Bagi peminat drama Korea, pasti anda pernah melihat babak di mana parent akan datang mengurut atau membawakan anak susu semasa sedang mengulang kaji. Tetapi apakah kebaikan urutan semasa sela masa belajar?
Ingin tahu apakah kebaikan urutan buat si kecil? Dalam perkongsian artikel ini, ada jawapan untuk persoalan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Apakah kebaikan urutan semasa sela masa belajar?
Apabila menyebut mengenai urutan, pastinya anda terbayang ibu bapa yang mengurut bayi, betul tak?
Tetapi sebenarnya, mengurut ini untuk semua peringkat kanak-kanak, sama ada bayi, anak kecil atau kanak-kanak yang sudah memulakan persekolahan, boleh memberikan banyak manfaat kepada kesejahteraan fizikal dan mental.
Antara faedah kesihatan umum mengurut adalah ia dapat melonggarkan ketegangan otot dan melancarkan pergerakan badan, bukan sahaja kepada kanak-kanak, bahkan individu daripada semua peringkat usia.
Namun, kali ini Hello Doktor akan kongsikan manfaat urutan yang dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak.
1. Menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan diri anak
Input deria dan psikologi adalah penting untuk perkembangan awal dan kesejahteraan bayi baru lahir serta anak kecil.
Urutan yang diberikan kepada kanak-kanak boleh memberikan input sentuhan yang merangsang pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Kajian mendapati urutan boleh menggalakkan perkembangan dan penambahan berat badan pada bayi pramatang serta mencegah komplikasi pertumbuhan lain.
2. Kebaikan urutan semasa sela masa belajar: Bantu kurangkan tekanan dan kebimbangan
Urutan juga dapat mengurangkan tahap kortisol – hormon tekanan – pada bayi dan kanak-kanak sihat atau sakit. Ia juga membantu meningkatkan tahap dopamin dan serotonin – hormon relaksasi.
3. Tingkatkan kualiti tidur, antara kebaikan urutan semasa sela masa belajar
Tidur amat penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Ini kerana mendapat tidur yang mencukupi membolehkan badan berfungsi secara optimum – ia memberikan anak lebih tenaga dan fokus.
Namun malangnya sebahagian besar daripada kanak-kanak mengalami masalah kurang tidur.
Terapi urutan dipercayai dapat membantu kanak-kanak meningkatkan kualiti tidur mereka dengan menstabilkan tahap hormon tidur.
Urutan yang dilakukan sebelum tidur boleh memberikan anak mendapat tidur malam nyenyak.
Kajian mendapati bayi menerima urutan selama 6 minggu menikmati kualiti tidur jauh lebih baik daripada si kecil yang tidak diberikan urutan.
Pastinya anak yang lebih besar juga akan menerima manfaat jika diberikan urutan!
4. Kebaikan urutan semasa sela masa belajar: Meningkatkan prestasi akademik
Kegelisahan dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah antara punca kurang tumpuan paling biasa dalam kalangan kanak-kanak.
Selain daripada terbukti dapat melegakan tekanan, urutan yang diberikan juga amat berguna dalam menguruskan anak yang mengalami ADHD.
Dalam kajian yang dilakukan, kanak-kanak ADHD yang menerima terapi urutan akan berasa lebih berpuas hati dan yakin dengan diri.
Peningkatan ketara dalam menyelesaikan pelbagai tugasan juga dapat diperhatikan. Bahkan ibu bapa turut melaporkan peningkatan ketara dalam tingkah laku anak mereka.
5. Meningkatkan sistem imun
Sistem imun adalah perisai semula jadi yang melindungi si kecil daripada kuman dan patogen asing. Mendapat sistem imun yang sihat juga menghalang perkembangan penyakit kronik.
Pun begitu, tekanan kronik yang dihadapi anak pada masa kini boleh melemahkan sistem imun mereka – menyebabkan badan tidak dapat melawan kuman dan cenderung untuk jatuh sakit seperti mengalami demam, selesema dan penyakit lain.
Seperti yang dinyatakan di atas, urutan dapat mengurangkan tekanan pada anak dan ia secara tidak langsung boleh menyingkirkan kesan buruknya terhadap sistem imun anak.
Di samping meningkatkan imuniti tubuh, urutan juga dapat membantu anak yang menghidap diabetes jenis 2, arthritis rheumatoid, dermatitis dan lain-lain.
Kebaikan urutan semasa sela masa belajar: Petua mengurut
Sudah tentu tekanan semasa urutan untuk anak dan individu dewasa adalah berbeza. Untuk merasakan jenis tekanan yang diperlukan ketika mengurut anak, lakukan perkara berikut:
- Letakkan 2 jari telunjuk dan tengah pada kelopak mata anak yang tertutup dan tekan perlahan-lahan pada bola mata.
- Anda akan merasakan bahawa hanya sedikit tekanan yang diperlukan sebelum ia menyebabkan diri berasa tidak selesa.
- Maka itu adalah jumlah tekanan yang boleh digunakan ketika mengurut bayi dan kanak-kanak.
Tekanan urutan ke arah jantung dianggap dapat memberi rangsangan, manakala urutan ke luar jantung lebih santai. Jika anda ingin mengurut anak sebelum tidur, sebaiknya lakukan urutan ke arah luar jantung.
Jangan melakukan urutan sekiranya anak tidak mahu diurut – terutamanya apabila mereka berada dalam mood yang tidak baik.
Malah anak kecil juga boleh memberikan isyarat bahawa mereka tidak mahu diurut seperti menangis atau mengalihkan pandangan daripada anda. Jadi ibu bapa harus peka dengan isyarat ini sebelum melakukan urutan, okay?
Kesimpulannya
Jadi anda kini sudah mengetahui manfaat urutan kepada kesihatan fizikal dan mental anak. Ia menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan diri mereka – menjadikan anak lebih ceria, sihat dan kuat!
Jadi selepas mengetahui apakah kebaikan urutan semasa sela masa belajar, sekali sekala jangan lupa untuk mengurut anak ya?
[embed-health-tool-child-growth-chart]