Tahukah anda, ada cara untuk menguji atau melihat jenis keputihan subur? Anda boleh meramal masa kesuburan dengan menguji konsistensi serta melihat perubahan warna keputihan. Ada beberapa ciri keputihan tanda subur.
Perubahan konsistensi keputihan merupakan satu tanda wanita bakal mengalami ovulasi.
Selalunya, keputihan yang berwarna putih, jernih dan seakan-akan putih telur merupakan tanda subur.
Anda boleh melihatnya dengan cara mencartakan sebarang perubahan yang berlaku pada keputihan anda.
Ya, anda perlu pegang keputihan anda untuk menguji kelikatannya. Walaupun kedengaran sangat menggelikan, jangan risau. Keputihan berasal dari badan anda dan ia merupakan sesuatu yang semula jadi.
Untuk wanita yang ingin mencartakan perubahan keputihan, anda perlulah konsisten dan melakukan pemerhatian setiap hari terutama semasa tempoh subur.
Dalam masa beberapa bulan, carta tersebut boleh menunjukkan tempoh ovulasi yang tepat dan boleh dirujuk oleh wanita.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Apakah maksud keputihan?
Keputihan merupakan sejenis cecair yang keluar dari serviks.
Perubahan hormon sewaktu kitaran haid menyebabkan mukus ini berubah dari segi tekstur, jumlah dan juga warna.
Wanita juga boleh mengesan keputihan tanda subur jika ingin merancang untuk hamil.
Jika anda ingin hamil, ini merupakan masa yang paling sesuai untuk mengadakan hubungan seks. Melalui perubahan konsistensi keputihan, anda akan dapat tahu masa anda bakal mengalami ovulasi.
Sebelum ovulasi, peningkatan hormon estrogen akan menyebabkan keputihan bertukar kepada cecair yang pekat dan likat. Tekstur inilah yang membantu sperma terus hidup dan berenang ke ovari.
Ada wanita yang mencartakan konsistensi keputihan masing-masing setiap hari. Informasi ini sangat bermanfaat jika anda merancang untuk hamil.
Malah, ia juga boleh memberitahu tempoh masa tidak subur supaya anda boleh melakukan perancangan keluarga secara semula jadi.
Jenis keputihan subur dan tidak subur
Anda boleh memeriksa jenis keputihan subur. Ikuti panduan di bawah:
Kategori keputihan 1 – Tidak subur
Warna: Tidak dapat dilihat/tiada keputihan.
Konsistensi: Kering, kasar atau gatal-gatal. Ada individu yang tidak akan mengalami keputihan pada waktu ini.
Kategori keputihan 2 – Kesuburan rendah
Warna: Tidak dapat dilihat/tiada keputihan.
Konsistensi: Lembap atau basah
Kategori keputihan 3 – Kesuburan sederhana
Warna: Putih susu, kekuning-kuningan, pekat dan melekit.
Konsistensi: Lembap atau basah
Kategori keputihan 4 – Tanda subur yang tinggi
Warna: Keputihan lutsinar, berwarna seakan-akan putih telur, melekit dan likat.
Konsistensi: Lembap, basah dan licin.
Cara periksa jenis keputihan subur
Ada caranya untuk periksa jenis keputihan subur. Anda perlu memegang keputihan anda, jadi pengalaman ini mungkin akan menyebabkan anda rasa geli.
Langkah-langkah untuk memeriksa keputihan keluar banyak seperti air:
- Basuh tangan terlebih dahulu. Kemudian, keringkan tangan anda.
- Duduk dalam keadaan yang selesa. Anda boleh duduk di atas tandas, bercangkung atau secara berdiri sambil mengangkat sebelah kaki.
- Masukkan satu jari ke dalam vagina. Gunakan jari tengah. Berhati-hati supaya tidak terkena kuku. Anda tidak perlu masukkan jari terlalu dalam.
- Keluarkan jari dari vagina dan perhatikan konsistensi mukus dengan cara menggosokkannya antara dua jari. Cuba tekankan dua jari dan tarik perlahan-lahan untuk uji kelikatan keputihan.
- Jika anda sedang mencartakan konsistensi keputihan, anda boleh gunakan singkatan seperti, M (melekit), K (berkrim), B (basah) atau apa-apa huruf mengikut keselesaan anda.
Kesimpulan
Amalan mencartakan rupa dan konsistensi keputihan sangat membantu kaum Hawa untuk menentukan tanda subur dan waktu kesuburan masing-masing.
Cara ini paling berkesan jika anda telah menyimpan carta selama beberapa bulan.
Jenis keputihan subur mungkin berbeza mengikut individu. Tidak ada keputihan yang sama antara dua wanita. Namun, wanita dapat mengesan pola keputihan dan menentukan tanda ovulasi.
Selain menguji konsistensi keputihan, ada cara lain untuk mengesan kesuburan.
Sebagai contoh, wanita boleh melakukan pemeriksaan suhu badan asas dan pemeriksaan ovulasi.
Malah, penggunaan aplikasi atas talian juga dapat membantu wanita mengesan tempoh subur masing-masing. Kami juga mempunyai kalkulator ovulasi yang mungkin dapat membantu:
[embed-health-tool-ovulation]
Namun, perlu diingat bahawa ketiadaan keputihan bukanlah tanda masalah kesuburan.
Badan wanita boleh menghasilkan hormon estrogen dalam jumlah yang banyak walaupun wanita tidak mengalami ovulasi.
Jika anda mengalami masalah keputihan, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Sama jugalah jika anda mempunyai masalah untuk hamil.