home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

FAKTA! Lelaki Lebih Mudah Jatuh Sakit Daripada Wanita, Puncanya Hormon Ini!

FAKTA! Lelaki Lebih Mudah Jatuh Sakit Daripada Wanita, Puncanya Hormon Ini!

Pernah tak anda terfikir, kenapa lelaki lebih mudah jatuh sakit berbanding dengan wanita? Jawapannya ada kaitan dengan hormon.

Bagi yang tidak tahu, lelaki memang mempunyai tahap imuniti yang lebih rendah berbanding dengan wanita.

Perkara ini telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang menunjukkan kecenderungan lelaki untuk dijangkiti oleh virus selesema.

Melaluinya, kita boleh ambil beberapa isi penting seperti:

  1. Lelaki lebih berisiko dijangkiti.
  2. Jika mereka mendapat jangkitan, simptom mereka lebih teruk dan tahan lebih lama.
  3. Lebih ramai lelaki yang dimasukkan ke dalam hospital akibat jangkitan seperti influenza.
  4. Risiko kematian mereka juga lebih tinggi akibat jangkitan virus.

Mungkin anda mula garu kepala, kenapa perkara ini berlaku?

Artikel ini akan membincangkan salah satu punca mengapa tahap imuniti lelaki kelihatan lebih lemah berbanding dengan wanita.

Sistem imun lemah, semuanya berpunca daripada hormon lelaki

sistem imun lemah

Kita tahu, proses biologi wanita sememangnya mudah terkesan oleh perubahan hormon di dalam badan.

Mereka mengalaminya setiap bulan berdasarkan kepada kitaran haid masing-masing.

Apa yang mungkin anda tidak tahu, terdapat juga hormon di dalam tubuh lelaki yang mempengaruhi fungsi biologi seperti imuniti.

Hormon tersebut adalah testosteron.

Kajian pada tahun 2014 yang telah diterbitkan di sebuah laman jurnal terkemuka PNAS telah merumuskan hipotesis tersebut.

Dapatan menunjukkan paras testosteron yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan tindak balas imun yang rendah terhadap vaksin influenza.

Ini menyebabkan mereka lebih mudah untuk dijangkiti oleh virus terbabit.

Keadaan menjadi lebih jelas apabila subjek lelaki dengan paras testosteron rendah dan subjek wanita mengalami tindak balas vaksin yang baik.

Mereka lebih terlindung oleh fungsi vaksin daripada jangkitan influenza berbanding dengan subjek yang mempunyai paras testosteron tinggi.

Ia memberikan perspektif baharu kepada saintis pada ketika itu berkenaan dengan kenapa lelaki lebih mudah dijangkiti bakteria atau virus berbanding dengan wanita.

Bagaimana testosteron boleh menyebabkan sistem imun lemah?

sistem imun lemah

Sistem imun badan melindungi manusia daripada dijangkiti oleh mikroorganisma asing seperti virus, bakteria dan kulat.

Mereka boleh diumpamakan sebagai askar yang mengawal sempadan negara daripada ancaman anasir luar.

Bagi sesetengah penyakit seperti influenza dan sebagainya, kita mempunyai vaksin yang boleh ‘mengajar’ sistem imun untuk mencipta senjata (antibodi) bagi menghindarkan jangkitan apabila badan cuba dimasuki oleh virus tersebut kelak.

Kebolehan badan untuk menghasilkan antibodi akan bergantung kepada tahap kekuatan sistem imuniti semasa bertindak balas dengan vaksin.

Dalam kajian PNAS, pengkaji memberikan tumpuan terhadap sejenis protein yang mengisyaratkan sistem imun badan dalam kalangan 53 subjek wanita dan 34 subjek lelaki, selepas diberikan suntikan virus selesema.

Secara mudahnya, jika seseorang itu mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat, protein tersebut akan memberikan tindak balas yang hebat.

Walau bagaimanapun, satu gen spesifik pada lelaki yang diberi nama modul 52 mempunyai peningkatan pada corak aktiviti bergantung kepada paras hormon lelaki, testosteron.

Jika tinggi testosteron maka tinggilah aktiviti oleh gen tersebut.

Malang bagi nasib kaum Adam, apabila gen itu teraktif, ia juga menurunkan kadar tindak balas sistem imun terhadap virus yang memasuki badan.

Hasilnya protein pengisyaratan sistem imun tidak banyak memberikan tindak balas dalam kalangan lelaki.

Dapatan ini menunjukkan ada kemungkinan mekanisme di sebalik perbezaan di antara tahap sistem imun lelaki dan wanita terletak pada faktor genetik.

Hormon estrogen boleh meningkatkan fungsi sistem imun manakala testosteron pula merendahkannya.

Ini bermakna wanita mempunyai tindak balas yang lebih baik terhadap vaksin dan lelaki lebih mudah mendapat jangkitan.

Adakah ini bermakna testosteron tidak baik untuk lelaki?

hormon testosteron

Jawapannya, TIDAK.

Ada hikmah di sebalik perbezaan di antara kekuatan sistem imun lelaki dan wanita.

Sebagai contoh, kehamilan.

Wanita yang hamil mempunyai paras estrogen yang tinggi. Ini bermakna sistem imun mereka berada pada paras yang optimum untuk melindungi bayi dan diri mereka.

Walau bagaimanapun, wanita lebih berisiko menghidap masalah autoimun (sistem imun menyerang sel badan sendiri).

Mereka juga mempunyai peluang yang rendah untuk hidup selepas mengalami tindak balas imun yang teruk dipanggil sebagai ribut sitokin.

Bagi lelaki pula, kelebihan yang diberikan oleh testosteron dapat dilihat dalam konteks evolusi.

Secara umumnya, walaupun badan mereka tidak berupaya untuk melawan jangkitan secara optimum, sistem imun lemah lebih membantu lelaki untuk menghadapi trauma dan kecederaan.

Pertempuran di antara lelaki sememangnya perkara biasa.

Oleh sebab mereka tidak mempunyai tindak balas sistem imun berlebihan, mereka mempunyai kelebihan terhadap kecederaan yang dialami selepas pertempuran selesai.

Konklusi

Kajian PNAS menimbulkan isu yang sangat penting berkaitan dengan keberkesanan vaksin influenza terhadap jantina yang berlainan.

Sudah tentu, ini tidak bermakna anda tidak perlu mengambil vaksin jika anda lelaki.

Namun ia merungkaikan gambaran bahawa sistem imun ini tidaklah semudah yang disangka.

Jangan pula anda cuba merendahkan hormon testosteron di dalam badan.

Mereka yang mempunyai paras hormon tersebut yang rendah mudah mendapat masalah tulang dan kardiovaskular.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Systems analysis of sex differences reveals an immunosuppressive role for testosterone in the response to influenza vaccination. (http://www.pnas.org/content/early/2013/12/20/1321060111.full.pdf). Diakses pada 16 November 2020.
  2. “Man flu” may be real. (https://www.bmj.com/company/newsroom/man-flu-may-be-real/). Diakses pada 16 November 2020.
  3. Why Sickness and Health Can Look Different for Women Than Men. (https://www.hopkinsmedicine.org/research/advancements-in-research/fundamentals/in-depth/why-sickness-and-health-can-look-different-for-women-than-men). Diakses pada 16 November 2020.

 

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 24/11/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor