktor anda secepat mungkin.

    Bersedia untuk berkongsi sejarah perubatan lengkap anda dengan mereka, termasuk senarai ubat-ubatan dan makanan tambahan yang anda ambil.

    Mereka juga akan ingin mengetahui perincian gejala anda, seperti:

    • Bilakah pertama kali anda menyedari bahawa mata anda mulai terjojol?
    • Adakah ia semakin teruk sejak masa itu?
    • Adakah anda mempunyai simptom lain, terutamanya sakit kepala atau perubahan visual?

    Setelah menjalankan ujian fizikal, doktor anda boleh mengarahkan satu atau lebih ujian, ini termasuk:

    • Ujian penglihatan
    • Ujian lampu celah, di mana doktor akan menggunakan mikroskop kuasa rendah dan cahaya intensiti tinggi untuk memeriksa struktur di bahagian depan mata anda
    • Ujian pencitraan, seperti imbasan CT atau MRI
    • Ujian darah

    Komplikasi exophthalmos

    Bergantung terhadap apa yang menyebabkan mata anda sebegitu, anda mungkin juga mengalami gejala yang berkaitan.

    Contohnya, jika exophthalmos disebabkan oleh penyakit mata tiroid, mata anda juga mungkin:

    • Meradang, merah dan menyakitkan
    • Kering
    • Menitiskan air mata
    • Sensitif terhadap cahaya (fotofobia)

    Sekiranya anda mengalami exophthalmos yang teruk, anda mungkin tidak akan dapat menutup mata dengan betul.

    Ini boleh merosakkan tisu lutsinar yang menutup bahagian depan mata anda (kornea) dengan menyebabkannya kering.

    Sekiranya kornea anda menjadi sangat kering, jangkitan mungkin boleh timbul dan ini boleh merosakkan penglihatan anda jika tidak dirawat.

    Rawatan bagi mata yang tersembul

    Pelan rawatan untuk anda yang mungkin dicadangkan bergantung kepada penyebab mata anda menjadi sebegitu.

    Sebagai contoh, bergantung pada diagnosis anda, doktor mungkin menetapkan satu atau lebih daripada perkara berikut:

    titisan mata

    • Ubat titis mata
    • Antibiotik
    • Kortikosteroid untuk meredakan keradangan
    • Pembedahan mata
    • Pembedahan, kemoterapi, atau radiasi

    Sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit Graves atau keadaan tiroid lain, doktor anda mungkin mengesyorkan:

    • Ubat-ubatan, seperti beta-blocker atau ubat antitiroid
    • Iodin radioaktif atau pembedahan untuk memusnahkan atau membuang kelenjar tiroid anda
    • Penggantian hormon tiroid jika kelenjar tiroid anda telah dikeluarkan

    Sekiranya anda mempunyai masalah mata yang berkaitan dengan hipertiroidisme, merokok boleh menjadikannya lebih teruk.

    Berhenti merokok boleh mengurangkan gejala anda!

    Doktor anda mungkin mengesyorkan kombinasi ubat preskripsi, terapi penggantian nikotin, atau kaunseling untuk membantu anda berhenti merokok.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan