home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Selalu Rasa Diri Bukan Ibu Bapa Terbaik? Bertenang, Kami Ada Tip Yang Boleh Anda Cuba

Kemahiran keibubapaan|Tips keibubapaan untuk menjadi ibu bapa efektif|Kategori gaya keibubapaan|Pentingnya kemahiran keibubapaan
Selalu Rasa Diri Bukan Ibu Bapa Terbaik? Bertenang, Kami Ada Tip Yang Boleh Anda Cuba

Untuk menjadi ibu bapa terbaik mungkin mencabar. Namun, ia boleh diatasi jika anda mempunyai kemahiran keibubapaan. Berikut antara tips keibubapaan yang perlu dimiliki.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

 

 

Kemahiran keibubapaan

Antara pekerjaan yang paling mencabar di dunia adalah untuk membesarkan anak-anak serta menjadi ibu bapa terbaik buat mereka.

Anda boleh mencapai impian tersebut jika terdapat peraturan yang diwujudkan sebagai bantuan ketika membesarkan anak-anak.

Peraturan tersebut yang dilaksanakan dengan ilmu keibubapaan pastinya dapat membantu melahirkan insan bersifat penyayang, bertanggungjawab, mampu berdikari serta mempunyai rasa empati dan hormat.

Sebagai manusia biasa, adakalanya kita tidak lari daripada melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugasan sebagai ibu bapa. Itu adalah fitrah kehidupan.

Tetapi itu bukan bermakna anda tidak boleh menjadi ibu bapa yang terbaik buat mereka.

Perkara paling penting perlu anda kuasai dalam kemahiran keibubapaan adalah mempunyai kesabaran yang tinggi untuk membesarkan mereka.

Tips keibubapaan untuk menjadi ibu bapa efektif

Membesarkan anak-anak sememangnya memerlukan kesabaran tinggi dan adakalanya anda mungkin akan berasa seperti sudah tidak mampu untuk melakukannya.

Bertenang…

Walau sesukar manapun cabaran perlu ditempuhi, namun dengan kemahiran keibubapaan berikut pastinya dapat membantu memudahkan tugasan anda.

kemahiran keibubapaan

1. Tingkatkan harga diri anak

Dalam ilmu keibubapaan, segala apa yang anda lakukan sama ada melalui tindakan, kata-kata mahupun ekspresi wajah akan mempunyai pengaruh besar dalam peningkatan harga diri mereka.

Pujian yang diberikan walaupun kecil, akan membuatkan mereka berasa bangga.

Membenarkan anak untuk melakukan apa yang diingini dapat menjadikan mereka lebih kuat dan mampu berdikari.

Sebaliknya, tindakan sesetengah ibu bapa yang gemar memperlekehkan atau membandingkan anak dengan adik-beradik atau individu lain, boleh menjejaskan harga diri mereka.

Ini sekali gus membuatkan anak berasa tidak dihargai.

Kemahiran keibubapaan yang penting adalah dengan memastikan kata-kata anda tidak mempunyai unsur negatif. Apatah lagi jika si anak masih kecil.

Jadi berhati-hatilah dalam setiap ungkapan, okay?

2. Konsisten dalam pelaksanaan disiplin

Antara tips keibubapaan yang wajib diamalkan dalam setiap isi rumah adalah disiplin.

Ia bukan semata-mata untuk menghukum atau mendenda anak.

Tetapi disiplin berfungsi membantu anak-anak memilih tingkah laku yang dapat diterima dan belajar mengawal diri.

Ya, pada permulaan anda akan berdepan kesukaran untuk mengaplikasikan disiplin dalam kehidupan seharian.

Namun, menetapkan had tertentu membolehkan anak berkembang menjadi individu dewasa yang bertanggungjawab.

Antara contoh peraturan yang boleh anda gunakan seperti larangan menonton televisyen selagi tugasan sekolah tidak disiapkan atau larangan untuk memukul antara adik-beradik.

Paling utama, anda sebagai ibu bapa perlu konsisten dalam melaksanakannya.

3. Ilmu keibubapaan pentingnya masa bersama anak-anak

Bagi ibu bapa yang bekerja, pastinya ada masa tertentu yang anda terlalu sibuk dengan tugasan kerja dan rumah sehingga tidak cukup masa untuk bersama anak-anak.

Antara pilihan penyelesaian yang paling mudah dan biasa dilakukan adalah dengan memberikan anak gajet untuk melekakan mereka.

Tidak dinafikan gajet memberikan manfaat kepada anak. Pun begitu, dalam masa yang sama jika kerap dilakukan ia boleh mewujudkan jurang antara anda dan anak-anak.

Ibu bapa yang sayangkan anak-anak pastinya tidak mahu ia terjadi, bukan?

Jadi tips keibubapaan yang perlu anda cuba adalah meluangkan masa bersama anak-anak.

Ia tidak bermakna anda perlu menghabiskan masa berjam-jam sehingga tergendala segala tugasan harian lain.

Cukuplah sekadar makan bersama, paling tidak pada waktu sarapan pagi dan hidangan waktu malam.

Selain meminta mereka bantu melakukan tugasan rumah bersama seperti menyapu sampah atau melipat pakaian.

Ia bukan sahaja dapat memupuk sifat tanggungjawab dalam diri anak, tetapi dalam masa sama merapatkan hubungan kekeluargaan.

ilmu keibubapaan

4. Menjadi contoh teladan

Salah satu kemahiran keibubapaan yang lain adalah anda perlu menjadi contoh ikutan yang baik kepada anak-anak.

Pernah dengar mengenai ibu bapa adalah cerminan diri anak?

Bagi anak-anak yang masih kecil, apa sahaja yang dilakukan ibu bapanya akan menjadi perhatian dan ikutan mereka.

Sekiranya anda gemar menggunakan kata-kata makian dalam percakapan harian, sebelum melakukannya, fikirkan perkara ini: Adakah anda mahukan anak turut memiliki sikap yang sama?

Bahkan, ada kajian menunjukkan kanak-kanak yang gemar memukul biasanya mempunyai contoh ikutan dengan sikap agresif di rumah.

Jangan pula jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, ya?

Anak diminta bersikap positif, sedangkan diri sendiri sebagai ibu bapa ke laut perangainya.

Tonjolkan dalam diri rasa hormat, kejujuran, toleransi dan sikap tidak mementingkan diri. Ajari anak untuk belajar mengucapkan terima kasih dan maaf.

Walau apa pun sikap dan sifat yang dimahukan wujud pada anak-anak, ia perlu dimulakan oleh ibu bapanya dahulu.

5. Fleksibel & bersedia untuk berubah

Adakalanya bukan semua kemahiran keibubapaan yang diaplikasikan sesuai dengan anak-anak.

Malah mungkin kegagalan itu membuatkan anda terfikir ‘Anda belum cukup layak atau bersedia memikul tanggungjawab bergelar ibu bapa’.

Sabar, jangan mudah mengaku kalah.

Kadang-kala kekecewaan itu mungkin berpunca daripada jangkaan tidak realistik daripada diri anda sendiri.

Mungkin tips keibubapaan yang diamalkan tidak bersesuaian dengan usia anak, maka anda perlu bersedia untuk mengubahnya.

Sebagai contoh, jika anda kerap mengatakan ‘tidak’ pada anak berusia bawah 5 tahun, mungkin anda perlu melakukan perubahan dengan memberi pilihan lain.

Jika kita sendiri sebagai individu dewasa tidak suka apabila keinginan diri ditolak, apatah lagi anak yang masih belajar meneroka.

Seiring dengan peningkatan usia anak, gaya keibubapaan anda juga akan berubah mengikut kesesuaian.

Kemungkinan apa yang sesuai dengan anak sekarang, mungkin tidak lagi dapat memberikan kesan terbaik untuk mereka dalam masa 2 atau 3 tahun akan datang.

Ini bermakna dalam masa mendidik anak, anda juga perlu sentiasa mempelajari ilmu keibubapaan yang sesuai untuk diterapkan dalam keluarga.

Kategori gaya keibubapaan

Seperti yang dinyatakan di atas, gaya keibubapaan akan mengalami perubahan untuk disesuaikan dengan tumbesaran anak.

Tetapi adakah anda tahu apakah gaya keibubapaan yang ada?

Umumnya, terdapat 4 kategori dalam kemahiran keibubapaan ini seperti

#Autoritarian

Ibu bapa di bawah kategori authoritarian lebih mengutamakan disiplin.

  • Menetapkan peraturan yang ketat dan mengharapkan anak-anak mengikutinya
  • Hukuman dan denda perkara biasa (adakalanya teruk)
  • Meletakkan harapan yang tinggi dan berharap anak-anak boleh mencapainya pada setiap masa
  • Lebih kepada komunikasi sehala, daripada ibu bapa kepada anak sahaja

kemahiran keibubapaan

#Autoritatif

Gaya keibubapaan ini dianggap antara yang berkesan dan efektif dalam pelaksanaannya. Anda boleh menganggap diri berada di bawah kategori ini jika:

  • Menetapkan peraturan dan had yang jelas serta konsisten
  • Mempunyai jangkaan yang munasabah untuk anak-anak
  • Bersedia melakukan perbincangan dan berkomunikasi dengan anak
  • Gemar memberikan tindak balas positif
#Permisif

Dalam tips keibubapaan ini, anda lebih bersifat mesra dan mengasihi. Antara ciri-cirinya adalah:

  • Tidak menetapkan had atau batasan disiplin yang ketat
  • Kurang mengawal anak-anak
  • Jangkaan yang diletakkan biasanya minimum atau tiada langsung
  • Membenarkan anak untuk membuat keputusan sendiri
#Pengabaian

Ibu bapa dikatakan langsung tidak akan melibatkan diri dengan kehidupan anak atau dalam erti kata lain, kebebasan 100% diberikan.

  • Tidak mempedulikan keadaan anak
  • Langsung tidak menjaga keperluan asas anak; fizikal mahupun emosi
  • Sering bertindak kasar
  • Kurang responsif
  • Boleh dikatakan secara emosi atau fizikal tidak langsung hadir dalam kehidupan anak
  • Berkemungkinan sering melakukan penderaan fizikal

Pentingnya kemahiran keibubapaan

Belajar ilmu keibubapaan untuk menjadi ibu bapa terbaik mungkin memenatkan, tetapi pada akhirnya jika anda berjaya melakukan dengan baik, ia adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.

Ingat, kesabaran adalah paling penting.

Percayalah walaupun anda meraguinya, tetapi dalam diri anak-anak, andalah merupakan ibu bapa yang terbaik buat mereka.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 24/05/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman
x