Ketidakseimbangan hormon boleh menjadi punca pelbagai masalah berkaitan kesihatan, tidak kira sama ada kepada lelaki mahupun wanita.
Dalam perkongsian artikel ini, Hello Doktor akan menjelaskan kesan hormon yang tidak seimbang kepada individu lelaki.
Keadaan kesihatan berkaitan perubahan hormon
Perubahan hormon sukar untuk dikendalikan, terutamanya jika anda tidak menyedari bagaimana bahan kimia dalam tubuh berfungsi.
Dengan pertambahan usia, terdapat perubahan pada fungsi tubuh, pola tidur, dan tahap tenaga – yang biasanya dikaitkan dengan ‘penuaan’.
Namun, apa yang tidak diketahui ramai adalah perubahan yang berlaku disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai ‘ketidakseimbangan hormon’.
Apa itu ketidakseimbangan hormon?
Hormon adalah bahan kimia di dalam tubuh yang dihasilkan oleh kelenjar endokrin.
Hormon akan bergerak melalui aliran darah untuk mencapai organ dan tisu tubuh serta mengatur fungsi seperti:
- Selera makan dan metabolisme
- Kitaran tidur
- Kadar degupan jantung
- Fungsi seksual dan pembiakan
- Pertumbuhan dan perkembangan keseluruhan
- Tahap mood dan tekanan
- Suhu badan
Ketidakseimbangan hormon berlaku apabila tubuh menghasilkan terlalu banyak atau terlalu sedikit hormon penting dalam aliran darah.
Walaupun keadaan ini tidak mendatangkan bahaya, namun situasi ketidakseimbangan besar boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan diri.
Jenis hormon tidak seimbang pada lelaki
Dalam kesihatan, testosteron dianggap sebagai hormon lelaki utama, selain hormon seperti kortisol, insulin dan tiroid.
Keadaan hormon yang tidak seimbang ini boleh menyebabkan salah satu daripada 4 jenis ketidakseimbangan hormon utama pada lelaki.
-
Andropaus
Tahap testosteron rendah boleh menyebabkan andropaus, atau lebih dikenali sebagai ‘menopaus lelaki’.
-
Keletihan adrenal
Tahap kortisol yang rendah bergabung bersama hormon stres, boleh menyebabkan keletihan adrenal. Selalunya berpunca daripada pendedahan yang lama terhadap tekanan.
-
Hipotiroidisme
Kelenjar tiroid yang tidak aktif mengakibatkan pengeluaran hormon rendah, sekali gus menyebabkan hipotiroidisme.
-
Hipertiroidisme
Keadaan ini pula berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif, secara tidak langsung meningkatkan metabolisme dan menghasilkan hormon dalam jumlah yang tinggi.
Jika perlu, ia boleh dikeluarkan melalui proses pembedahan.
Punca hormon tidak seimbang
Terdapat banyak punca yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon pada lelaki. Sebab utama termasuklah:
- Pendedahan yang berpanjangan kepada tekanan kronik
- Diabetes jenis 1 dan jenis 2
- Hiperglikemia dan hipoglikemia
- Hipotiroidisme dan hipertiroidisme
- Pemakanan dan pemakanan yang tidak seimbang
- Berat badan berlebihan, gemuk atau anoreksia
- Kawalan kelahiran atau ubat penggantian hormon
- Penggunaan steroid secara berlebihan
- Tumor hipofisis, tumor jinak, masalah kanser dan rawatan kanser
- Tahap kortisol tinggi atau rendah (Sindrom Cushing atau Penyakit Addison)
- Kekurangan iodin
- Kecederaan kelenjar endokrin
- Pankreatitis keturunan
Kenal pasti simptom ketidakseimbangan hormon
Setiap individu akan mengalami turun naik hormon sepanjang hayat mereka. Ia mungkin berlaku apabila sistem endokrin tidak berfungsi dengan optimum.
Kelenjar endokrin bertanggungjawab untuk menghasil, menyimpan dan melepaskan hormon ke dalam darah.
Kelenjar endokrin yang berbeza akan mengawal pelbagai aspek fungsi tubuh dan boleh menunjukkan gejala seperti:
- Penurunan berat badan secara tiba-tiba dan tidak dapat dijelaskan.
- Berpeluh berlebihan.
- Kesukaran tidur dan sakit kepala.
- Perubahan kepekaan panas dan sejuk.
- Kulit kering atau ruam kulit.
- Perubahan degupan jantung dan tekanan darah.
- Kerengsaan, kegelisahan, kemurungan.
- Peningkatan dahaga dan kerap membuang air kecil.
- Tulang rapuh atau lemah.
- Keletihan yang tidak dapat dijelaskan dan berpanjangan.
5 cara kembalikan keseimbangan hormon secara semula jadi
Ketidakseimbangan hormon adalah keadaan biasa yang berlaku pada hari ini selari dengan peningkatan usia.
Ia disebabkan oleh amalan gaya hidup yang serba pantas serta diet pemakanan yang tidak sihat, selain kurang melakukan aktiviti fizikal.
Walau bagaimanapun, ada cara untuk mengekalkan tahap hormon agar sentiasa seimbang secara semula jadi.
Berikut adalah beberapa petua yang boleh diamalkan oleh kaum lelaki:
1. Tambahkan protein yang mencukupi dalam makanan
Protein memberikan asid amino penting dalam tubuh yang membantu mengekalkan kesihatan otot, kulit dan tulang.
Selain itu, protein juga mempengaruhi pembebasan hormon ghrelin dan leptin, yang mengawal selera makan
2. Lakukan senaman fizikal secara berkala
Sudah tentu tabiat sihat ini secara tidak langsung dapat mengelakkan ketidakseimbangan hormon.
3. Elakkan pengambilan gula dan karbohidrat diproses
Pastikan kadar gula dan karbohidrat terkawal untuk mengelakkan penyakit diabetes, obesiti, dan penyakit lain.
4. Menguruskan tekanan dengan berkesan
2 hormon utama yang dipengaruhi oleh tekanan adalah kortisol dan adrenalin.
Cuba peruntukkan sedikit masa dalam sehari untuk melakukan perkara yang membantu mengurangkan tahap tekanan.
5. Pengambilan lemak sihat
Masukkan lemak semula jadi berkualiti tinggi seperti ikan berlemak, avokado, coklat gelap, telur, dan kekacang.
Ini dapat membantu mengurangkan daya tahan insulin dan selera makan serta menjaga hormon agar sentiasa dalam keadaan terkawal.
Kesimpulan
Pemakanan berkhasiat dan pilihan gaya hidup sihat dapat membantu menjaga kesihatan hormon anda.
Walau bagaimanapun, berjumpalah dengan doktor dan bincangkan diet terbaik yang bersesuaian dengan anda, okay kaum Adam?