Ini Pilihan Rawatan Untuk Pesakit Barah Payudara, Bukan Hanya Pembedahan Sahaja!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/10/2022

    Ini Pilihan Rawatan Untuk Pesakit Barah Payudara, Bukan Hanya Pembedahan Sahaja!

    Pembedahan dan terapi merupakan cara merawat kanser payudara yang paling lazim dilakukan terhadap pesakit. Selain rawatan berikut, pesakit boleh lakukan perubahan dalam gaya hidup dan mengambil ubat-ubatan alternatif untuk merawat kanser payudara.

    Pesakit yang menjalankan rawatan kanser perlulah berbincang dengan doktor terlebih dahulu berkenaan rawatan yang dipilih. Kebanyakan rawatan selamat untuk dilakukan, tetapi ia datang dengan kesan sampingannya yang tersendiri.

    Oleh itu, pastikan anda faham mengenai rawatan kanser yang bakal anda lalui. Anda boleh berhubung dengan doktor anda untuk membuat persediaan awal untuk menghadapi rawatan kelak.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Payudara, sila dapatkannya di sini.

    Cara merawat kanser payudara – Pembedahan untuk rawatan

    Cara merawat kanser payudara

    Kebanyakan wanita yang menghidap kanser payudara pernah menjalani pembedahan sebagai salah satu rawatan untuk membuang sel kanser dalam badan.

    Terdapat pelbagai jenis pembedahan yang boleh dilakukan ke atas pesakit kanser, namun jenis rawatan yang diterima mungkin berbeza mengikut jenis dan tahap kanser yang dialami pesakit. Cara rawatan kanser melalui pembedahan merupakan sesuatu yang lazim dan sering dilakukan oleh pesakit kanser payudara.

    Pembedahan untuk kanser payudara merangkumi prosedur yang berbeza. Antaranya ialah:

    1. Pembedahan untuk membuang keseluruhan buah dada (mastectomy)
    2. Pembedahan untuk membuang sebahagian daripada tisu buah dada (lumpectomy)
    3. Pembedahan untuk membuang nodus limfa
    4. Pembedahan untuk membentuk semula payudara selepas rawatan

    1. Lumpectomy

    Lumpectomy merupakan sejenis pembedahan yang bertujuan untuk membuang tisu kanser pada payudara pesakit. Lumpectomy turut dikenali sebagai pembedahan memulihara payudara (breast-conserving surgery) kerana hanya sebahagian daripada buah dada sahaja yang dibuang semasa rawatan.

    Wanita yang menghidap kanser pada tahap awal selalunya akan melalui pembedahan jenis ini untuk membuang sel kanser. Selepas pembedahan, pesakit akan melakukan terapi radiasi untuk membunuh sebarang sel kanser yang tinggal selepas pembedahan.

    2. Mastectomy

    Mastectomy merupakan pembedahan yang dilakukan untuk membuang semua tisu payudara daripada buah dada untuk merawat atau mencegah kanser.

    Individu yang masing menghidap kanser pada tahap awal boleh memilih antara mastectomy ataupun lumpectomy sebagai rawatan. Namun, bukan semua pesakit boleh melakukan lumpectomy. Ada juga pesakit yang memilih untuk melakukan mastectomy atas alasan tersendiri.

    Selalunya, pesakit yang melakukan pembedahan ini mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap kanser payudara kali kedua walaupun setelah melakukan rawatan.

    Oleh itu, mereka bertindak membuang kedua-dua belah payudara supaya kanser tersebut tidak akan kembali.

    Pesakit yang melakukan mastectomy boleh melakukan pembedahan penstrukturan semula payudara pada akhir pembedahan.

    3. Sentinel node biopsy

    Sentinel node biopsy ialah pembedahan yang dilakukan untuk mengesahkan sama ada kanser telah merebak ke kawasan sistem limfa. Kaedah ini lazim digunakan untuk menilai sama ada sel kanser wujud di dalam kelenjar limfa.

    Keputusan yang positif menandakan kanser telah berada di dalam kelenjar limfa yang berdekatan dengan tumor primer. Informasi ini boleh membantu doktor bagi menentukan tahap kanser dan merancang rawatan yang bersesuaian dengan pesakit.

    Keputusan yang negatif pula menandakan bahawa kanser masih belum merebak ke nodus limfa ataupun organ yang berdekatan.

    4. Axillary lymph node dissection

    Ada tiga tahap axillary lymph node ataupun kelenjar limfa yang terletak di bawah bahagian bawah lengan atau ketiak:

    • Tahap 1: Bahagian paling bawah otot pectoralis minor.
    • Tahap 2: Berada di bawah otot pectoralis minor.
    • Tahap 3: Berada di atas otot pectoralis minor.

    Pembedahan kelenjar limfa bawah lengan selalunya dilakukan untuk membuang nodus limfa pada tahap 1 dan 2. Wanita yang menghidap kanser payudara jenis invasif selalunya akan menjalani mastectomy selepas melakukan pembedahan ini.

    5. Pembedahan semula (Re-excision)

    Re-excision merupakan pembedahan yang dilakukan selepas pesakit melalui lumpectomy. Melalui pembedahan ini, doktor akan memeriksa sama ada sel kanser telah 100% dibuang ketika pembedahan.

    Jika menemui sel kanser, doktor akan melakukan pembedahan semula (re-excision) untuk membuang semua sel tersebut. Pembedahan akan dijalankan sehinggalah tidak ada lagi sel kanser yang tinggal di dalam buah dada pesakit.

    6. Penstrukturan semula payudara

    Selepas melakukan mastectomy, pesakit mungkin mahu melakukan pembedahan untuk membentuk semula payudara. Pembedahan ini boleh dilakukan selepas mastectomy atau pada masa yang lain.

    Namun, ada wanita yang memilih untuk tidak melakukan pembedahan penstruturan semula payudara. Pesakit boleh memilih untuk memakai prostesis (payudara palsu). Ada juga wanita yang selesa tanpa sebarang prostesis.

    Anda mungkin berminat:

    Terapi radiasi sebagai rawatan kanser

    Terapi radiasi ialah sejenis rawatan yang menggunakan sinaran atau partikel bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.

    Pesakit mungkin memerlukan terapi radiasi selepas menjalani pembedahan.

    Walau bagaimanapun, terapi tidak akan dimulakan selagi kesan pembedahan belum baik sepenuhnya. Jika pesakit menerima rawatan kemoterapi, terapi radiasi akan dijalankan selepas rawatan kemoterapi selesai.

    Terapi radiasi boleh dilakukan dengan dua cara:

    • Radiasi luaran (external radiation): Radiasi akan diberikan dari luar badan ke kawasan payudara. Terapi radiasi jenis ini adalah yang paling lazim dilakukan untuk merawat kanser payudara.
    • Radiasi dalaman (internal radiation atau brachytherapy): Setelah pesakit melakukan pembedahan untuk membuang tumor, doktor akan memasukkan alat yang mempunyai sumber radiasi ke dalam payudara berdekatan dengan lokasi tumor yang dibuang.

    Terapi ubat-ubatan sebagai rawatan kanser payudara

    Cara merawat kanser payudara

    1. Kemoterapi

    Kemoterapi merupakan sejenis rawatan yang diberikan secara intravena ataupun melalui ubat yang dimakan secara oral. Ubat tersebut akan bergerak melalui salur darah dan merawat kanser yang terdapat dalam badan pesakit.

    Kemoterapi boleh dilakukan bersama rawatan lain mengikut kesesuaian. Terdapat dua jenis kemoterapi untuk pesakit kanser payudara:

    • Kemoterapi selepas pembedahan (adjuvant chemotherapy): Kemoterapi ini bertujuan membunuh sel kanser yang tertinggal atau telah merebak tapi tidak dapat dilihat walaupun menggunakan kaedah pengimejan. Kemoterapi selepas pembedahan boleh mengurangkan risiko kanser payudara daripada berulang untuk kali yang kedua.
    • Kemoterapi sebelum pembedahan (neoadjuvant chemotherapy): Kemoterapi jenis ini pula diberikan kepada pesakit bagi mengecutkan tumor supaya ia boleh dibuang dengan pembedahan yang tidak ekstensif.

    2. Terapi bersasar (targeted therapy)

    Satu di antara 5 wanita yang menghidap kanser payudara mempunyai sel kanser yang terdiri daripada sejenis protein yang dikenali sebagai HER2. Kanser yang mempunyai protein jenis ini merebak dengan lebih agresif.

    Terapi bersasar menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyerang sel kanser secara spesifik. Melalui terapi hormon, ubat tersebut akan melekat pada reseptor protein HER2 lalu menghalang sel tersebut daripada membesar dan merebak.

    3. Terapi hormon

    Terdapat beberapa jenis kanser payudara yang sensitif terhadap hormon, terutamanya hormon estrogen dan progesteron.

    Terapi jenis ini akan menghentikan hormon daripada melekat pada reseptor yang terdapat pada sel kanser. Rawatan ini digalakkan untuk pesakit yang mempunyai tumor reseptor positif hormon.

    Sama seperti kemoterapi, terapi hormon juga boleh dijalankan sebelum atau selepas pembedahan. Jika kanser telah merebak ke seluruh badan, terapi hormon boleh membantu mengawal dan mengurangkan sel kanser dari merebak dengan lebih teruk.

    Terapi tanpa preskripsi (Over the counter (OTC) therapy)

    Pesakit kanser payudara boleh mendapatkan ubat-ubatan tanpa preskripsi di farmasi berdekatan untuk tujuan melegakan kesan sampingan yang mungkin dialami selepas melalui rawatan kanser.

    Sebagai contoh, pesakit boleh membeli ubat tahan sakit seperti ibuprofen ataupun ubat untuk menghilangkan rasa loya dan muntah di kaunter farmasi.

    Walau bagaimanapun, sebelum membeli ubat tanpa preskripsi, pastikan anda terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada doktor anda. Seterusnya, pastikan ubat itu selamat dimakan dan tidak akan membuatkan anda makin sakit.

    Gaya hidup

    Merubah gaya hidup merupakan salah satu cara merawat kanser payudara yang paling efektif. Ia juga juga boleh membantu dalam melegakan kesan sampingan akibat rawatan kanser. Sebagai contoh:

    1. Kawal saiz hidangan

    Makan saiz hidangan yang lebih kecil merupakan salah satu cara yang terbaik untuk mengurangkan kalori yang dimakan setiap hari. Malah, saiz makanan yang lebih kecil juga bermakna anda akan mengambil jumlah gula dan garam yang lebih sedikit.

    2. Makan dengan perlahan-lahan

    Makan dengan lebih perlahan dapat membantu anda mendapat pencernaan yang lebih baik, penurunan berat badan dan rasa berpuas hati yang lebih tinggi terhadap makanan yang diambil. Makan dengan perlahan juga boleh bantu badan mengekalkan hidrasi.

    3. Amalkan diet rendah lemak

    Kajian mendapati wanita yang mengurangkan lemak dalam makanan mempunyai 21% risiko yang lebih rendah untuk menghidap kanser payudara.

    4. Berehat selepas makan

    Berehat selepas makan boleh membantu badan untuk mencerna makanan dengan lebih baik.

    5. Elakkan ambil makanan yang anda tidak boleh makan

    Jika boleh, elakkan ambil makanan yang anda tidak boleh makan untuk elakkan rasa loya dan muntah-muntah. Berbincang bersama doktor supaya anda boleh mengawal kesan sampingan daripada rawatan kanser dengan lebih baik.

    Ubat-ubatan alternatif

    Ubat-ubatan alternatif bukan salah satu cara merawat kanser payudara. Tetapi, ia mungkin dapat mengurangkan simptom atau kesan sampingan yang anda alami akibat rawatan kanser.

    Jika anda kerap rasa pening, loya atau muntah-muntah, anda boleh cuba lakukan akupuntur. Kajian mendapati akupuntur berkesan dalam mengurangkan kesakitan yang dialami oleh pesakit kanser.

    Malah tidur pula boleh dikurangkan jika anda rajin bersenam atau melakukan yoga. Anda juga boleh lakukan meditasi, berurut atau lakukan Tai Chi untuk mengurangkan stres dan kegelisahan yang anda alami.

    Anda mungkin menjumpai rawatan yang sesuai dilakukan bersama rawatan alternatif. Namun, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang rawatan alternatif.

    Rawatan kanser menggunakan ubat-ubatan atau herba

    Ubat-ubatan yang berasaskan herba merupakan satu cara yang lazim digunakan untuk merawat kanser payudara secara semula jadi. Namun, walaupun herba bersifat natural, tidak semestinya ia baik dan selamat untuk badan.

    Herba yang anda makan mungkin akan bertindak balas secara negatif dengan rawatan kanser. Sebagai contoh, ginseng boleh menyebabkan badan mengalami pendarahan yang berlebihan selepas pembedahan.

    Pastikan anda berbincang terlebih dahulu dengan doktor sebelum mengambil apa-apa ubat berasaskan herba.

    Setakat hari ini, masih belum ada bukti saintifik yang cukup untuk mengesahkan bahawa ubat-ubatan yang berasaskan herba ini boleh digunakan untuk merawat kanser.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/10/2022

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan