Ibu-ibu mesti pernah melihat lidah bayi putih, bukan? Hanya ada dua kemungkinan, sama ada ia disebabkan sisa susu atau merupakan jangkitan kandidiasis mulut (dalam bahasa mudahnya, kulat susu).
Ada ke cara hilangkan putih di lidah bayi ini? Kalau ingin tahu jawapannya, haruslah teruskan membaca artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kulat susu punca lidah bayi putih
Apa sebenarnya jangkitan kandidiasis mulut atau kulat susu ini?
Sama ada bayi yang menyusu badan atau diberikan susu formula, kedua-duanya berisiko untuk mengalami keadaan ini. Ia berpunca daripada lapisan susu yang bertukar menjadi tebal seterusnya membentuk kulat susu atau jangkitan oral thrush.
Turut dikenali sebagai serawan susu, keadaan ini merupakan jangkitan kulat atau fungus dalam mulut si kecil. Jangkitan ini umumnya lebih cenderung berlaku kepada si kecil berusia 6 bulan ke bawah.
Tetapi bagaimana untuk membezakan putih pada lidah bayi itu sebagai sisa susu atau jangkitan kulat?
Sekiranya tompokan putih tersebut merupakan sisa susu yang tertinggal pada lidah selepas menyusu, ia biasanya akan larut dalam tempoh masa sejam.
Manakala bayi yang mengalami jangkitan kulat ini mempunyai simptom seperti:
- Kulit merekah pada bahagian tepi mulut
- Tompokan putih tebal pada bibir, lidah atau bahagian dalam pipi – tampak seperti keju kotej dan sukar untuk disingkirkan
Jika anda melakukan penyusuan eksklusif, terdapat kemungkinan jangkitan kulat ini untuk merebak dari mulut si kecil ke puting. Sekiranya berlaku, ia adalah sangat menyakitkan.
Puting boleh merekah dan sakit, ada kalanya ia akan menjadi kemerahan dan berkilat. Jika anda mengesyaki diri terkena jangkitan kulat ini, lakukan pemeriksaan doktor untuk mendapatkan rawatan bagi membersihkan jangkitan.
Lidah bayi putih: Jangkitan kulat atau sisa susu?
Sebelum mengetahui cara hilangkan putih di lidah bayi, anda perlu tentukan sama ada bintik putih dalam mulut anak anda adalah jangkitan atau sekadar sisa susu.
Bagaimana caranya?
Anda harus cuba untuk mengelap lapisan tersebut menggunakan jari yang dibalut kain lembap bersih secara lembut. Jika ia dapat dikeluarkan, maka ia hanya sisa susu.
Jika ia adalah lapisan tebal yang sukar untuk dihilangkan dan terdapat beberapa tompokan lain di dalam mulut si kecil, mungkin itu adalah jangkitan kulat. Anda disarankan untuk membawa bayi mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Cara hilangkan putih di lidah bayi
Penulis ada membuat carian di internet mengenai petua menghilangkan kulat susu ini.
Terdapat satu petua orang dulu-dulu untuk mengatasi masalah jangkitan kulat ini. Caranya dengan mengelap tompokan putih tersebut menggunakan kain lampin yang terdapat air kencing bayi itu sendiri!
Agak mengejutkan kerana itu adalah cara yang paling kotor dan jijik untuk dilakukan. Jadi jangan pernah mencuba petua hilangkan putih dalam mulut bayi ini di rumah!
Cuba membersihkan lidah bayi putih
Kewujudan kulat susu ini pada hakikatnya boleh menyebabkan si kecil berasa tidak selesa. Jadi untuk membantu mengurangkan ketidakselesaan ini, anda boleh cuba menghilangkan tompokan putih tersebut.
Caranya sama seperti yang dilakukan untuk menentukan sama ada ia sisa susu atau jangkitan kulat, iaitu dengan melilitkan kain bersih pada jari.
Anda boleh menggunakan kain lampin basah – yang dicelupkan dalam air putih atau air suam – sebelum digosokkan secara perlahan-lahan pada lapisan putih dalam mulut bayi.
Amalkan rutin ini dengan kerap setiap hari bagi menjaga kebersihan mulut si kecil.
Rutin kebersihan sebelum dan selepas menyusu
Memastikan kebersihan puting payudara atau puting silikon botol susu setiap kali sebelum dan selepas menyusu merupakan aspek penting yang perlu dijadikan amalan harian.
Buat ibu yang menyusu badan, anda disarankan untuk mencuci payudara terlebih dahulu dengan menggunakan air masak sebelum sesi penyusuan.
Amalan membersihkan puting selepas menyusu juga penting bagi memastikan ia sentiasa bersih dan dalam keadaan kering. Ini kerana puting yang lembap di dalam bra boleh meningkatkan risiko jangkitan fungus.
Jangan lupa untuk mencuci tangan sekerap mungkin setiap kali sebelum dan selepas penyusuan.
Sekiranya si kecil sudah berusia 6 bulan dan ke atas, ibu boleh memberikan sedikit air masak selepas penyusuan untuk membilas mulutnya bagi mencegah lidah bayi putih.
Pastikan puting silikon dicuci dengan air panas sebelum dan selepas setiap penggunaan. Cara ini dapat mencegah risiko si kecil mendapat jangkitan kulat susu kembali.
Sebaiknya, jika si kecil cenderung menggigit dan memasukkan mainan ke dalam mulutnya, maka barang permainan mereka juga perlu dicuci dan dibersihkan dengan kerap menggunakan air panas.
Rawatan ubat untuk lidah bayi putih
Untuk si kecil, pakar kanak-kanak mungkin akan memberikan preskripsi ubat antikulat yang digunakan secara topikal pada bahagian dalam mulut dan lidah beberapa kali sehari untuk tempoh 10 hari. Pastikan ia disapu pada semua bahagian tompokan putih di mulut bayi.
Untuk kes yang teruk, ubat fluconazole – ubat oral titis mungkin akan diberikan doktor sebagai cara hilangkan putih di lidah bayi.
Pemeriksaan doktor
Jangkitan kulat susu pada bayi adalah situasi biasa untuk terjadi kerana si kecil mempunyai sistem imun badan yang lemah. Ia tidak berbahaya, namun boleh menyebabkan ketidakselesaan dan si kecil mungkin akan mogok menyusu.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]