Masalah berkaitan dengan mata yang paling kerap terjadi akibat air berklorin termasuklah:

- Konjunktivitis: Jangkitan boleh terbentuk sama ada disebabkan oleh bakteria atau virus dan ia hidup di dalam air. Ia menyebabkan mata alami kegatalan dan kemerahan.
- Mata merah: Klorin mengeringkan mata dan, seperti yang disebutkan di atas, menghilangkan lapisan air mata. Ini mengakibatkan penglihatan kabur, tetapi biasanya hanya bersifat sementara. Kemerahan berlaku apabila saluran darah berdekatan permukaan mata anda menjadi lebih besar dan melebar.
- Acanthamoebic keratitis: Amoeba adalah organisma sel tunggal yang hidup di dalam air atau sebagai parasit, yang menjadikan kolam renang sebagai medium yang ideal untuk menyebarkannya. Sekiranya anda berenang dengan memakai kanta lekap, anda berisiko terkena Acanthamoebic keratitis, kerana bakteria tersebut akan terperangkap di antara kornea dan kanta lekap. Hal ini boleh menyebabkan ulser kornea, penglihatan rosak secara kekal dan menyebabkan jangkitan teruk! Dalam kes yang paling parah, pesakit bakal memerlukan pemindahan kornea untuk bantu mengembalikan penglihatan mereka.
Sains di sebalik air klorin…
Punca utama terjadinya kerengsaan mata setelah berenang adalah kerana tahap pH klorin.
Tahap pH normal air ialah 7 (neutral); di bawah 7 menunjukkan tahap lebih berasid, dan nilai di atas 7 menunjukkan tahap alkali.
PH air kolam harus berada di antara 7.2 dan 7.8 agar selamat digunakan perenang, di samping memastikan tahap bakteria kekal rendah.
Sebaik-baiknya, klorin di kolam renang mempunyai pH 6.5 yang membuatkannya 100% berkesan terhadap bakteria.
Walau bagaimanapun, 6.5 akan menjadi terlalu berasid untuk kulit kita, itulah sebabnya tahap yang disyorkan adalah antara 7.2 ke 7.8.
Pada kadar PH yang kurang berasid ini, klorin tidak dapat mematikan kuman, lemak dan minyak di dalam air dengan berkesan, menyebabkan bakteria dan risiko jangkitan masih wujud.
Justeru, kerengsaan serta jangkitan mata boleh tercetus kerana klorin tidak dapat berfungsi dengan baik.
Begitu juga bagi masalah kegatalan mata yang berlaku dek kandungan klorin yang berlebihan di dalam air.
Pokok pangkalnya, mencari keseimbangan PH yang tepat adalah mustahak!
Bagaimana pula jika berenang di dalam air tawar?

Sekiranya anda berenang di dalam air yang tidak dirawat dengan klorin, seperti sungai atau tasik, kalian sebenarnya berhadapan risiko lebih besar untuk terkena jangkitan mata!
Apabila mata anda terdedah kepada air sebegini, lapisan air mata semula jadi yang melindungi kornea daripada bakteria akan menghilang.
Seperti yang telah penulis terangkan, perkara ini bakal menyebabkan mata anda terjejas terhadap kekotoran dan bakteria yang terkandung di dalam air.
Oleh itu, pemakaian pelindung mata goggles menjadi cara terbaik untuk melindungi mata daripada klorin dan bakteria yang terkandung sama ada di kolam renang atau tasik air tawar.
Tetapi jika anda tidak memilikinya dan masih ingin berenang, yakinlah bahawa pada tahap PH yang disyorkan, klorin dianggap selamat untuk mata anda.
Tambah lagi, dengan membilas mata menggunakan air yang bersih dan sejuk setelah berenang adalah cara mudah untuk melegakan sebarang kerengsaan.
Ubat titis mata juga merupakan kaedah mudah untuk sakit mata, menjadikannya barangan penting untuk dibawa bersama ke kolam renang pada musim panas ini!