backup og meta

Mulut Anak Kerap Tumbuh Mata Ikan? Ini Cara Rawat Ulser Yang Selamat Untuk Si Kecil

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/12/2022

    Mulut Anak Kerap Tumbuh Mata Ikan? Ini Cara Rawat Ulser Yang Selamat Untuk Si Kecil

    Apabila anak mengalami ulser mulut atau dalam sebutan paling mudah difahami – mata ikan, sudah tentu akan menyebabkan mereka susah untuk makan. Pastinya anda sedang tercari-cari ubat ulser kanak kanak yang boleh diberikan, betul tak?

    Ulser mulut adalah luka kecil di dalam mulut. Biasanya ia terjadi pada bahagian dalam bibir atau pipi, lelangit mahupun pada lidah.

    Dalam perkongsian artikel ini ada cara merawatnya dengan menggunakan ubat ulser lidah kanak kanak serta penjelasan mengenai punca keadaan ini terjadi kepada si kecil.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Ubat ulser kanak kanak: Fahami puncanya

    Secara tepatnya tiada siapa boleh menentukan punca sebenar ulser mulut atau disebut sebagai aphthous ulcer ini terjadi. Banyak faktor dipercayai menyumbang kepada risiko terjadinya ulser.

    Diet mungkin turut memainkan peranan. Ini kerana mereka yang kurang pengambilan asid folik, vitamin B12 dan zat besi dikatakan lebih cenderung mengalami mata ikan, begitu juga dengan mereka yang mempunyai alahan makanan.

    Si kecil juga boleh mendapat ulser jika dia tergigit lidah atau bahagian dalam pipi, memberus gigi terlalu kuat dan merosakkan lapisan nipis di dalam mulut. Penyebab lain adalah jangkitan, pengambilan makanan tertentu dan juga tekanan.

    Kandungan sodium lauryl sulfate (SLS) dalam kebanyakan ubat gigi dan ubat kumur turut dikaitkan dengan pengembangan ulser mulut. Ada kalanya, ulser yang terjadi boleh menjadi tanda wujudnya masalah dalam sistem imun tubuh.

    Perkara paling penting harus difahami para ibu bapa adalah ulser mulut ini tidak akan berjangkit kepada orang lain.

    Simptom ulser 

    Sudah tentu, sebelum mengetahui apakah ubat ulser kanak kanak yang sesuai diberikan kepada si kecil, anda harus mengenal pasti simptom untuk mengesahkan bahawa anak mempunyai mata ikan.

    Umumnya, setiap kanak-kanak mungkin akan mengalami simptom yang agak berbeza. Berikut merupakan antara simptom ulser yang paling biasa dialami:

    • Luka yang menyakitkan di dalam mulut – selalunya di bibir, bahagian dalam pipi atau pada lidah
    • Luka berwarna putih atau kelabu dengan dikelilingi warna merah
    • Mengalami kesukaran untuk makan atau bercakap kerana luka
    • Dalam kebanyakan kes tidak menyebabkan demam

    Baca juga:

    Kaedah mendiagnosis ulser mulut 

    Ulser mulut adalah keadaan yang selalu terjadi dan biasanya tidak menyebabkan kebimbangan. Walaupun ia boleh dirawat dengan memberikan ubat ulser kanak kanak, namun tidak bermakna keadaan ini harus diabaikan.

    Ini kerana jika anak mengalami mata ikan yang berlanjutan lebih daripada 2 minggu atau tidak boleh makan mahupun minum kerana kesakitan dialami, anda harus membawa mereka untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

    Kekerapan ulser mulut sehingga lebih daripada 2 atau 3 kali dalam setahun juga perlu mendapatkan pemeriksaan.

    Biasanya tiada ujian perlu dilakukan untuk mendiagnosis ulser, kerana doktor boleh mengenal pastinya berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal sahaja.

    Sekiranya anak mengalami banyak ulser atau luka yang dialami teruk, doktor mungkin ingin melakukan ujian untuk menentukan kemungkinan mereka mengalami kekurangan nutrisi (malnutrisi), sistem imun lemah, alahan makanan atau lain-lain.

    Rawatan & ubat ulser kanak kanak

    Kebanyakan masalah ulser mulut akan sembuh sendiri dalam tempoh masa 7 hingga 14 hari. 

    Di samping itu, anda juga boleh melakukan perkara berikut di rumah untuk mengurangkan simptom ulser, seperti:

    ubat ulser kanak kanak

    Ubat ulser lidah kanak kanak #Ubat OTC

    Ubat yang terjual di farmasi seperti ibuprofen atau acetaminophen, berfungsi untuk merawat sakit dan demam.

    Tetapi anda tidak boleh memberikan ibuprofen kepada anak di bawah usia 6 tahun. Aspirin juga tidak boleh diberikan kepada anak di bawah usia 16 tahun melainkan atas arahan doktor.

    Pengambilan aspirin boleh mengakibatkan anak berisiko mengalami sindrom Reye. Ia merupakan gangguan yang jarang berlaku tetapi sangat serius – boleh menjejaskan fungsi otak dan hati.

    Cecair antasid, salah satu ubat ulser kanak kanak

    Penggunaan cecair antasid 4x sehari boleh membantu mengurangkan kesakitan yang dirasai anak.

    Bagi kanak-kanak berusia lebih daripada 6 tahun, 1 sudu teh (5mL) cecair ini boleh diberikan sebagai ubat kumur selepas makan

    Manakala bagi anak yang lebih kecil, sapukan cecair antasid ini pada ulser muka menggunakan kapas.

    Rawatan berikut pula hanya sesuai dilakukan kepada anak yang berumur 4 tahun ke atas:

    Ubat kumur

    Minta anak untuk membilas mulutnya dengan air garam atau dengan campuran air suam bersama soda penaik (baking soda)

    Ubat kumur ini bertujuan untuk mengelakkan jangkitan kuman yang boleh berlaku disebabkan kanak-kanak tersebut tidak dapat memberus gigi atau membersihkan mulut seperti biasa.

    ubat ulser kanak kanak

    Sapuan gel, salah satu ubat ulser kanak kanak

    Petua meletakkan ubat sapu di dalam mulut – pastikan anak telah makan terlebih dahulu sebelum menyapu ubat. 

    Bersihkan kawasan dalam mulut dengan tuala lembut atau bebola kapas dan pastikan kawasan tersebut agak kering. Gunakan putik kapas untuk menyapu ubat tersebut di kawasan dalam mulut yang sakit. 

    Pastikan anak tidak makan atau minum sekurang-kurangnya 30 minit selepas ubat disapu bagi memastikan ubat kekal pada luka.  

    Kini anda sudah mengetahui ubat ulser lidah kanak kanak yang sesuai diberikan. Jika keadaan semakin teruk atau berlanjutan lebih daripada 14 hari, jangan teragak-agak untuk membawa anak mendapatkan pemeriksaan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan