Manakala bagi individu dewasa pula, golongan ini lebih berpotensi terdedah kepada pelbagai perengsa atau alergen, disebabkan penglibatan fizikal berkaitan pekerjaan atau hobi. Oleh sebab itu, individu yang pernah mengalami masalah ekzema ketika zaman kanak-kanak dan telah stabil, berkemungkinan besar mengalami masalah ekzema yang berulang disebabkan pendedahan kepada agen-agen tersebut.
Kira-kira 40 hingga 50 peratus individu dewasa yang lebih berusia mungkin mengalami sedikit kekeringan dan rekahan kulit yang disebabkan oleh penuaan fisiologi atau terjejas akibat pengumpulan pendedahan sepanjang hidup kepada radiasi UV, pencemaran dan bahan kimia.
Bahagian badan yang berisiko mengalami rekahan
Risiko untuk mengalami kulit merekah adalah bergantung kepada punca yang mendasari, dan ia adalah berbeza bagi setiap individu. Sebagai contoh, bahagian badan seperti tangan dan kaki mungkin akan lebih terdedah kepada rekahan disebabkan geseran akibat melakukan aktiviti harian atau pendedahan kepada kerengsaan atau alergen.
Di samping itu, bayi yang menderita dermatitis atopik akan cenderung mengalami masalah rekahan kulit pada bahagian pipi, ekstensor tangan dan kaki. Walau bagaimanapun, seiring pertambahan usia, bahagian yang mungkin terjejas mungkin lebih setempat seperti di dahi, siku, lutut, belakang paha dan punggung.
Rekahan kulit: Bagaimana untuk mencegahnya?
Pengamalan rutin penjagaan kulit yang tertumpu kepada mencuci dan melembapkan kulit dengan betul adalah penting, untuk mencegah kulit kering dan merekah. Oleh itu, pemahaman mengenai paras pH pencuci dan pelembap sangat penting.
Individu yang mempunyai kulit sensitif dan kering perlu membersihkan kulit mereka menggunakan pencuci ringan yang mengandungi bahan pengawet dan pewangi yang minimum. Paras pH pencuci perlu berada antara 5-7 untuk mengekalkan lapisan asid kulit. Pencuci umumnya dikelaskan kepada tiga jenis asas, iaitu sabun, detergen sintetik dan kombo.

Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen