home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ini 10 Kecederaan Lazim Yang Boleh Dialami Semasa Bersukan

#1 Cedera pada otot fleksor pinggul|#2 Kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL)|#3 Kecederaan kepala, konkusi|#4 Ketegangan pada otot pangkal paha|#5 Splin tulang keting|#6 Skiatika|#7 Kecederaan otot hamstring|#8 Siku tenis|#9 Kecederaan bahu|#10 Kecederaan patelofemoral
Ini 10 Kecederaan Lazim Yang Boleh Dialami Semasa Bersukan

Kecederaan sukan bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia sukan.

Ia lazim dialami oleh mereka yang aktif menceburi sukan tertentu terutamanya bagi mereka yang kurang berlatih atau cuba untuk melakukan aktiviti baharu.

Oleh sebab itulah mereka yang ingin mencuba sukan baharu perlu membiasakan diri terlebih dahulu.

Tidak perlu terlebih ‘gasak’ sehingga badan tidak mampu untuk menanggung beban baharu yang dialami.

Artikel ini akan membincangkan 10 jenis kecederaan yang biasa terjadi kepada mereka yang aktif bersukan.

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

#1 Cedera pada otot fleksor pinggul

Mana-mana otot yang bekerja di atas pinggul anda boleh dianggap sebagai otot fleksor pinggul.

Ia berperanan penting bagi memudahkan pergerakan ke atas dan bawah bagi kaki dan lutut.

Kumpulan otot ini lazim digunakan pada kebanyakan sukan, maka ia paling mudah mengalami kecederaan.

Kecederaan sukan yang melibatkan fleksor pinggul boleh berlaku apabila pergerakan pemain menyebabkan kekoyakan atau keregangan.

Pemain bola sepak, ragbi dan pelari mudah untuk mendapat masalah sebegini sekiranya mereka:

  1. Tidak melakukan senaman pemanas badan.
  2. Mempunyai otot yang lemah.
  3. Jatuh atau berlanggar semasa bersukan.
  4. Mempunyai otot yang tegang.

Antara simptom yang boleh dialami pesakit adalah:

  1. Sakit pada bahagian pinggul.
  2. Rasa sakit bagai dicucuk dan kram pada otot berkenaan.
  3. Lebam atau bengkak pada otot paha.

#2 Kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL)

ACL merupakan salah satu daripada 4 ligamen krusiat yang boleh ditemui pada lutut.

Ia merupakan salah satu ligamen major yang berperanan penting dalam aktiviti sukan. Kecederaan pada ligamen ini boleh mengganggu prestasi atlet walaupun mereka kembali pulih.

Kebiasaannya, mereka yang berhenti secara tiba-tiba atau menukar arah pergerakan semasa bergerak secara mengejut berisiko mengalami keadaan kesihatan ini.

Antara simptom yang boleh dialami penghidap adalah:

  1. Rasa atau bunyi ‘pop’ pada lutut.
  2. Sakit yang teramat pada lutut terlibat.
  3. Kebengkakan yang berlaku dalam tempoh singkat.
  4. Tidak boleh menggerakkan kaki.
  5. Jika anda cuba mengenakan daya pada lutut terlibat, anda mula berasa seperti hendak jatuh.

#3 Kecederaan kepala, konkusi

dunia sukan

Jika hendak dinilai tahap keterukan bagi kecederaan yang lazim berlaku dalam dunia sukan, konkusi boleh meraih pingat emas.

Ia merupakan satu kecederaan traumatik yang melibatkan otak kesan daripada hentaman yang dialami pada kepala.

Dalam sukan, mereka yang tidak menggunakan helmet keselamatan atau jatuh dalam keadaan kepala mendarat terlebih dahulu berisiko mengalami masalah ini.

Antara simptom yang boleh dialami adalah:

  • Sakit kepala
  • Telinga berdesing
  • Loya
  • Muntah
  • Kelesuan
  • Penglihatan kabur
  • Kekeliruan mental
  • Pening kepala
  • Amnesia (hilang ingatan)

Rujukan segera kepada doktor perubatan bertauliah penting bagi memastikan keadaan tidak melarat teruk.

#4 Ketegangan pada otot pangkal paha

Masalah ini juga kerap berlaku dalam dunia sukan.

Ia kebiasaannya melibatkan otot pada paha atas berikutan pergerakan pusingan atau perubahan arah secara mengejut.

Mereka yang menceburi sukan tenis mudah untuk mendapat masalah ini.

Antara simptom yang boleh dialami adalah:

  1. Rasa ‘pop’ pada kawasan pangkal paha.
  2. Kesakitan yang berpanjangan (berminggu).
  3. Sakit apabila mengangkat lutut.
  4. Sakit yang teramat apabila cuba merapatkan kaki.

Umumnya, mereka yang mengalami kecederaan ini boleh dirawat dengan menggunakan kaedah tuaman sejuk.

Namun, bagi kes serius, rujukan kepada doktor perlu dilakukan.

#5 Splin tulang keting

Keadaan kesihatan ini lazim berlaku pada mereka yang terlibat dalam sukan larian.

Ia terjadi akibat proses keradangan pada otot, tendon dan tisu tulang yang terletak pada tulang tibia (tulang keting).

Walaupun apa jua jenis sukan pun boleh menyebabkan masalah splin tulang keting, namun ia lazim berlaku selepas aktiviti larian terutamanya yang melibatkan jarak jauh seperti maraton.

Berikut merupakan simptom splin tulang keting:

  1. Sakit bagai mencucuk atau berdenyut pada bahagian tulang keting.
  2. Boleh berlaku semasa atau selepas bersenam.
  3. Sentuhan pada kawasan terlibat boleh meningkatkan skala kesakitan.

#6 Skiatika

kecederaan sukan

Skiatika adalah kecederaan yang melibatkan saraf skiatik yang terletak pada badan belakang bawah.

Ia lazim terjadi akibat daripada tekanan yang disebabkan oleh tulang belakang berpunca daripada duduk terlalu lama atau hernia pada cakera tulang belakang.

Trauma pada bahagian belakang badan boleh juga menyumbang kepada kecederaan sebegini.

Simptom yang boleh dialami pesakit adalah:

  1. Sakit teruk pada bahagian belakang badan atau kaki.
  2. Sukar untuk menahan kencing atau buang air besar.
  3. Hilang deria sentuh pada kaki terlibat.
  4. Lemah kaki.

#7 Kecederaan otot hamstring

Kecederaan pada otot hamstring atau tendon yang berkait dengannya boleh berlaku apabila pergerakan dibuat secara mengejut.

Ia merupakan salah satu jenis kecederaan kaki terlazim dalam dunia sukan terutamanya yang melibatkan larian seperti bola sepak, ragbi dan sebagainya.

Antara simptom yang boleh dialami pesakit adalah:

  1. Sakit yang datang secara tiba-tiba pada bahagian belakang paha.
  2. Lebam pada belakang paha.
  3. Hilang kekuatan kaki.
  4. Rasa ‘pop’ semasa kecederaan berlaku.
  5. Hilang keupayaan atau sukar untuk menggerakkan kaki.

#8 Siku tenis

Walaupun namanya siku tenis, ia tidak eksklusif kepada pemain tenis sahaja.

Mana-mana sukan atau perbuatan yang melibatkan hayunan lengan dan siku berisiko untuk mengalami masalah ini.

Siku tenis berlaku akibat daripada pergerakan berulang yang membuatkan tendon pada siku terlebih bekerja.

Ia boleh menyebabkan masalah keradangan dan simptom berikut:

  1. Sakit menjalar dari siku ke lengan hadapan dan pergelangan tangan.
  2. Sukar untuk membuka pintu yang menggunakan tombol.
  3. Sukar untuk bersalam atau menggenggam objek.
  4. Tidak boleh memegang barangan seperti cawan kopi dengan kemas.

#9 Kecederaan bahu

kecederaan sukan

Sukar untuk kita tentukan jenis kecederaan mana paling lazim berlaku.

Namun jika kita hendak membahagikan jenisnya, kecederaan bahu boleh dinobatkan antara kecederaan yang lazim berlaku.

Ia boleh terjadi apabila pergerakan bahu dibuat secara berlebihan atau berlaku dislokasi tulang.

Simptom yang boleh dialami pesakit adalah seperti berikut:

  1. Sakit pada bahagian bahu.
  2. Ruang pergerakan bahu yang sangat terhad.
  3. Rasa sakit apabila bahu bergerak.
  4. Tulang bahu terkeluar daripada soket.
  5. Lemah pada bahagian tangan.
  6. Rasa seperti bahu longgar.

#10 Kecederaan patelofemoral

‘Patelo’ merujuk kepada tulang lutut manakala ‘femoral’ merujuk kepada tulang paha.

Kecederaan patelofemoral kebiasaannya berlaku di bahagian hadapan lutut.

Ia lazim dikenali sebagai ‘lutut pelari’ memandangkan ia kerap didiagnosis dalam kalangan pelari dan mereka yang menceburi sukan lompatan.

Kecederaan ini berpunca daripada pergerakan yang banyak menggunakan lutut, ketidakseimbangan otot atau kesan sampingan daripada pembedahan pada lokasi berdekatan.

Antara simptom yang boleh dialami pesakit adalah seperti berikut:

  1. Sakit semasa berlari atau berjalan.
  2. Sakit lutut apabila naik atau turun tangga.
  3. Sukar untuk melutut atau mencangkung tanpa rasa sakit.
  4. Sakit pada bahagian hadapan lutut.
health-tool-icon

Kalkulator BMI

Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Hip flexor strain. (https://medlineplus.gov/ency/patientinstructions/000682.htm). Diakses pada 25 November 2020.
  2. ACL injury. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/acl-injury/symptoms-causes/syc-20350738). Diakses pada 25 November 2020.
  3. Concussion. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/concussion/symptoms-causes/syc-20355594). Diakses pada 25 November 2020.
  4. Groin strain vs. hernia pain: How to tell the difference. (https://www.health.harvard.edu/diseases-and-conditions/groin-strain-vs-hernia-pain-how-to-tell-the-difference). Diakses pada 25 November 2020.
  5. Shin splints. (https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/shin-splints). Diakses pada 25 November 2020.
  6. Sciatica. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sciatica/symptoms-causes/syc-20377435). Diakses pada 25 November 2020.
  7. Hamstring injury. (https://www.nhs.uk/conditions/hamstring-injury/). Diakses pada 25 November 2020.
  8. Tennis elbow. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tennis-elbow/symptoms-causes/syc-20351987). Diakses pada 25 November 2020.
  9. Common injuries of the shoulder. (https://www.urmc.rochester.edu/encyclopedia/content.aspx?contenttypeid=1&contentid=832). Diakses pada 25 November 2020.
  10. Patellofemoral pain syndrome. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/patellofemoral-pain-syndrome/symptoms-causes/syc-20350792). Diakses pada 25 November 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 22/12/2020
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor