Kita selalu mendengar kisah keguguran yang berlaku pada 3 bulan pertama kehamilan. Tetapi hakikatnya keadaan tersebut juga boleh berlaku walaupun usia kandungan 4 bulan dan ke atas.
Ayuh ikuti temubual eksklusif Hello Doktor bersama wanita yang pernah melalui pengalaman keguguran lewat kehamilan ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Mengalami keguguran ketika usia kandungan 4 bulan
Sebenarnya ramai wanita di luar sana yang pernah melalui pengalaman keguguran ini.
Ia pastinya bukanlah satu pengalaman yang diharap, namun jika kita percaya aturan ketentuan Tuhan, sudah tentu ada hikmah di sebalik setiap kejadian.
Sesungguhnya pengalaman keguguran itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilalui, apatah lagi setelah 6 tahun menanti kehadiran cahaya mata pertama.
Ketika diminta untuk berkongsi cerita mengenai kegugurannya, Fatihah memberitahu dia berusia 29 tahun ketika itu dan menyedari berlakunya pendarahan faraj.
Sebelum kejadian, dirinya pernah juga mengalami pendarahan dan dimaklumkan doktor bahawa tiada masalah pada kandungan, kecuali keadaan uri rendah sahaja.
Menganggap ia bukanlah situasi kecemasan, dia terus ke bilik air untuk mencucinya.
Walau bagaimanapun, semasa ingin membersihkan pendarahan yang berlaku, dia merasakan seperti ada sesuatu yang keluar daripada faraj. Apabila diperiksa, ia adalah tali pusat janinnya.
Punca keguguran ketika usia kandungan 4 bulan
Ditanya mengenai punca keguguran, Fatihah menjelaskan pada mulanya punca tidak dapat dikenal pasti.
Semasa pemeriksaan ke atas janin yang berusia 16 minggu dilakukan, doktor mendapati tali pusatnya berpintal dan berpendapat kemungkinan keguguran berlaku disebabkan bayi kekurangan nutrisi.
Walau bagaimanapun selepas melakukan ujian darah, doktor mengesan paras CMV melebihi tahap selepas dan menganggap ia sebagai punca keguguran berlaku.
CMV atau cytomegalovirus adalah virus yang biasanya tidak berbahaya. Pun begitu, ia ada kalanya boleh mendatangkan masalah kepada bayi jika mengalaminya semasa mengandung – disebut sebagai CMV kongenital.
Fatihah juga perlu melalui proses D&C untuk mengeluarkan janin dan berpantang selama 2 minggu selepas keguguran itu.
Keguguran yang berlaku adalah berita menyedihkan apatah lagi kandungannya tidak mempunyai sebarang masalah serius. Tetapi Fatihah bersama pasangannya, Amri Dalimunthe redha dengan perancangan Allah.
Apabila diminta berkongsikan keadaan suami dengan perkhabaran tersebut, Fatihah memberitahu dia sangat tabah, “Amri dapat menyelesaikan urusan penanaman janin dengan tenang. Tetapi saya tahu jauh di sudut hatinya dia bersedih kerana itulah kali pertama melihat dia menangis.“
Perkhabaran gembira
Antara persoalan sering bermain di fikiran wanita yang mengalami keguguran adalah mampukah untuk mereka hamil kembali.
Tidak terkecuali juga dengan Fatihah. Syukur rezeki amat menyebelahinya apabila mengetahui dirinya kembali hamil setelah 3 bulan keguguran.
Namun berbeza dengan kehamilan terdahulu, dia lebih berhati-hati dan teliti dalam memantau perkembangan kandungan. Ini bagi memastikan keadaan bayi tidak bermasalah agar detik hitam keguguran sewaktu usia kandungan 4 bulan tidak berulang.
Kini Fatihah dan suami telah dikurniakan 2 cahaya mata, Aqeel yang berusia 4 tahun dan Ayra berumur 3 tahun.
Keguguran lewat kehamilan
Seperti yang dikongsikan oleh Fatihah, dia mengalami keguguran ketika usia kandungan 4 bulan. Umumnya keguguran itu dirujuk sebagai keguguran lewat kehamilan.
Keguguran lewat atau turut dikenali sebagai kehilangan trimester kedua atau pertengahan trimester – merujuk kepada keguguran yang berlaku apabila bayi dalam kandungan meninggal antara 14-24 minggu kehamilan.
Sekiranya bayi meninggal pada atau selepas 24 minggu kehamilan, ia dipanggil kelahiran mati atau stillbirth.
Mungkin masih ada yang keliru di antara kejadian stillbirth dengan miscarriage (keguguran janin). Umumnya ia adalah dua perkara yang berbeza.
Janin 4 bulan keguguran itu bermaksud proses kehamilan yang berakhir dengan sendirinya dalam tempoh 20 minggu awal kehamilan.
Manakala kelahiran mati pula bermaksud janin yang terbentuk meninggal dunia di dalam kandungan ibunya selepas 20 minggu kehamilan.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan keguguran lewat terjadi. Kebanyakannya berkaitan dengan beberapa kelainan perkembangan janin.
Ia biasanya melibatkan masalah genetik atau struktur seperti kelainan kromosom atau kecacatan jantung. Trauma juga boleh menyebabkan keguguran.
Punca fizikal juga boleh mencetuskan keguguran di usia kandungan 4 bulan ke atas berlaku. Contohnya, serviks lemah yang tidak boleh menampung bayi yang semakin membesar.
Sesetengah keadaan perubatan ibu juga boleh menjadi penyebab keguguran, termasuklah penyakit kronik yang tidak diurus dengan baik.
Tanda berlakunya keguguran
Tanda dan gejala keguguran termasuk:
- Tompokan atau pendarahan faraj
- Mengalami kekejangan perut seperti yang dirasai semasa kedatangan haid
- Sakit perut yang teruk
Rawatan keguguran untuk usia kandungan 4 bulan ke atas
Perkara pertama sekali adalah doktor akan melakukan pemeriksaan serviks dan ujian ultrabunyi untuk mengesahkan keguguran. Sekiranya keguguran selesai dan rahim kosong, maka tiada rawatan lanjut yang perlu dilakukan.
Namun dalam kebanyakan kes, tidak semua tisu keluar. Jika itu yang berlaku, doktor mungkin akan melakukan prosedur dilation and curettage, atau lebih dikenali dengan singkatan prosedur D&C.
Dalam bahasa yang lebih mudah, cuci rahim, akan dilakukan doktor dengan melebarkan (dilation) menggunakan alat yang dipanggil curette untuk membersihkan lapisan rahim dan mengeluarkan sebarang tisu yang tertinggal selepas keguguran.
Terdapat juga ubat yang boleh diambil untuk menyingkirkan mana-mana tisu yang tertinggal di dalam rahim. Ini mungkin pilihan yang lebih baik jika anda ingin mengelakkan pembedahan.
Jika keguguran berlaku selepas trimester kedua atau janin 4 bulan keguguran, doktor akan melakukan induksi bagi mendorong proses kelahiran.
Kesimpulan daripada usia kandungan 4 bulan
Daripada kisah yang dikongsikan di atas, setiap wanita yang pernah mengalami keguguran masih ada peluang untuk hamil. Jangan pernah berputus asa dan sentiasa terus mencuba.
[embed-health-tool-due-date]