backup og meta

Sedang Berpantang? Ibu, Ikut 3 Cara Bertungku Ini Kalau Nak Cepat Langsing!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/04/2022

    Sedang Berpantang? Ibu, Ikut 3 Cara Bertungku Ini Kalau Nak Cepat Langsing!

    Proses bertungku bagi wanita selepas melahirkan adalah amalan tradisional masyarakat Melayu semasa tempoh berpantang. Tetapi apakah kelebihannya dan bagaimana cara bertungku selepas bersalin ini dilakukan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Keperluan bertungku selepas bersalin

    Amalan bertungku ini umum adalah lebih kepada budaya Melayu, kerana jika diikutkan bangsa lain di Malaysia, tiada yang mengamalkannya. Ia biasanya dilakukan selepas bersalin atau lebih dikenali sebagai tempoh berpantang

    Tujuan bertungku semasa berpantang adalah untuk melancarkan darah, mengecut dan menaikkan rahim. Pada bahagian perut pula, ia memainkan peranan penting untuk membantu melangsingkan abdomen di samping menurunkan berat badan

    Manfaat bertungku selepas bersalin

    Apabila bertungku, haba daripada batu yang dipanaskan dan ditekapkan di bahagian tubuh akan menyebabkan saluran darah pada kulit mengembang, sekali gus menjadikan proses peredaran darah bertambah baik.

    Kesannya:

  • Nutrien dan oksigen dalam darah akan melalui bahagian tubuh yang ditungku
  • Melegakan rasa sakit dan lenguh pada otot terlibat
  • Meningkatkan fleksibiliti otot
  • Membantu menyingkirkan bahan buangan apabila darah mengalir dengan baik
  • Amalan ini juga dipercayai dapat memecahkan darah beku
  • Jenis-jenis tungku

    Adakah boleh menggunakan sebarang batu untuk bertungku ini? Jawapannya tidak. Ada beberapa pilihan tungku yang boleh digunakan. 

    bertungku selepas bersalin

    Pertamanya, tungku besi yang didatangkan dalam bentuk bulat dan lonjong. Walau bagaimanapun, tungku besi bulat agak sukar digunakan untuk bertungku pada bahagian perut. Disebabkan itu, tungku besi lonjong lebih menjadi pilihan.

    Manakala tungku batu biasanya menggunakan batu sungai. Kelebihan penggunaan tungku jenis ini adalah ia dikatakan kurang menyakitkan sekiranya digunakan dengan cara yang betul ketika proses bertungku. 

    Pilihan tungku lain adalah tungku herba yang dihasilkan daripada pasir sungai atau batu kecil yang dikeringkan untuk tahan lebih lama.

    Tungku ini juga dimasukkan dengan pelbagai jenis herba seperti jintan hitam, halba, serai wangi dan lain-lain. 

    Cara bertungku selepas bersalin

    Bagi ibu selepas melahirkan anak, amalan bertungku dipercayai dapat merawat rahim dan organ badan lain.

    Biasanya tempoh untuk bertungku selama 45 minit dilakukan ibu selepas berurut pada awal pagi dan petang.

    bertungku selepas bersalin

    Bagaimana caranya? Batu tungku yang hendak digunakan perlu dipanaskan terlebih dahulu untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.

    Kemudian, batu tunggu yang telah dipanaskan perlu dibalut dengan beberapa lapisan kain yang dilapik dengan daun mengkudu. 

    Kenapa daun mengkudu? Daun ini dipilih kerana bau wangi yang terhasil semasa bertungku dapat memberikan ketenangan.

    Selain itu, anda juga boleh menggunakan daun sirih, daun kunyit hitam, pandan, lengkuas atau serai wangi.  

    Penting untuk memastikan balutan pada batu, diikat dengan rapi pada bahagian hujungnya supaya tidak terburai.

    Bagi ibu bersalin normal, amalan bertungku ini boleh dimulakan seawal hari ke-3 selepas melahirkan anak sehingga hari ke-44. Ia juga boleh diteruskan selepas tempoh itu. 

    Untuk wanita yang melalui proses bersalin secara pembedahan caesarean, anda harus bersabar kerana perlu menunggu luka czer sembuh sepenuhnya sebelum menjalani rawatan bertungku ini. 

    Bahagian perlu bertungku selepas bersalin

    Peraturan penting semasa bertungku adalah ia perlu dilakukan ketika ibu sedang berbaring.

    Adakah semua bahagian tubuh perlu bertungku? Tidak. Berikut dikongsikan antara kawasan tubuh yang perlu menjalani proses bertungku ini:

    Bahagian peranakan

    Kawasan ini perlu ditungku bagi mengecutkan peranakan yang membesar semasa mengandung tetapi ia perlulah dilakukan dengan berhati-hati. 

    Cara bertungku untuk menaikkan bahagian peranakan ini perlu dibuat daripada bawah perut. Ia dilakukan dengan menolak batu tungku dari bawah ke atas dan mengikut arah jam. 

    Elakkan daripada meletakkan batu tungku di atas pusat atau perut.

    Baca juga:

    Sekitar buah dada, ketiak juga perlu bertungku selepas bersalin

    Bahagian lain yang terlibat adalah dada, ulu hati, ketiak dan belikat. 

    Tekapkan dengan perlahan-lahan pada bahagian dada supaya darah mengalir dengan baik. Ini untuk membolehkan susu ibu keluar dengan lancar. 

    Selepas itu, tungku dibawa ke bahagian ulu hati. Bertungku pada kawasan ini dapat membantu memecahkan angin di bahagian perut dan ulu hati. 

    Kemudian beralih pula ke bahagian ketiak kanan serta kiri. Akhir sekali barulah proses bertungku dilakukan di bahagian belikat kanan dan kiri untuk beberapa minit. 

    Di bahagian leher

    Pada bahagian tubuh ini, batu tungku diletakkan seperti bantal di bawah leher. Tujuan bertungku pada kawasan ini adalah untuk memulihkan perjalanan darah ke bahagian kepala dan leher. 

    Cara bertungku selepas bersalin di bahagian bawah pinggang

    Selain bahagian tubuh di atas, ibu selepas beranak juga perlu bertungku pada betis, paha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki.

    Anggaran masa untuk bertungku pada bahagian bawah pinggang ini adalah antara 15-20 minit.

    bertungku selepas bersalin

    Jika batu tungku yang digunakan bulat atau bujur, terdapat 2 pilihan menungku pada bahagian tapak kaki boleh anda lakukan, iaitu:

    • Merapatkan kaki dan kemudian digerakkan ke hadapan dan belakang di atas batu tungku, atau
    • Menggolekkan batu tungku ke hadapan dan belakang pada tapak kaki

    Biarkan batu tungku pada bahagian ini sehingga sejuk.

    Namun semasa melakukan amalan bertungku ini, haruslah tidak melebihi 30 minit pada satu-satu bahagian tubuh. Kenapa? Ini kerana dipercayai jika terlalu lama, saluran darah boleh mengecut.

    Selain daripada ibu selepas beranak, sesiapa sahaja boleh mengamalkan bertungku ini. Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada anda. Selamat bertungku!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan