home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Berapa Durasi Tidur Siang Yang Sepatutnya Bagi Baby Bawah 1 Tahun?

Berapa Durasi Tidur Siang Yang Sepatutnya Bagi Baby Bawah 1 Tahun?

Mendapatkan waktu tidur siang yang baik amat diperlukan si kecil bagi tumbesaran mereka. Tetapi adakah ibu-ibu tahu jumlah waktu tidur yang diperlukan mereka pada siang hari?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Waktu tidur siang

Secara umumnya, bayi baru lahir akan tidur selama 14 hingga 17 jam untuk tempoh 24 jam, termasuk pada siang hari khususnya pada minggu dan bulan-bulan pertama.

Tempoh tidur ini akan berubah seiring peningkatan usia si manja, itu yang pasti.

Walau bagaimanapun, ibu perlu ketahui manfaat tidur siang untuk anak amat penting bagi menyokong kesihatan dan perkembangan mereka secara keseluruhan.

Tempoh waktu tidur siang adalah berbeza bagi setiap bayi. Namun ia boleh dibahagikan kepada 2 kategori asas:

  • Monster napper – Iaitu bayi yang boleh tidur secara berterusan bagi tempoh 2 hingga 3 jam
  • Cat napper – Untuk bayi yang tidur dalam jangka masa lebih pendek – dalam anggaran 30 minit bagi setiap sesi. Tetapi akan mempunyai sesi tidur siang yang lebih kerap

waktu tidur siang

Jumlah waktu tidur siang yang baik untuk si manja

Bayi baru lahir biasanya memerlukan 3 hingga 5 sesi tidur di siang hari atau lebih. Manakala bayi dalam lingkungan usia 4 hingga 6 bulan, memerlukan 2 hingga 3 sesi tidur sehari.

Si kecil berusia 6 hingga 12 bulan perlu mendapatkan tidur siang 2 kali sehari.

Jadual tidur siang bayi

Setiap bayi adalah berbeza. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai pola tidur yang serupa – bergantung kepada usia dan tahap.

Mencipta jadual tidur bagi si manja yang baru lahir adalah sia-sia dan boleh mengganggu penyusuan susu ibu dengan memberi kesan kepada bekalan susu badan.

Namun selepas bayi berusia 3 bulan ke atas, ibu sudah boleh memulakan jadual tidur bayi pada waktu siang. Berikut adalah pecahan asas tempoh waktu tidur siang mengikut usia si manja:

3-bulan
  • 3 – 4 sesi tidur siang sehari
  • 30 minit hingga 2 jam setiap sesi
4-bulan
  • 2 – 3 sesi tidur siang sehari
  • 1 – 2 jam setiap sesi
5-bulan
  • 2 – 3 sesi tidur siang sehari
  • 1 – 2 jam setiap sesi
6-bulan
  • 2 – 3 sesi tidur siang sehari
  • 1 – 2 jam setiap sesi
7 hingga 12-bulan
  • 2 sesi tidur siang sehari 1 pada waktu pagi dan 1 pada waktu tengah hari
  • 1 – 2 jam setiap sesi

Baca juga:

Jadual asas ini hanyalah sekadar panduan. Ini kerana, tidak ada ketetapan mengenai jumlah tidur siang yang wajib untuk si kecil. Paling penting, anak mendapat tidur yang mencukupi setiap hari.

Di samping itu, tidur di siang hari yang terlalu lama pada lewat petang boleh mengganggu waktu tidur malam si manja.

Ibu juga perlu memastikan anak mempunyai tempoh berjaga yang bersesuaian mengikut usia antara setiap sesi tidur siang:

  • 0-1 bulan: 45 minit antara sesi tidur siang
  • 1-2 bulan: 45-60 minit antara sesi tidur siang
  • 2-4 bulan: 1.5-3 jam antara sesi tidur siang
  • 5-8 bulan: 2.5-3 jam antara sesi tidur siang
  • 9-12 bulan:: 2.5-4 jam antara sesi tidur siang

Apa patut dilakukan jika bayi tidak mahu tidur?

Apabila bayi menangis dan meregek ketika anda ingin menidurkan mereka, pastinya akan menyebabkan ibu berasa susah hati, bukan?

Punca bayi meragam ketika sesi tidur siang adalah sama ketika mereka dibawa untuk tidur malam.

waktu tidur siang

Bayi bayi baru lahir, mungkin mereka tidak biasa baring secara menelentang sekali gus mendatangkan kesukaran waktu tidur siang. Jadi anda boleh cuba membedung atau menggunakan buaian tidur.

Untuk bayi yang lebih berusia, mereka mungkin sukar tidur kerana bunyi bising dan gangguan waktu tengah hari. Jadi pastikan keadaan bilik sunyi dan malapkan lampu.

Kesukaran untuk tidur boleh terjadi apabila anak mengalami ketidakselesaan ketika tumbuh gigi. Jika mainan teething tidak membantu, tanya kepada pakar pilihan lain untuk dicuba.

Terdapat kemungkinan juga bayi sukar tidur kerana seronok bermain. Rutin tidur siang adalah sama seperti tidur malam – perlukan alunan lagu, penyusuan dan pelukan.

Bayi tidak lagi memerlukan waktu tidur siang

Pastinya anda akan tertanya-tanya, sampai bila bayi akan tidur pada siang hari, dan bagaimana jika selepas tempoh usia tertentu si manja tidak lagi mahu tidur siang? Adakah tumbesaran mereka akan terganggu?

Itu adalah persoalan biasa yang sering bermain di fikiran ibu bapa.

Apabila semakin berusia, bayi akan mengurangkan jumlah tidur pada waktu siang mereka. Ia akan bergantung 100% kepada tahap kesediaan bayi itu sendiri.

waktu tidur siang

Menjelang usia 3 – 4 tahun, si kecil mungkin tidak memerlukan langsung waktu tidur siang. Jika ini berlaku, ibu ayah tidak perlu khuatir.

Ini kerana waktu tidur malam akan menjadi lebih mudah dan mereka akan dapat tidur lebih lena dan berkualiti pada tempoh ini.

Daripada usia bayi baru lahir hingga ke akhir tahun pertamanya dan menginjak ke usia kanak-kanak, mendapat tidur yang mencukupi serta berkualiti adalah mustahak untuk perkembangan mereka. Ini termasuklah tidur di siang hari.

Tidak dinafikan membina ketetapan untuk tidur siang bayi agak sukar. Tetapi anda boleh mencipta pola bersesuaian dengan bayi untuk memastikan mereka tetap mendapat rehat yang mencukupi pada waktu siang.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Naps. https://kidshealth.org/en/parents/naps.html. Accessed on Sept 17, 2021
  2. How Much Sleep Do Babies and Kids Need? https://www.sleepfoundation.org/children-and-sleep/how-much-sleep-do-kids-need. Accessed on Sept 17, 2021
  3. Baby naps: Daytime sleep tips. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/in-depth/baby-naps/art-20047421. Accessed on Sept 17, 2021
  4. How Long Is an Ideal Nap? https://www.sleep.org/how-long-to-nap/ Accessed on Sept 17, 2021
  5. Infant Sleep. https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=infant-sleep-90-P02237. Accessed on Sept 17, 2021
  6. Baby sleep patterns by age. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/sleep-patterns-for-babies. Accessed on Sept 17, 2021
  7. Healthy Sleep Habits: How Many Hours Does Your Child Need? https://www.healthychildren.org/English/healthy-living/sleep/Pages/healthy-sleep-habits-how-many-hours-does-your-child-need.aspx. Accessed on Sept 17, 2021
  8. Sleep in Your Baby’s First Year. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/14300-sleep-in-your-babys-first-year. Accessed on Sept 17, 2021
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 21/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor