backup og meta

Bukan Sekadar Hobi, Menyanyi & Menari Adalah Penawar Stres Terbaik! Tak Percaya? Jom Baca Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 28/06/2021

    Bukan Sekadar Hobi, Menyanyi & Menari Adalah Penawar Stres Terbaik! Tak Percaya? Jom Baca Ini

    Stres adalah satu masalah yang biasa terjadi kepada individu namun sukar dikesan kerana ia bukan sesuatu yang boleh kita lihat pada fizikal.

    Sekiranya ia berlaku kepada seseorang itu, stres akan mengakibatkan mental penderita terganggu dan terjejas lantas membuat jiwa menjadi kacau.

    Sudah banyak cara yang boleh dijumpai di mana-mana medium berkenaan tip mengurangkan stres dan antara yang popular adalah dengan menyanyi dan menari.

    Benarkah ia betul mampu membantu individu mengawal stres? Jom baca artikel ini dengan lebih mendalam lagi!

    Tekanan, jangan dipandang ringan!

    Sebelum itu, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan definisi sebenar kondisi ini terlebih dahulu.

    Untuk pengetahuan anda, stres atau lebih dikenali sebagai tekanan adalah satu keadaan yang berlaku apabila emosi seseorang itu tertekan akibat perkara tertentu.

    Apa yang mengejutkan mengenainya adalah stres boleh jadi positif jika ia membantu anda untuk mengelak bahaya atau menyuntik semangat anda bagi menyelesaikan sesuatu pekerjaan.

    Namun dalam kebanyakan kes, stres adalah negatif kerana ia akan membuat mental dan fizikal anda terjejas terutamanya jika ia dialami dalam tempoh masa yang lama.

    Buat anda yang mungkin belum tahu, terdapat 2 jenis stres iaitu:

    • Akut – Tekanan yang bersifat jangka masa pendek dan akan pergi secara sendiri dengan segera
    • Kronik – Tekanan yang bersifat jangka masa panjang dan sukar untuk hilang secara sendiri

    tanda stres

    Tanpa mengira jenisnya, kedua-dua stres ini sudah pasti akan menjejaskan kehidupan dan pekerjaan seharian anda.

    Apa punca stres?

    Sebenarnya, terdapat pelbagai punca stres yang wujud di dalam dunia ini dan ia boleh jadi positif atau negatif.

    Antara punca tekanan yang positif adalah apabila anda berada dalam keadaan terancam sama ada dari aspek mental dan fizikal.

    Ambil contoh jika anda hampir ditimpa kemalangan jalan raya, tekanan inilah yang akan membuat anda mampu berfikir secara pantas.

    Namun tekanan sering kali disebabkan oleh punca yang negatif terutamanya yang membabitkan perasaan, persekitaran, pekerjaan, perhubungan, pemakanan, kewangan dan juga bahan kimia!

    Jika mahu dituliskan, terdapat banyak pencetus stres yang boleh berlaku kepada individu sama ada secara sedar atau tidak sedar.

    Jadi adalah penting untuk anda mengenal pasti punca tekanan ini berlaku sebelum mencari kaedah mengurangkan stres yang sesuai untuk anda.

    Apa bahaya stres?

    Dalam jangka masa yang panjang, tekanan boleh memberi kesan yang teruk kepada diri anda sama ada dari aspek mental dan juga fizikal.

    Antara istilah yang kita biasa terdengar atau terbaca akibat stres adalah burn out.

    Buat anda yang mungkin baru pertama kali membaca atau mendengar istilah ini, ia adalah satu keadaan di mana tubuh badan anda sudah terlalu letih dan penat sehingga tidak mampu meneruskan apa-apa lagi.

    Ia biasa terjadi kepada individu yang mengalami tekanan berlebihan dan berlanjutan sama ada secara sedar atau tidak sedar lantas menjejaskan tahap kesihatan mental serta fizikal penderita.

    Jika tidak mahu ini terjadi kepada anda, segera lakukan tip kurangkan stres seperti menyanyi dan menari! Namun adakah ia berkesan?

    terapi muzik

    Benarkah menyanyi dan menari mampu membantu?

    Ya, tiada siapa yang boleh elakkan stres namun kita boleh kurangkan ia dengan melakukan beberapa tip yang banyak disarankan di pelbagai medium.

    Antara yang paling popular dilakukan oleh kebanyakan individu di luar sana adalah dengan pergi ke pusat atau kelab hiburan karaoke.

    Di situ, anda bolehlah melepaskan tekanan dengan menyanyi dan menari tanpa menghiraukan orang di sekeliling kerana ia berada di ruang tertutup.

    Menurut kajian yang pernah dijalankan oleh Sidney De Haan Research Centre for Arts and Health dan New England Journal of Medicine, aktiviti sebegini memang bagus untuk kesihatan anda.

    Kajian ini menunjukkan lebih daripada separuh responden berjaya mengurangkan kadar tekanan dengan hanya menjalani terapi nyanyian dan tarian.

    Profesor Stephen Clift yang merupakan ketua para pengkaji menyatakan bahawa aktiviti sebegini adalah bagus kerana ia akan mendatangkan kontak sosial terutamanya jika ia dilakukan secara beramai-ramai.

    Dalam pada itu, menyanyi dan menari juga dipercayai mampu merembeskan hormon endorfin dan oksitoksin pada tubuh badan sekali gus mengurangkan atau melegakan stres yang telah lama membelenggu diri.

    muzik

    Muzik adalah terapi terbaik!

    Sebenarnya, bukan perbuatan menyanyi dan menyanyi itu sahaja yang boleh membuat penderita tekanan itu menjadi normal kembali.

    Akan tetapi, ia didalangi oleh dendangan dan bunyian muzik yang mengiringi aktiviti sebegitu!

    Sehubungan dengan itu, ada satu kajian yang menunjukkan bahawa mendengar lagu kegemaran juga boleh jadi penawar kondisi ini.

    Oleh itu, adalah tidak salah untuk kalian cuba mengunjungi pusat atau kelab hiburan karaoke berdekatan bersama teman-teman untuk mengurangkan stres.

    Cuma elakkan daripada pergi seorang diri kerana ia hanya akan membuat anda lebih berasa seperti keseorangan ya?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 28/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan