backup og meta

Belum Dapat Zuriat? Jangan Hanya Salahkan Wanita! Ketahui Apa Kata Pakar Mengenai Masalah Kesuburan

Belum Dapat Zuriat? Jangan Hanya Salahkan Wanita! Ketahui Apa Kata Pakar Mengenai Masalah Kesuburan

Masalah kesuburan bukanlah satu perkara yang mudah untuk diterima pasangan, lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun mencuba. Ia merupakan satu perkara sensitif yang dianggap tabu dalam kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak tahu apakah punca sukar hamil. Ada juga yang lebih gemar mengambil kaedah ‘tunggu dan lihat’ sehinggalah mereka boleh mendapatkan zuriat secara natural.

Tidak dinafikan, masalah kesuburan lebih sinonim dalam kalangan wanita berbanding lelaki. Wanita juga lebih mudah tertekan dan beremosi sekiranya sukar mendapatkan anak.

Ini tidak termasuk lagi dengan pandangan negatif awam tentang isu-isu kesuburan. Ada juga yang cepat menghukum kaum Hawa sebagai ‘mandul’ dan sebagainya.

Dalam artikel kali ini, kami bersempatan untuk menemu ramah Pakar Perunding Obstetrik Dan Ginekologi serta Pakar Kesuburan dari TMC Fertility, Hospital Thomson, Dr. Nurhazinat Mohamed Yunus.

Beliau sempat berkongsi pendapat mengenai masalah kesuburan dalam kalangan lelaki dan wanita, apakah punca sukar hamil, salah faham mengenai kemandulan, serta apa yang perlu pasangan lakukan sekiranya mempunyai masalah ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Kesuburan isu tabu?

1. Mengapakah masalah kesuburan masih lagi menjadi satu topik yang tabu dalam kalangan masyarakat?

punca sukar hamil

Sebelum saya huraikan lebih lanjut mengenai pendapat tabu dalam kalangan masyarakat, saya ingin perbetulkan dahulu salah faham mengenai kemandulan dan ketidaksuburan.

Sebenarnya, kemandulan bermaksud tidak boleh mendapatkan zuriat. Secara umumnya, semua pasangan boleh mendapatkan zuriat sekiranya mereka mengalami masalah ketidaksuburan.

Antara contoh kes kemandulan ialah wanita yang lahir tanpa rahim atau lelaki yang tidak dapat menghasilkan sperma sejak kecil. Kedua-dua ini merupakan contoh kemandulan.

Namun, ketidaksuburan pula menandakan pasangan tersebut boleh mendapatkan zuriat namun mereka mempunyai masalah tertentu yang menyukarkan proses tersebut. Contohnya, mungkin sperma pihak suami tidak banyak atau isteri mengalami haid yang tidak teratur. Ini merupakan antara punca sukar hamil.

Dari segi tabu pula, apabila bercakap mengenai ketidaksuburan, ia merupakan satu masalah yang intim dan bersifat peribadi.

Selalunya, pakar atau doktor akan tanya, berapa kerap pasangan bersama. Bagaimana pula dengan kebolehan suami atau isteri ketika melakukan hubungan seks? Adakah isteri mempunyai masalah pada kawasan peranakan? Semua isu ini adalah satu perkara yang terlalu intim untuk dibicarakan secara terbuka.

Oleh sebab itu, pasangan suami isteri yang sukar mempunyai zuriat ini hanya akan berbincang sesama ahli keluarga sahaja dan tidak akan membuka pekung di dada dan bercerita mengenainya kepada orang lain.

2. Ramai yang percaya masalah kesuburan merupakan masalah wanita dan bukannya lelaki. Pada pendapat doktor, apakah salah faham tentang masalah ini yang perlu diperbetulkan?

Kajian menunjukkan, masalah kesuburan ini sebenarnya sama rata sahaja antara lelaki dan wanita.

Menurut statistik, 30% masalah berasal daripada wanita. Antara punca sukar hamil dalam kalangan wanita ialah masalah pada rahim, kilang telur atau saluran falopian.

Selain itu, 30% lagi datangnya daripada lelaki yang mempunyai sperma yang tidak kuat atau masalah ereksi. 30% lagi mungkin adalah masalah kedua-dua suami dan isteri.

10% lagi merupakan masalah ‘misteri’ yang perlu diperiksa lebih lanjut oleh pakar. Doktor mungkin akan melakukan ujian air mani untuk lelaki atau imbasan ultrasound untuk wanita untuk mengenal pasti masalah sebenar.

Selain itu, pakar juga akan meminta isteri melakukan ujian kesuburan untuk memeriksa sama ada saluran falopio mereka tersumbat atau tidak.

Wanita punca sukar hamil yang utama?

3. Wanita sendiri adalah punca sukar hamil. Apakah pendapat doktor mengenai pernyataan ini?

punca sukar hamil

Secara peribadi, saya tidak rasa masyarakat masih lagi menekan wanita, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.

Namun, kaum Hawa ini kan gemar bercerita. Jadi, sekiranya mereka mempunyai masalah, mereka lebih ringan mulut untuk bertanya pada ibu, ibu mentua, kawan-kawan dan sebagainya.

Kerap bertanya dan gemar berkongsi masalah merupakan sifat seorang wanita. Jadi, tidak hairanlah jika kaum Hawa nampak lebih terkesan sekiranya mengalami masalah kesuburan.

Tetapi, berbeza pula dengan lelaki. Mereka tidak mengandung. Jadi, membuka topik untuk bertanya mengenai hal-hal kehamilan dan kesuburan ini adalah sesuatu yang di luar kebiasaan untuk mereka.

Namun, tidak dinafikan wanita akan rasa lebih tertekan dan emosi sekiranya berhadapan dengan masalah kesuburan. Manakan tidak, mereka mungkin dikelilingi wanita lain yang sedang hamil, sudah beranak-pinak atau sedang menyusukan anak. Normallah untuk mereka rasa lebih tertekan.

Tetapi, wanita jugalah yang selalunya akan memulakan perbincangan dengan pasangan untuk berjumpa pakar sekiranya tidak mampu mempunyai zuriat setelah bertahun-tahun mencuba.

4. Bagaimanakah kita dapat meningkatkan kesedaran mengenai masalah kesuburan dalam kalangan masyarakat?

Pada era 90-an dahulu, boleh dikatakan kesedaran terhadap masalah kesuburan masih rendah.

Namun, kini boleh saya katakan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat kian meningkat. Manakan tidak, teknologi di hujung jari. Orang ramai kini boleh dapatkan informasi dengan mudah.

Pada pendapat saya, tahap kesedaran mungkin dalam sekitar 60%. Namun, ia masih boleh ditingkatkan.

Ada pasangan yang masih tidak faham tentang tempoh subur, kepentingan kitaran haid yang teratur dan sebagainya. Ada juga yang tidak faham mengapa doktor perlu periksa air mani mereka. Sebab itulah, mereka tidak tahu punca sukar hamil yang dialami.

Baca juga:

Jangan bertangguh jumpa pakar

5. Apakah nasihat yang boleh doktor berikan kepada pasangan yang teragak-agak untuk mendapatkan rawatan untuk mengenali punca sukar hamil?

Pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, tidak kiralah tua atau muda sangat digalakkan untuk berjumpa pakar.

Sekiranya pasangan berusia 35 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk ‘bersama’ pasangan, mereka boleh cuba sendiri selama 1 tahun.

Namun, sekiranya sudah melebihi 35 tahun, mereka boleh cuba sendiri selama 6 bulan. Namun, jika tidak ada hasil, cepat-cepatlah berjumpa pakar untuk pemeriksaan. Doktor akan melakukan ujian awal untuk menentukan sama ada pasangan tersebut memerlukan bantuan.

Semakin lewat pasangan mendapatkan bantuan, masalah kesuburan yang mereka alami semakin sukar untuk ditangani.

6. Mengapakah pasangan yang mempunyai masalah kesuburan perlu mendapatkan khidmat profesional?

masalah kesuburan lelaki

Pasangan suami isteri tidak seharusnya merujuk masalah mereka kepada orang biasa untuk mengetahui punca sukar hamil. Selagi tidak berjumpa pakar, mereka tidak akan tahu apakah masalah sebenar yang dialami.

Tanggapan bahawa ‘masih belum ada rezeki’ juga tidak akan membantu pasangan tersebut.

Masalah kesuburan sama seperti penyakit lain, misalnya diabetes, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Individu yang mengalaminya perlukan rawatan untuk sembuh. Mereka juga perlu tahu apakah punca sukar hamil yang dialami.

7. Apa nasihat doktor kepada pasangan di luar sana yang masih lagi berusaha untuk mendapatkan cahaya mata?

Pertama sekali, saya nasihatkan pasangan tersebut untuk berjumpa pakar secepat mungkin untuk kenal pasti punca sukar hamil.

Kedua, berhati-hatilah dengan rawatan tradisional. Dalam sesetengah kes, masalah kesuburan boleh menjadi semakin teruk selepas melakukan rawatan tradisional tertentu.

Dapatkan nasihat doktor sebelum cuba berurut. Tidak dinafikan, berurut mempunyai manfaatnya yang tersendiri.

Tetapi, bagi wanita yang mempunyai masalah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, seperti mempunyai sista, endometriosis atau fibroid, bahagian peranakan mereka boleh menjadi semakin teruk selepas berurut.

Tidak subur? Buat 3 perkara ini

8. Apakah nasihat doktor kepada pasangan yang tidak tahu punca sukar hamil dan mempunyai masalah kesuburan?

punca sukar hamil

  1. Jaga pemakanan. Kurangkan gula dan ambil lebih banyak makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  2. Amalkan gaya hidup yang sihat. Lakukan senaman, pastikan tidur mencukupi, kurangkan stres dalam kehidupan seharian dan minum air dengan mencukupi.
  3. Sekiranya semua usaha tidak menjadi, jumpa doktor pakar kesuburan. Doktor akan melakukan ujian kesuburan untuk menentukan masalah yang anda alami. Pakar mungkin akan memberikan rawatan dalam bentuk pil kesuburan. Jika perlukan pembedahan, doktor akan berikan nasihat kepada pasangan tentang langkah-langkah yang perlu mereka ambil.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Infertility Causes. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/16083-infertility-causes. Accessed on March 14, 2023.
  2. Infertility. https://www.nhs.uk/conditions/infertility/. Accessed on March 14, 2023.
  3. Infertility. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/infertility/symptoms-causes/syc-20354317. Accessed on March 14, 2023.
  4. Infertility. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/infertility. Accessed on March 14, 2023.
  5. Types of fertility problems. https://www2.hse.ie/conditions/fertility-problems-treatments/types-of-fertility-problems/. Accessed on March 14, 2023.

Versi Terbaru

24/03/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Siti Sofiah


Artikel Berkaitan

4 Tanda Umum Jika Ibu Hamil Mungkin Mengalami Keguguran Di Awal Trimester!

Tak Pasti Sudah 'Lekat' Atau Belum? Ini 12 Tanda Lazim Anda Sedang Hamil


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 24/03/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan