backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ini Ujian Untuk Tahu Masalah Keputihan Pada Wanita Normal Atau Tidak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/11/2022

    Ini Ujian Untuk Tahu Masalah Keputihan Pada Wanita Normal Atau Tidak!

    Keputihan merupakan sejenis cecair yang keluar daripada vagina wanita. Masalah keputihan pada wanita merupakan antara keadaan yang lazim dialami.

    Walau bagaimanapun, bagaimana untuk kenal pasti sama ada keputihan yang dialami normal atau tidak? Ini jawapannya…

    Jangan terkejut jika melihat keputihan melekat pada seluar dalam. Sebenarnya, cecair ini merupakan sesuatu yang normal dalam kalangan wanita. 

    Malah, tugasnya adalah untuk melindungi vagina daripada jangkitan. Dalam masa yang sama, ia juga mengekalkan kelembapan Miss V kita dalam pH yang optimum.

    Masalah keputihan pada wanita, bilakah ia menjadi tidak normal?

    masalah keputihan pada wanita

    Keputihan bukanlah sesuatu yang perlu dirisiaukan. Tanda keputihan yang normal ialah:

    1. Tidak mempunyai bau yang kuat.
    2. Berwarna putih dan jernih.
    3. Pekat dan melekit.
    4. Basah dan licin.

    Jumlah cecair keputihan juga berbeza. Wanita hamil selalunya mempunyai keputihan yang lebih berat. 

    Ketika wanita menghampiri haid, keputihan juga akan menjadi semakin banyak, basah dan licin.

    Malah, masalah keputihan juga berbeza mengikut individu. 

    Ada yang perlu pakai pantyliner sebagai alas. Namun, ada juga wanita yang jarang sekali mengalami keputihan. 

    Masalah keputihan pada wanita boleh menjadi sesuatu yang tidak normal jika:

    1. Ada perubahan pada bau keputihan. Selalunya, ia akan berbau hanyir dan tidak menyenangkan.
    2. Perubahan warna, lebih-lebih lagi warna kehijau-hijauan atau kuning seperti nanah.
    3. Perubahan tekstur, pastikan keputihan tidak terlalu pekat dan berketul.
    4. Rasa gatal, pedih atau bengkak pada kawasan Miss V.
    5. Pendarahan di luar masa datang bulan.

    Jika ini yang berlaku, anda perlu periksa keputihan anda untuk memastikan ia bukan terjadi disebabkan penyakit lain.

    Apakah tujuan ujian keputihan dijalankan?

    masalah keputihan pada wanita

    Vagina wanita tidak terlepas daripada jangkitan. 

    Oleh sebab itu, ujian keputihan dijalankan untuk memeriksa sama ada Miss V terkena sebarang jangkitan atau penyakit kelamin.

    Antara penyakit yang boleh menyebabkan warna, tekstur atau bau keputihan berubah ialah:

    1. Jangkitan yis – Wanita yang mengalami jangkitan yis mempunyai keputihan yang pekat dan berwarna putih seperti keju.
    2. Trichomoniasis (Trich) – Keputihan wanita yang mengalami Trich selalunya berwarna hijau, kuning atau kelabu. Ia boleh berlaku setelah wanita melakukan hubungan seks dengan individu yang dijangkiti.
    3. Bacterial vaginosis (Gardnerella or BV) – Keputihan yang berbau hanyir selalunya disebabkan oleh BV. Ia boleh berlaku jika wanita melakukan hubungan seks dengan pasangan yang membawa bakteria yang menyebabkan BV.
    4. Gonorea – Keputihan wanita berwarna kuning dan keruh jika menghidap gonorea. Jika tidak dirawat, jangkitan ini boleh menjadi lebih teruk dan menyebabkan penyakit inflamasi pelvis (PIV).
    5. KlamidiaWanita yang mengalami klamidia selalunya tidak menunjukkan sebarang simptom. Namun, sama seperti gonorea, ia juga boleh menyebabkan PIV.

    Jenis-jenis ujian keputihan

    Ada beberapa ujian yang mungkin dijalankan untuk mendiagnosis  masalah keputihan pada wanita:

    1. Wet mount

    Ujian ini dijalankan untuk mengesan jangkitan pada vagina wanita. Sampel keputihan akan diambil dan diperiksa untuk mengesan kehadiran bakteria.

    Selain itu, doktor juga akan cuba mengenal pasti sel-sel tertentu di dalam keputihan.

     Jika sel ini dijumpai, ia dapat mengesahkan diagnosis doktor mengenai jangkitan vagina.

    2. Ujian bau (whiff test)

    Selain memeriksa kehadiran virus atau bakteria tertentu, ujian bau juga boleh dilakukan untuk mengesan masalah keputihan wanita.

    Sampel keputihan akan diambil dan diuji baunya. Satu larutan khas akan dititik ke atas sampel. 

    Jika bau yang dihasilkan kuat dan hanyir, ini merupakan tanda penyakit pada kawasan vagina.

    3. Ujian pH

    Doktor akan menguji sampel pH keputihan yang keluar daripada vagina untuk melihat sama ada ia berada dalam julat yang sihat.  

    Vagina yang sihat mempunyai julat pH di antara 3.8 hingga 4.5. Keasidan vagina merupakan sesuatu yang normal. 

    Namun, ia akan berkurang apabila wanita menjadi semakin berusia. Pada waktu ini, pH akan menghampiri 5.

    Miss V wanita merupakan ‘rumah’ bagi bakteria sihat yang berbeza. Keputihan yang dialami wanita juga sedikit berasid untuk melindungi vagina daripada sebarang jangkitan.

    4. Ujian molekul

    Ujian molekul juga boleh dilakukan untuk mengesan keputihan pada wanita.

    Melalui ujian ini, keputihan diperiksa untuk mengesan kewujudan DNA bakteria tertentu.

    Jangan pandang remeh masalah keputihan pada wanita

    masalah keputihan pada wanita

    Masalah keputihan pada wanita merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius kerana ia mungkin merupakan tanda penyakit tertentu.

    Keputihan yang tidak normal selalunya berwarna kuning atau hijau, pekat, berketul atau mempunyai bau yang hanyir.

    Jangkitan yis atau bakteria juga boleh menyebabkan masalah keputihan.

    Untuk mengelakkan sebarang masalah pada Miss V, wanita dinasihatkan supaya:

    1. Membasuh kawasan tersebut dengan air.
    2. Jangan gunakan sabun atau gel yang mengandungi pewangi.
    3. Jangan sembur deodorant atau minyak wangi pada vagina.
    4. Jangan lakukan douching, atau basuh di dalam vagina.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan pakar secepat mungkin. 

    Jika tidak dirawat, masalah keputihan pada wanita ini boleh bertukar menjadi penyakit yang lebih serius pada masa akan datang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan