backup og meta

Ladies, Ambil Tahu Jenis-jenis Pemeriksaan Yang Harus Dijalani Untuk Kekal Sihat!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/03/2022

    Ladies, Ambil Tahu Jenis-jenis Pemeriksaan Yang Harus Dijalani Untuk Kekal Sihat!

    Melakukan pemeriksaan kesihatan wanita mengikut kekerapan yang disarankan adalah cukup penting. Mengapa?

    Ini kerana, diagnosis pada peringkat awal membolehkan wanita mengekalkan kesihatan mereka pada tahap optimum.

    Apakah antara pemeriksaan yang perlu golongan wanita tahu dan jalani? Ikuti kupasan ini!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    #1. Pemeriksaan kesihatan wanita, vaginal exam (VE)

    Pemeriksaan kesihatan wanita

    Vaginal exam (VE) merupakan prosedur memasukkan jari ke dalam faraj untuk merasai serviks dan kawasan di dalamnya.

    Tambah lagi, VE sering dilakukan dalam kalangan wanita yang bakal bersalin.

    Namun, ia tidak terhad kepada wanita hamil sahaja, tapi kaum hawa yang lain juga turut ditawarkan prosedur pemeriksaan yang sama.

    Sesetengah wanita tidak rasa terganggu dengan pemeriksaan ini, namun ada juga yang berasa tidak selesa atau kadangkala terasa menyakitkan.

    #2. Pap smear (ujian Pap)

    Pap smear, juga dikenali sebagai ujian Pap, adalah prosedur pemeriksaan untuk kanser serviks.

    Pemeriksaan rahim wanita ini bertujuan untuk menguji keberadaan sel prakanser atau barah pada serviks. Untuk yang tidak tahu, serviks adalah bahagian pembukaan rahim.

    Semasa ujian Pap, doktor atau jururawat akan memasukkan spekulum ke dalam faraj.

    Kemudian, sel-sel dari serviks dikikis dengan lembut dan diperiksa untuk kenal pasti sebarang pertumbuhan abnormal. Sel bakal dihantar ke makmal untuk diuji.

    Siapa yang memerlukan Pap smear?

    Pemeriksaan kesihatan wanita

    Garis panduan terkini mengesyorkan agar wanita melakukan Pap smear setiap 3 tahun bermula pada usia 21 tahun.

    Beberapa wanita mungkin berisiko tinggi untuk terkena kanser atau jangkitan. Anda mungkin memerlukan ujian yang lebih kerap sekiranya:

    • Positif HIV
    • Punyai sistem imun yang lemah akibat kemoterapi atau pemindahan organ

    #3. Pemeriksaan kesihatan wanita: Pemeriksaan pelvik

    Pemeriksaan kesihatan wanita yang seterusnya pula adalah pemeriksaan pelvik.

    Pemeriksaan rahim wanita ini dijalankan bertujuan untuk mencari tanda-tanda penyakit pada organ tertentu dalam tubuh wanita.

    Perkataan ‘pelvik’ merujuk kepada pelvis dan ujian ini digunakan untuk memeriksa:

    • Vulva (organ kelamin luaran)
    • Rahim
    • Serviks (bukaan dari faraj ke rahim)
    • Tiub fallopio (tiub yang membawa telur ke rahim)
    • Ovari (organ yang menghasilkan telur)
    • Pundi kencing
    • Rektum (ruang yang menghubungkan usus besar ke dubur)

    Bila perlu menjalani ujian pelvik?

    Tidak ada garis panduan khusus mengenai kekerapan seseorang wanita untuk menjalani ujian pelvik, tetapi kalian disarankan untuk melakukannya sekali setahun.

    Wanita harus menjalani ujian pelvik yang pertama pada usia 21 tahun. Namun, boleh dilakukan awal jika ada masalah kesihatan lain.

    Walau bagaimanapun, antara alasan khas yang diperlukan untuk menjalani ujian pelvik termasuklah:

  • Pendarahan atau keputihan yang abnormal
  • Sejarah keluarga menghidap kanser
  • Punyai kebimbangan berkaitan kanser ovari, sista, penyakit kelamin dan masalah ginekologi lain
  • #4. Pemeriksaan kesihatan wanita, vaginoskopi

    Vaginoskopi adalah pemeriksaan bahagian dalam faraj menggunakan cystoscopy.

    Cystoscopy adalah kabel bersalut plastik yang lebih nipis berbanding pensil, dengan kamera video kecil di hujungnya.

    Semasa kamera merekodkan bahagian dalam faraj, doktor dapat melihat apa yang ditunjukkan oleh kamera pada monitor.

    Vaginoskopi adalah prosedur diagnostik. Ini bermaksud, ia membantu doktor untuk mengetahui sama ada terdapat sesuatu yang abnormal di dalam faraj.

    Pemeriksaan ini seringkali dilakukan apabila pesakit mengalami kesakitan, bau, pendarahan atau gejala lain yang tidak dapat dijelaskan dari faraj.

    #5. Pemeriksaan kesihatan wanita: Ujian ultrabunyi transvaginal

    Pemeriksaan kesihatan wanita

    Umumnya, ujian ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan gambaran organ dalaman anda.

    Pengimejan yang dilakukan dapat mengenal pasti sebarang kelainan dan membantu doktor untuk mendiagnosis masalah berkaitan kesihatan yang dialami.

    Bagi ultrabunyi transvaginal atau turut dikenali sebagai ultrabunyi endovaginal, ia adalah ujian ultrabunyi pelvis yang digunakan untuk memeriksa organ pembiakan (reproduktif) wanita, merangkumi:

    • Rahim
    • Ovari
    • Serviks
    • Faraj
    • Tiub fallopio

    Transvaginal juga membawa maksud ‘melalui faraj’ yang merujuk kepada pemeriksaan dalaman.

    Prosedur ini menggunakan transducer yang diletakkan di bahagian luar pelvis dan kemudian doktor akan memasukkan probe kira-kira dua atau tiga inci ke dalam saluran faraj anda.

    #IWD2022 #StandStrong

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 03/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan