backup og meta

Nak Hidangan Mudah Tapi Berkhasiat Untuk Ibu Berpantang? Sediakan Serunding Halia!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/06/2022

    Nak Hidangan Mudah Tapi Berkhasiat Untuk Ibu Berpantang? Sediakan Serunding Halia!

    Halia merupakan salah satu ramuan penting dalam masakan terutamanya masakan Melayu. Tetapi pernahkah anda mendengar kebaikan pengambilan serunding halia untuk ibu berpantang?

    Ayuh teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Khasiat serunding halia

    Halia atau nama botaninya Zingiber officinale Roscoe adalah sejenis tumbuhan yang sering digunakan di dalam pelbagai masakan sebagai bahan rempah perasa.

    Haruman dan rasa unik halia adalah berasal daripada minyak semula jadinya – perkara paling penting buat halia.  

    Halia dianggap sebagai ubatan terbaik untuk wanita selepas melahirkan anak. Pengambilannya pada bulan pertama selepas bersalin dipercayai dapat mengurangkan gejala jangka panjang seperti pening, sakit kepala, sakit pinggang, arthritis dan/atau masalah perut.

    Dari aspek saintifik, rizom halia mengandungi:

    • Air
    • Karbohidrat
    • Serat
    • Kalium
    • Fosforus
    • Oleoresin
    • Pati minyak
    • Vitamin A, B dan C
    • Lemak
    • Asid organik
    • Minyak meruap seperti zingeron, zinzerol, zingeberal, zingiberin, borneol, seniol dan feladren

    Baca juga:

    Sebelum kita bercerita lebih lanjut mengenai serunding halia, ayuh ketahui secara ringkas kebaikan tumbuhan ini.

    Mengurangkan angin dan memperbaiki sistem penghadaman

    Sudah pasti manfaatnya dalam membantu mengurangkan angin badan amat diperlukan oleh ibu selepas bersalin

    Kajian pada 2018 mengkaji kesan halia pada gas yang terbentuk dalam saluran usus semasa penghadaman.

    Kajian ini menunjukkan bahawa enzim dalam halia boleh membantu memecahkan dan mengeluarkan gas ini. Secara tidak langsung ia memberikan kelegaan buat si ibu daripada sebarang ketidakselesaan.

    Penyelidikan juga menunjukkan bahawa halia boleh melancarkan pergerakan saluran pencernaan – kesannya ia dapat melegakan atau mencegah sembelit.

    serunding halia

    Memanaskan badan

    Halia bukan sahaja mampu menghilangkan masalah angin tetapi ia juga berfungsi untuk memanaskan badan. Ini kerana kita sedia maklum, ibu berpantang akan kerap mengalami kesejukan badan.

    Mengurangkan berat badan

    Berat badan selepas bersalin turut merupakan antara perkara yang merunsingkan wanita, bukan?

    Halia mengandungi unsur yang dapat membantu melancarkan sistem metabolisme tubuh dan boleh bertindak sebagai agen pembakar lemak bagi menghapuskan lemak tepu di dalam badan.

    Rasa halia yang agak pedas dan berangin ada kalanya tidak digemari sesetengah wanita. 

    Namun disebabkan ia mempunyai banyak kebaikan untuk kesihatan, khususnya selepas bersalin, maka penggunaannya telah dipelbagaikan.

    serunding halia

    Jadi penghasilannya dalam bentuk seperti serunding halia, sudah tentu akan dapat menarik minat untuk mencubanya. Lebih baik lagi, ia juga sebenarnya boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja.

    Resipi serunding halia bersama bawang putih buat ibu berpantang

    Kini anda sudah mengetahui khasiat serunding ini khususnya buat wanita yang akan menjalani tempoh berpantang.

    Ingin tahu resipi untuk menghasilkan serunding ini? 

    Tetapi resipi yang dikongsikan adalah bersama bawang putih. Ini kerana gabungan halia dan bawang putih dipercayai amat bagus dan dapat membantu membuang angin dalam badan.

    Sudah bersedia? Jom! 

    Bahan-bahan untuk serunding halia:

    • Halia – sebaiknya pilih halia muda atau halia kampung yang berwarna lebih gelap dan bersaiz kecil
    • Bawang putih
    • Sedikit garam
    • Sedikit serbuk lada hitam

    Cara penyediaan:

    1. Hiriskan halia melawan urat dan tumbuk hingga hancur. Anda juga boleh memilih untuk memarut halia. Kemudian perahkan air jusnya dan kemudian digoreng hingga garing. Taburkan sedikit garam sebagai bahan perasa jika perlu.
    2. Bawang putih pula dihiris nipis dan kemudian digoreng garing. Semasa menggoreng anda boleh menabur sedikit garam sebagai bahan perasa.
    3. Gaulkan halia dan bawang putih yang digoreng tadi bersama sedikit serbuk lada hitam.
    4. Biarkan sejuk dan simpan ia di dalam bekas kedap udara agar tahan lebih lama.
    5. Kini serunding halia sedia untuk dinikmati bersama nasi putih panas istimewa untuk ibu berpantang! 

    serunding halia

    Oleh sebab halia banyak manfaatnya, selain dinikmati dalam bentuk serunding, anda juga boleh menyediakan teh halia yang juga amat sesuai untuk wanita dalam tempoh berpantang. Ingin tahu caranya?

    Resipi teh halia

    Walaupun anda mempunyai pilihan untuk membeli teh halia serbuk di pasaran, tetapi sudah tentu menghasilkannya sendiri lebih nikmat rasanya.

    Bahan-bahan: 

    • 1-2 inci halia mentah segar – dikupas kulit dan dihiris nipis
    • 1 ½ hingga 2 cawan air 
    • 1-2 sudu madu
    • ½ sudu jus perahan lemon atau limau – ikut citarasa

    Cara penyediaan:

    1. Halia yang sudah siap dikupas dan dihiris direbuskan ke dalam air untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 minit. 
    2. Jika mahukan rasa teh yang lebih pekat atau kuat, biarkan ia mendidih selama 20 minit atau lebih dan gunakan lebih banyak hirisan halia.
    3. Tuangkan air yang siap direbus ke dalam cawan dan tambahkan madu serta perahan lemon atau limau.
    4. Kini teh halia sedia untuk dinikmati ibu berpantang terutamanya pada waktu minum petang.

    Halia adalah baik untuk kesihatan, terutamanya wanita selepas bersalin. Tetapi jika anda tidak pasti sama ada sesuai untuk mengambilnya atau mempunyai keraguan, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

    Tahniah dan selamat berpantang daripada Hello Doktor!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan