backup og meta

Orang Obesiti Berisiko Tinggi Hidap Kanser? Jaga-jaga!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/02/2022

    Orang Obesiti Berisiko Tinggi Hidap Kanser? Jaga-jaga!

    Tahukah anda kesan obesiti atau berat berlebihan boleh meningkatkan risiko seseorang untuk terdedah kepada penyakit kanser. Rasa seperti tiada kaitan, bukan? Ikuti penjelasan lanjut dalam artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Masalah obesiti

    Tahukah anda, Malaysia merupakan negara yang mempunyai penduduk dengan berat badan berlebihan dan obes yang tertinggi di rantau Asia?

    Hampir 64% lelaki dan 65% wanita di Malaysia tergolong dalam kumpulan berat badan berlebihan ataupun obes. 

    Statistik ini menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan!

    Pelbagai jenis masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan penyakit metabolik yang lain sering dikaitkan dengan kesan obesiti.

    Terdapat bukti kukuh bahawa berat badan yang berlebihan merupakan salah satu punca seseorang itu menghidap pelbagai jenis kanser.

    Sebagai contoh, anda lebih berisiko untuk menghidap kanser perut, kolorektal, hati, ovari, prostat dan lain-lain jika anda merupakan individu yang mempunyai berat badan berlebihan.

    Namun, risiko terbesar adalah dalam kalangan wanita yang sudah menopaus. Mereka yang obes lebih berisiko untuk menghidap kanser payudara berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.

    Untuk pengetahuan anda,risiko kanser mungkin berbeza mengikut tempoh masa seseorang itu obes.

    Oleh sebab itu, individu yang kekal obes sepanjang usia dewasa mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser.

    Risiko alami kanser meningkat kesan obesiti?

    kesan obesiti

    Berat badan berlebihan dan obesiti merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan kanser.

    Menurut kajian oleh American Cancer Society, berat badan yang berlebihan berkait rapat dengan 11% kanser dalam kalangan wanita dan hampir 5% kanser dalam kalangan lelaki.

    Ada banyak punca yang menyebabkan seseorang itu menjadi obes. Antaranya ialah masalah genetik, emosi, hormon, dan persekitaran.

    Selain itu, individu yang mempunyai berat badan berlebihan bukan sahaja mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap kanser, mereka juga berkemungkinan tinggi mendapat penyakit lain seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

    Tetapi, apa sebenarnya faktor yang mengaitkan kanser dengan kesan obesiti?

    Perkara yang mengaitkan kanser dan berat badan yang berlebihan masih belum difahami dengan sepenuhnya oleh saintis.

    Sebagai contoh, mereka mendapati berat badan memainkan peranan dalam meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita selepas menopaus.

    Walaupun begitu, faktor ini tidak meningkatkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita sebelum menopaus. Sehingga hari ini, mereka gagal untuk menemui punca sebenar yang mengaitkan antara berat badan dan kanser.

    Menurut kajian, ada beberapa sebab mengapa obesiti dikaitkan dengan punca kanser. Antaranya ialah:

    1. Peningkatan tahap insulin dan faktor pembesaran insulin (insulin growth factor –IGF-1) yang berpotensi untuk menjadi ‘bahan api’ untuk kanser.
    2. Inflamasi kronik dalam kalangan individu yang obes.
    3. Jumlah hormon estrogen yang dihasilkan oleh tisu lemak dalam badan boleh membantu perkembangan sel kanser.

    Ini perkara yang anda perlu lakukan untuk cegah kesan obesiti!

    kesan obesiti

    Jangan berlengah lagi jika anda tergolong dalam kumpulan yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Anda perlu lakukan sesuatu untuk menurunkan berat badan kepada paras yang normal.

    Malah, jika berjaya menurunkan berat badan anda sebanyak 5% ke 10%, itu sudah cukup untuk membantu kesihatan anda secara keseluruhan.

    Kadang kala, senaman sahaja tidak cukup untuk menurunkan berat badan tapi jika anda ingin lakukan sesuatu untuk ke arah itu, maka anda boleh lakukan ini: 

    1. Lakukan perubahan dari segi gaya hidup

    Pastikan anda komited untuk berubah untuk mencegah kesan obesiti. Bukan mudah untuk melakukan perubahan dari segi gaya hidup. Anda boleh bermula dengan mencatatkan target berat badan supaya boleh lakukan pelan senaman dan diet yang bersesuaian.

    Selain itu, anda juga boleh menulis sebab anda ingin menurunkan berat badan. Ramai yang rasa lebih bersemangat selepas mereka menulis target mereka di atas sekeping kertas.

    Anggaplah kertas tersebut umpama kontrak anda dengan diri sendiri! Anda boleh lekatkan kertas ini pada dinding di bilik tidur sebagai peringatan untuk anda tetapkan disiplin untuk menurunkan berat badan.

    Baca juga:

    2. Turunkan berat badan berlebihan dengan sihat

    Jika anda ingin turunkan berat badan dengan sihat, anda mungkin memerlukan bantuan daripada pihak yang lebih pakar.

    Doktor akan melihat berat badan dan tinggi anda serta menjelaskan kepada anda mengenai risiko kesihatan yang akan dialami supaya pesakit lebih faham mengenai kondisi diri. 

    Selain itu, perhatikan juga gaya hidup anda. Pastikan anda peka terhadap perkara yang boleh mengganggu diri daripada menurunkan berat badan.

    Contohnya, adakah anda mempunyai kerja sedentari? Adakah anda mempunyai masa untuk bersenam? Adakah anda ambil makanan manis kerana ahli keluarga anda yang menyediakan makanan tersebut?

    kesan obesiti

    3. Pastikan anda mempunyai sokongan untuk bantu atasi kesan obesiti!

    Turun berat badan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Oleh itu, pastikan anda mempunyai sokongan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga supaya kekal bersemangat!

    Perubahan dari segi gaya hidup lebih mudah untuk dilakukan jika anda mempunyai kumpulan yang boleh menyokong. 

    Anda mungkin mempunyai rakan atau ahli keluarga dengan matlamat yang sama. Oleh itu, anda boleh bertukar-tukar pendapat tentang kesan obesiti ini dan kongsi resepi yang sihat bersama-sama!

    #OpenYourMind #CelikKanser

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan