backup og meta

Jangan Biarkan Jika Anak Demam Campak! Parents Sila Ambil Tahu, Boleh Berjangkit!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/12/2023

    Jangan Biarkan Jika Anak Demam Campak! Parents Sila Ambil Tahu, Boleh Berjangkit!

    Kita selalu tersilap antara demam campak dengan cacar air yang lebih dikenali sebagai chickenpox. Jom ketahui apakah tanda demam campak yang boleh terjadi pada anak.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Memahami tanda demam campak pada anak

    Measles atau demam campak adalah jangkitan pernafasan yang mudah menular. Ia menyebabkan ruam kulit seluruh tubuh bersama gejala seperti selesema.

    Jangkitan ini berpunca daripada virus dan sangat berjangkit.

    Dianggarkan 9 daripada 10 individu tidak divaksin campak akan dijangkiti jika berdekatan dengan individu yang telah dijangkiti. 

    Ia merebak melalui udara yang mengandungi titisan cecair yang dijangkiti virus daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. 

    Individu yang dijangkiti virus ini biasanya akan menunjukkan tanda demam campak selepas 7 hingga 14 hari.

    Mereka yang dijangkiti pula mudah menyebarkan penyakit ini bermula 4 hari sebelum dan selepas ruam berkembang, terutamanya semasa demam, hidung berair dan batuk.

    Faktor risiko terdedah kepada demam campak adalah:

    • Tidak menerima suntikan vaksin campak
    • Melancong ke luar negara, terutamanya kepada negara membangun
    • Mengalami kekurangan vitamin A – cenderung mengalami gejala dan komplikasi teruk

    tanda demam campak

    Simptom demam campak

    Antara gejala campak yang boleh dialami anak adalah batuk kuat, hidung berair, demam panas dan mata merah

    Anak juga boleh mengalami tanda demam campak seperti bintik Koplik – bintik merah kecil dengan biru-keputihan di tengah  atau dalam mulut sebelum bermulanya ruam. 

    Ruam akan berkembang selepas 3 hingga 5 hari simptom bermula, adakalanya dengan demam panas sehingga 40°C.

    Ruam merah atau coklat kemerahan akan bermula sebagai bintik merah rata pada dahi. Kemudian ia akan merebak ke seluruh muka, leher dan tubuh yang merangkumi tangan serta kaki.

    Demam dan ruam yang dialami biasanya secara perlahan-lahan akan surut setelah beberapa hari.

    Komplikasi kesan daripada tanda demam campak

    Antara komplikasi campak yang berisiko untuk dialami termasuklah:

    • Jangkitan telinga. Salah satu komplikasi campak paling biasa terjadi. 
    • Bronkitis, laringitis atau batuk kroup. Campak boleh menyebabkan keradangan pada kotak suara – laring – atau keradangan pada dinding dalaman yang melapisi saluran udara utama paru-paru – tiub bronkial
    • Pneumonia. Individu dengan sistem imun tubuh lemah boleh menghidap pelbagai jenis radang paru-paru dan berisiko mengancam nyawa
    • Encephalitis. Jangkitan yang melibatkan kerengsaan dan bengkak pada otak ini boleh terjadi kepada kira-kira 1 daripada 1000 individu. Ia boleh berlaku sejurus setelah campak atau selepas tempoh beberapa bulan
    • Masalah kehamilan. Wanita hamil perlu lebih berhati-hati bagi mengelak jangkitan ini kerana ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang, berat lahir rendah, keguguran dan kematian ibu
    • Cirit-birit 

    Baca juga:

    Merawat tanda demam campak

    Tiada rawatan perubatan khusus yang boleh dilakukan untuk merawat campak yang biasanya berlanjutan sehingga beberapa minggu.

    Pun begitu, ibu boleh membantu menguruskan simptom demam campak yang dialami anak dengan:

    • Memastikan pengambilan cecair yang mencukupi buat anak
    • Menggalakkan anak untuk berehat
    • Memberikan ubat demam seperti paracetamol atau ibuprofen sekiranya anak demam. Jangan sesekali memberikan aspirin kepada anak yang mempunyai penyakit virus, kerana ia boleh menyebabkan sindrom Reye.

    Umumnya, kanak-kanak yang mengalami demam campak perlu mendapat pengawasan doktor. Mereka seharusnya direhatkan di rumah selama 4 hari setelah ruam muncul. 

    Jika anak mempunyai masalah sistem pertahanan tubuh yang lemah, pastikan mereka duduk di rumah sehingga pulih sepenuhnya dan gejala hilang.

    tanda demam campak

    Mencegah demam campak

    Sudah tentu cara terbaik untuk melindungi anak adalah dengan memastikan mereka menerima suntikan vaksinasi campak.

    Kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immune) penyakit ini kerana sudah menerima suntikan vaksin MMR – campak, beguk dan rubella – dalam program suntikan vaksinasi kebangsaan.

    Dos pertama bagi suntikan ini akan diberikan ketika si kecil berusia 9 bulan dan dos kedua pada usia 12 bulan. 

    Vaksin MMR ini boleh diberikan kepada bayi yang berusia 6 bulan sekiranya mereka akan melakukan perjalanan ke luar negara. 

    Ia merupakan perkara yang sangat penting untuk memastikan anak anda mendapatkan vaksin tepat pada waktunya.

    Untuk mendapatkan lebih kepastian mengenai suntikan vaksin bagi anak, berundinglah dengan doktor.

    Doktor juga boleh memberikan suntikan antibodi campak – disebut immune globulin – kepada mereka yang berisiko terkena campak. 

    Ia paling berkesan diberikan dalam jangka masa 6 hari selepas kontak. 

    Antibodi ini dapat mencegah campak atau mengelakkan daripada pengembangan gejala lebih teruk. 

    Suntikan vaksin campak juga dapat membantu melindungi individu yang tidak divaksin daripada sakit dan simptom demam campak setelah terdedah kepada virus ini jika mendapatkan suntikan dalam tempoh 3 hari. 

    Pemeriksaan doktor

    Lakukan pemeriksaan perubatan segera jika anda berasakan anak mungkin menghidap atau dijangkiti virus campak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan