Siapa yang selalu bersenam pasti pernah dengar mengenai sebuah alat senaman yang telah berjaya merevolusikan aktiviti kecergasan fizikal iaitu fitness tracker.
Alat yang telah menjadi pelengkap gaya setiap kali bersenam ini bukan sahaja boleh merekod aktiviti anda, ia juga mampu menterjemahkan data tersebut kepada bentuk yang lebih mudah difahami.
Sebelum ini, sukar untuk mereka yang bersenam untuk mendapatkan data yang tepat tentang jumlah langkah, jumlah larian dan juga amaun kalori yang telah dibakar setiap kali melakukan senaman.
Namun, dengan fitness tracker, semua informasi berkenaan kecergasan fizikal boleh didapati di hujung jari!
Semuanya berada di pergelangan tangan anda
Fitness tracker yang selalunya dipakai menggantikan jam tangan ini bukan sahaja boleh merekodkan semua aktiviti kecergasan anda, ia juga mempunyai pelbagai fungsi lain.
Alat ini kadangkala dilengkapi dengan personal trainer yang boleh menemani anda ketika larian dan ia juga boleh mengesan berapa lama anda tidur setiap malam! Hebat bukan?
Malah, alat ini juga boleh diselaraskan dengan telefon pintar anda dan digunakan di samping aplikasi atas talian yang lain. Oleh sebab itu, anda boleh mengakses informasi berkaitan kesihatan anda di mana jua anda berada.
Walaupun fitness tracker ini amat berguna untuk membantu kita menjalani hidup yang lebih sihat, pakar pula mempunyai pendapat yang sebaliknya.
Disebabkan alat ini dilengkapi dengan sistem yang berorientasikan matlamat, ada yang rasa gelisah jika mereka tidak mampu berlari 10 km atau berjalan 10,000 langkah sehari.
Sedar tak sedar, ramai rupanya yang telah menjadi mangsa dan ‘ketagih’ dengan penggunaan fitness tracker!
Tanda anda ketagih dengan jam pintar anda
Cuba tanya diri sendiri, adakah anda obses dengan semua nombor yang dipaparkan pada skrin fitness tracker anda?
Jika matlamat anda hari ini adalah melengkapkan 10 kilometer larian, adakah anda akan rasa gelisah dan resah jika tidak dapat menyarung kasut joging dan keluar berlari?
Bagaimana pula dengan jumlah langkah yang anda lakukan hari ini? Adakah anda sanggup berjalan dalam rumah atau berpusing-pusing di ruang tamu semata-mata ingin mencukupkan jumlah langkah harian anda?
Jika jawapannya adalah ya, jaga-jaga, anda mungkin ketagih dengan alat bantu senaman ini!
Mungkin bagi sesetengah orang, ‘ketagihan’ ini merupakan sesuatu yang baik.
Manakan tidak, disebabkan ‘ketagihan’ inilah mereka sanggup memaksa diri untuk bersenam lebih kuat setiap hari. Jadi, badan mereka akan jadi lebih sihat dan lebih cergas, betul tak?
Jawapannya adalah tidak.
Benar, senaman merupakan sesuatu yang baik untuk badan. Namun, jika anda melakukan semua aktiviti ini dalam keadaan sakit dan badan yang lenguh, anda lebih berisiko untuk mengalami kecederaan pada masa akan datang.
Malah, keadaan ini juga mungkin tidak bagus untuk kesihatan mental kita.
Ramai pengguna alat bantu senaman ini mengakui bahawa mereka membiarkan fitness tracker mengawal hidup mereka secara keterlaluan.
Mereka juga rasa tertekan jika tidak dapat menyelesaikan goal mereka pada fitness tracker setiap hari.
Tidak kurang juga, ada yang rasa diet mereka gagal kerana mereka makan tidak mengikut cadangan yang diberikan oleh alat bantu senaman mereka.
Jangan terlalu taksub menggunakan fitness tracker
Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan ketagihan kepada alat bantu senaman ini. Sebagai contoh, anda boleh:
1. Tetapkan had menggunakan jam pintar
Jika anda menghabiskan masa yang terlalu banyak untuk memeriksa jam pintar anda, cuba hadkan penggunaannya. Elakkan memakai fitness tracker anda sepanjang masa dan hanya pakai jika anda perlu bersenam.
2. Nyahpasang aplikasi kecergasan daripada telefon bimbit
Ramai yang jadi taksub dengan pencapaian diri masing-masing yang boleh diakses melalui aplikasi kecergasan di dalam telefon bimbit.
Jika anda ingin mengurangkan ketagihan terhadap alat bantu senaman ini, cuba nyahpasang aplikasi tersebut dan bersenam tanpa menggunakannya.
3. Sibukkan diri
Sebenarnya, ada banyak lagi perkara yang penting dalam hidup. Alihkan fokus anda kepada keluarga, kawan-kawan dan hobi supaya anda tidak terlalu obses menggunakan fitness tracker.
Alat ini hanya untuk bantu senaman
Fitness tracker, jika digunakan dengan betul dapat membantu anda untuk bersenam dengan lebih baik. Malah, data-data yang dikongsi oleh alat tersebut amat bermanfaat, dan boleh membantu anda untuk mencapai matlamat kecergasan fizikal yang diingini.
Walau bagaimanapun, apa-apa yang berlebihan selalunya tidak bagus untuk kesihatan. Jika anda menggunakan jam pintar anda secara berlebihan, mungkin inilah masanya untuk anda kembali melakukan perkara yang asas.
Cuba bersenam tanpa menggunakan fitness tracker tersebut. Mana tahu, anda akan jadi lebih seronok ketika bersenam!
[embed-health-tool-bmi]