Pernah anda berada dalam situasi tertanya-tanya “Adakah buaian bayi elektrik selamat?”, seperti kebanyakan ibu bapa yang lain? Jika ya, dalam perkongsian artikel ini akan menjawab persoalan mengenai buaian elektrik.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Adakah buaian bayi elektrik selamat?
Jawapan untuk persoalan anda, ya, ia selamat untuk digunakan.
Ini kerana semestinya pengeluar buaian telah berusaha mencipta barangan yang selamat untuk dikendalikan. Tetapi ia hanya selamat digunakan untuk bayi jika anda tahu cara menggunakannya dengan betul.
[embed-health-tool-child-growth-chart]
Beza buaian elektrik dan tradisional
Tujuan penghasilan buaian sama ada tradisional atau elektrik adalah sama iaitu untuk menenangkan bayi – di mana rekaannya sama seakan rahim ibu.
Tetapi sudah tentu, semakin canggih sesuatu barangan, lebih banyak fungsi yang ditawarkan.
Ini pastinya terdapat pada buaian yang menggunakan elektrik – kerana mempunyai banyak trick untuk menghiburkan si kecil, seperti dapat memainkan muzik, menetapkan kelajuan, pelarasan kedudukan dan lain-lain.
Beza lain antara kedua-dua jenis buaian ini adalah yang tradisional perlu dikendalikan oleh manusia, sedangkan jenis elektrik tidak.
Bahaya penggunaan buaian elektrik
Dalam penggunaan buaian tradisional, wujud bahaya pada bayi kerana perbezaan hayunan tolakan yang tidak konsisten – ada kalanya laju, pada sesetengah masa perlahan.
Keadaan ini dipercayai dapat menjejaskan perkembangan struktur tulang bayi terutamanya leher dan tulang belakang.
Berita baiknya, dengan penggunaan buaian berteknologi tinggi ini, ia dapat mengurangkan kebanyakan risiko.
Buaian elektrik beri impak pada otak bayi?
Jawapannya tidak, sekiranya anda tahu cara hayunan yang tepat.
Buaian elektrik bahaya dan hanya berisiko menjejaskan otak bayi jika anda memilih mod gegaran yang tidak sesuai atau meletakkan bayi dalam posisi baring yang salah.
Mengetahui mod bersesuaian serta kedudukan baring yang betul dapat membantu mengurangkan kemungkinan buaian jenis elektrik ini memberi kesan bahaya kepada otak bayi.
Ini bermakna buaian tidak membahayakan bayi, tetapi cara penggunaan yang salah sememangnya boleh mewujudkan risiko.
Kesilapan ibu bapa ketika menggunakan buaian elektrik
Berikut antara kesilapan biasa yang sering dilakukan ibu bapa semasa menggunakan buaian berteknologi tinggi ini:
Biarkan bayi tidur lama
Kesilapan paling biasa yang sering dilakukan adalah membiarkan bayi tidur di dalam buaian. Eh, takkan si kecil tidak boleh tidur dalam buaian?
Bukan tidak boleh. Tetapi kalau sekadar untuk tidur siang, tidak menjadi masalah besar. Sebaliknya jika dibiarkan tidur sehingga semalaman, ia tidak digalakkan.
Kenapa? Ini kerana ia boleh menjejaskan struktur tulang manusia yang sepatutnya tidur pada permukaan rata dan kukuh.
Tidur pada permukaan rata boleh mengurangkan banyak masalah sakit pinggang dan tulang belakang sejak di usia bayi.
Kelajuan hayunan tinggi pada buaian bayi elektrik
Kesilapan lain yang sering dilakukan adalah menetapkan hayunan pantas ketika usia bayi terlalu muda. Anda harus mengetahui terdapat kelajuan hayunan yang berbeza ditetapkan mengikut usia.
Hayunan paling lembut dan perlahan amat disarankan untuk si manja yang masih kecil.
Walaupun anak mungkin akan ketawa dan tampak seronok apabila dihayun pada kelajuan tinggi, tetapi ia sebenarnya boleh menyebabkan risiko kepada perkembangan otak dan masalah leher kepada anak.
Terlalu banyak barangan di dalam buaian elektrik
Kebanyakan ibu bapa akan meletakkan bantal dan selimut tambahan di dalam buaian. Tujuannya untuk memberikan keselesaan tambahan kepada bayi dan mengelakkan mereka daripada jatuh. Malangnya tindakan ini tidak tepat.
Meletakkan terlalu banyak barangan fluffy di dalam buaian, boleh menyebabkan persekitaran yang ‘melemaskan’ untuk bayi. Ini termasuklah kecenderungan risiko untuk mengalami sindrom kematian mengejut (SIDS).
Ikatan ketat
Ikatan yang ketat pada buaian menjamin keselamatan si manja. Tetapi adakah ia benar? Sebenarnya, keadaan ini boleh menyebabkan bayi berasa tidak selesa.
Bayangkan jika diri anda terikat pada sesuatu, sekali gus menyekat pergerakan, terasa rimas, betul tak?
Bahkan, mengikat bayi terlalu ketat pada buaian boleh menghalang perkembangan otot dan tulang bayi.
Petua keselamatan menggunakan buaian elektrik
Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, buaian berteknologi tinggi ini selamat untuk digunakan. Cuma sebagai ibu bapa anda harus mengetahui cara yang betul. Berikut adalah cara menggunakan buaian elektrik yang selamat:
Hadkan masa
Masa terbaik untuk menggunakan buaian ini adalah 30 minit untuk setiap penggunaan. Berada di dalam keadaan yang berhayun terlalu lama boleh menyebabkan pening.
Ikatan longgar
Tali yang ketat boleh menghalang pergerakan bayi. Melonggarkan ikatan boleh memastikan mereka selamat dan selesa. Ini juga dapat mengurangkan kemungkinan untuk si kecil terjatuh ketika cuba mencapai mainan di atas kepala mereka.
Lapik tebal di lantai ketika menggunakan buaian bayi elektrik
Jangan lupa untuk melapik bahagian bawah buaian si kecil dengan pelapik gebu, seperti permaidani di atas lantai. Ini dapat mengurangkan risiko kecederaan teruk sekiranya bayi terjatuh daripada buaian.
Dalam jarak pemantauan
Kewujudan buaian ini adalah untuk memudahkan tugasan ibu bapa. Namun dalam masa yang sama, pastikan anak sentiasa di dalam pengawasan anda apabila meletakkan mereka di dalam buaian.
Alat kawalan buaian bayi elektrik
Kebanyakan buaian berteknologi tinggi ini akan disertakan dengan alat kawalan jauh. Jadi pastikan ia sentiasa dalam jangkauan anda.
Elakkan daripada meletakkannya di dalam poket, ini bagi menolak kemungkinan tertekan tanpa sengaja.
Kesimpulan
Walaupun buaian elektrik diciptakan dengan selamat, tetapi anda masih perlu bertanggungjawab bagi memastikan ia selamat untuk digunakan si manja.
Selagi anda menggunakan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan, tiada sebarang masalah akan anda hadapi.