home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jom Belajar Cara Urut Si Manja, Manfaat Bukan Untuk Bayi Saja, Tapi Juga Ibu

Jom Belajar Cara Urut Si Manja, Manfaat Bukan Untuk Bayi Saja, Tapi Juga Ibu

Ibu-ibu pernah tak mengurut bayi? Tahu tak, sebenarnya ada banyak kebaikan urutan untuk si manja. Teruskan membaca perkongsian artikel Hello Doktor ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Galakkan untuk mengurut bayi

Walaupun pada dasarnya masih banyak penyelidikan lebih lanjut diperlukan, namun hasil dalam beberapa kajian menunjukkan terdapat kebaikan urutan kepada bayi. Bahkan, ia dikatakan membantu dalam proses tumbesaran yang sihat.

Mengurut bayi menawarkan pelbagai manfaat. Dengan setiap sentuhan lembut, bayi akan berasa disayangi dan dikasihi. Sudah tentu ia secara tidak langsung akan mengukuhkan hubungan antara ibu dan anak.

Anda ingin cuba melakukan urutan kepada si manja tetapi tidak pasti di mana harus bermula? Ini caranya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Kebaikan urutan kepada bayi

Sebelum mengetahui cara mengurut bayi, jom fahami terlebih dahulu manfaat bagi setiap urutan dan sentuhan yang dilakukan.

Antara kebaikan urutan adalah seperti:

1. Ketenangan otot dan singkirkan tekanan

Urutan yang dilakukan kepada bayi dapat melegakan tekanan mereka dengan merangsang pembebasan oksitosin, neurohormon yang baik dan menurunkan kadar kortisol – hormon stres.

Ia mengendurkan otot, merangsang tumbesaran dan sangat bagus untuk bayi kolik – keadaan di mana bayi akan menangis untuk jangka masa yang panjang.

2. Merangsang sistem saraf

Mengurut bayi mendatangkan manfaat kepada sistem saraf bayi kerana ia dapat meningkatkan perkembangan kemahiran motorik mereka.

3. Tidur lebih baik

Bayi yang diurut juga akan tidur dengan baik. Kelebihan ini memberikan faedah dalam proses tumbesaran otot yang lebih cepat hingga kepada peningkatan tindak balas imun.

Urutan juga membolehkan lebih banyak hormon melatonin terhasil – hormon yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mempercepatkan tidur.

mengurut bayi

4. Memperbaiki kualiti kehidupan bayi

Kebaikan urutan adalah ia boleh menjadi cara untuk menenangkan bayi dengan sindrom Down atau cerebral palsy.

Bayi pramatang juga akan menunjukkan perkembangan motor yang lebih baik apabila diurut secara berkala. Malahan, mereka juga akan menambah berat badan lebih cepat berbanding bayi pramatang yang tidak pernah diurut.

5. Meningkatkan peredaran darah

Mengurut bayi anda juga akan dapat membantu meningkatkan peredaran darah dan juga menurunkan rasa ketidakselesaan yang berpunca oleh gas atau keasidan, kembung perut mahupun pertumbuhan gigi.

Urutan akan merangsang saraf yang melalui saluran usus sehingga memberikan manfaat kepada sistem pencernaan.

6. Perkembangan psikologi dan sosial

Berdasarkan laporan daripada Asian Nursing Research Journal, rangsangan sentuhan semasa urutan akan memberikan kesan positif terhadap perkembangan psikologi dan sosial bayi di samping memperkuatkan ikatan bayi dengan ibu bapa.

7. Mengatasi kemurungan selepas bersalin

Dikatakan mengurut adalah berkesan untuk mengatasi kemurungan selepas bersalin atau dalam bahasa mudahnya, meroyan, dalam kalangan ibu-ibu.

Umumnya, ibu yang tertekan menunjukkan mood dan tingkah laku yang lebih baik ketika mereka mengurut bayi mereka secara berkala.

Tip mengurut bayi

Sebelum melakukan urutan, ada beberapa teknik yang perlu ibu (atau bapa) ketahui, antaranya:

Masa

Waktu terbaik untuk memulakan urutan bayi adalah ketika mereka terjaga dan dalam keadaan tenang.

Pilih masa antara 2 sesi penyusuan. Jarakkan tempoh masa lebih kurang 45 minit daripada sesi penyusuan terakhir si manja. Anda juga disarankan untuk menunggu 15 minit selepas mengurut sebelum menyusukan bayi.

Persekitaran

Urut bayi anda di tempat yang tenang dan memberikan keselesaan buat kalian berdua.

Baringkan si manja di atas tuala agar mereka berasa selesa. Sesi urutan juga boleh dilakukan di atas meja menukar lampin atau di atas katil anda.

Teruskan berbual

Sentiasa berkomunikasi semasa anda mengurut bayi.

Anda boleh mengulangi nama mereka dan perkataan ‘santai’ untuk menolong mereka berasa tenang, selain daripada bercerita atau menyanyikan lagu kanak-kanak kegemaran si manja.

urutan bayi

Penggunaan minyak

Sekiranya menggunakan minyak, pilih produk tanpa wangian dan selamat kerana bayi mungkin memasukkan jari ke dalam mulut mereka.

Jenis urutan bayi

  • Urutan kaki

Genggam sebelah kaki si manja dengan lembut dan lakukan urutan lembut daripada bahagian paha ke pergelangan kaki.

Ulang teknik mengurut bayi ini beberapa kali sebelum melakukannya ke kaki sebelah.

  • Urutan perut

Letakkan tapak tangan pada bahagian tengah perut si manja. Menggunakan hujung jari, lakukan gerakan urutan perlahan dan lembut mengikut arah jam.

Ulangi urutan ini beberapa kali.

  • Urutan lengan

Lakukan gerakan perlahan pada lengan si manja. Bermula dengan bahunya dan bergerak ke bahagian pergelangan tangan.

Ulangi 2 hingga 3 kali sebelum beralih ke lengan yang sebelah lagi.

  • Urutan leher

Berikan sokongan bahagian badan atas dan kepala si manja menggunakan sebelah tangan.

Letakkan ibu jari tangan sebelah ke satu sisi leher bayi dan 2 jari di sisi bertentangan. Kemudian gunakan hujung jari lakukan usapan lembut dengan gerakan membulat.

Ulangi gerakan tersebut untuk beberapa kali.

urut bayi

  • Urutan melegakan kolik

Pertama sekali, berikan bayi urutan pada bahagian perut.

Kemudian bengkokkan lutut ke perutnya dan tahan selama 30 saat sebelum melepaskannya. Ulangi kaedah mengurut bayi ini beberapa kali.

Letakkan sebelah tapak tangan pada perut bayi. Lurutkan tangan dengan lembut daripada perut ke bahagian bawah, ia membantu melepaskan gas yang tersimpan. Ulangi gerakan ini jika perlu.

Memberikan ketenangan

Urutan bayi adalah terapi menenangkan untuk mereka dan mengeratkan ikatan antara anda dan si manja. Namun, tidak semua bayi suka apabila diurut.

Jika ia tidak berjaya pada kali pertama, mungkin anda boleh mencubanya beberapa kali sebelum mendapatkan teknik urutan yang betul dan bersesuaian dengan bayi.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 21/04/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor