Tanda-tanda kanser payudara peringkat awal selalu diabaikan. Adakah sebab anda takut untuk tahu? Mengenal tanda kanser payudara tahap 1 adalah tiket untuk peluang rawatan kanser yang berjaya.
Kanser payudara bukanlah lagi topik asing bagi masyarakat kita. Ia merupakan masalah kesihatan yang mengungguli carta statistik kekerapan kanser di Malaysia bagi wanita.
Rata-rata telah banyak artikel dan fakta dikongsikan, malahan ada juga perkongsian pengalaman daripada pakar serta pesakit kanser payudara terutamanya bagi yang telah berjaya dirawat.
Terdapat juga pelbagai kempen kesedaran awam yang telah dijalankan bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang kanser ini secara lebih menyeluruh.
Artikel ini dikongsi agar menyegarkan semula ingatan anda tentang tanda-tanda kanser payudara peringkat awal yang tidak boleh diabaikan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Bukan semua ketulan di payudara adalah tanda kanser payudara
Sebarang ketulan yang dijumpai di payudara dikenali sebagai ketumbuhan atau tumor. Tumor boleh terbahagi kepada dua; iaitu benign (bukan kanser) atau malignan (kanser).
Sel-sel yang normal membahagi dan bertambah secara sistematik dan penting untuk proses penggantian tisu lama atau yang rosak.
Proses ini boleh terganggu disebabkan beberapa faktor dan sel-sel mulai tumbuh secara tidak terkawal serta menghasilkan tisu tambahan yang kita panggil tumor.
Mekanisme sebenar bagaimana ini berlaku masih belum difahami sepenuhnya dan penyelidikan sedang dijalankan di seluruh dunia untuk mengupas rahsia ini.
Apabila diagnosis kanser payudara dibuat, anda perlu tahu apakah peringkat atau tahap kanser itu.
Tahap kanser payudara
Kanser payudara peringkat awal adalah Tahap 0 hingga 1 iaitu karsinoma in situ (berisiko kanser) dan bersaiz kecil iaitu kurang 2 sentimeter.
Tahap 2 hingga 4 ialah tumor bersaiz lebih besar iaitu lebih 2 sentimeter dan dinilai mengikut penglibatan nodus limfa dan jika telah merebak ke kawasan luar dada.
Faktor risiko kanser payudara
Secara ringkas disenaraikan faktor risiko yang mungkin menyumbang kepada penyakit kanser payudara.
1. Pernah mempunyai sejarah kanser terutamanya kanser payudara.
2. Sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser payudara.
3. Menarche atau kali pertama datang haid pada usia yang muda.
4. Menopause atau putus haid pada usia yang lanjut.
5. Tidak mempunyai anak.
6. Lewat hamil anak pertama, selepas berumur 30 tahun.
7. Gaya hidup – merokok, obes, mengambil minuman beralkohol, makan jamu atau ubat herba/ tradisional.
8. Rawatan ubat hormon (hormone replacement therapy, pil perancang).
Tanda-tanda kanser payudara peringkat awal
#1. Ketulan di payudara dan bawah ketiak
Mungkin anda tanpa sengaja dapat merasa benjolan di payudara atau bawah ketiak. Tidak kiralah beberapa atau hanya satu ketulan, anda perlu segera berjumpa doktor.
Bagi semua doktor, “semua ketulan di payudara adalah kanser sehingga dibuktikan bukan kanser“.
Beberapa kriteria benjolan kanser payudara ialah:
• Keras
• Permukaan tidak rata
• Tidak dapat merasa sempadan benjolan dengan jelas
• Tidak dapat digerakkan
• Bersaiz besar
Ketulan yang beranggaran saiz kurang 2 sentimeter adalah tanda kanser payudara tahap 1.
Tanda-tanda kanser payudara peringkat awal #2. Payudara tidak sama saiz
Kita sedar apabila umur wanita meningkat dewasa, secara semula jadi saiz payudara akan membesar.
Namun, kedua-dua belah payudara secara normalnya adalah simetri atau sama saiz. Sekiranya didapati sebelah payudara lebih besar atau lebih kecil maka mungkin ini disebabkan kanser.
#3. Perubahan kulit di sekitar payudara, antara tanda-tanda kanser payudara
Kulit boleh menjadi berkedut atau berubah menjadi merah keradangan di sekitar payudara. Ia mungkin disertai rasa sakit atau tidak.
Penampilan kulit seperti kulit buah oren ‘peau d orange’ adalah tanda pasti untuk kanser.
#4. Puting susu tenggelam juga tanda-tanda kanser payudara peringkat awal
Puting tenggelam mungkin normal bagi sesetengah orang, namun jika ia baru terjadi maka perlu dipastikan ini bukan kanser.
Kanser payudara boleh menyebabkan puting kelihatan seolah tertarik ke dalam.
#5. Cecair keluar daripada puting
Anda mungkin keliru adakah cecair yang keluar daripada puting itu susu? Biarlah doktor anda membantu mengenal pasti cecair puting yang normal atau bukan.
Sekiranya cecair yang keluar berwarna jernih atau putih, mungkin kanser masih di peringkat awal.
Namun, jika anda lihat cecair merah yang keluar daripada puting, itu menandakan kanser sudah di tahap akhir dan bahaya.
Tanda-tanda kanser payudara peringkat awal #6. Sakit di payudara yang berterusan
Sesetengah wanita ada rasa sakit atau tidak selesa di bahagian payudara semasa dapat haid. Namun, sakit itu selalunya sebentar saja dan akan hilang sendiri.
Jika sakit berterusan dan terdapat kemerahan pada payudara, cepatlah berjumpa doktor anda.
Jangan cuba gunakan minyak urut panas atau pergi berurut sebelum mendapatkan nasihat doktor.
Pemeriksaan sendiri payudara
Hanya anda yang dapat mengesan tanda kanser payudara tahap 1 seperti di atas. Lakukan pemeriksaan berkala ke atas payudara sendiri dan ketahui cara mencegah kanser payudara yang betul daripada anggota kesihatan di klinik atau hospital.
Jangan pilih untuk tidak tahu hanya kerana takut.
Kalau anda mengalami tanda kanser payudara tahap 1, segeralah berjumpa dengan doktor untuk siasatan lebih lanjut.
Kesimpulan
Terdapat banyak informasi dan saluran yang betul untuk anda mengetahui lebih lanjut tentang tanda-tanda kanser payudara peringkat awal.
Kanser jenis ini jika dikesan lebih awal, besar peluang untuk dirawat dengan jayanya!