backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Bukan Susu Yang Keluar, Tapi Ada Cecair Warna Lain Pada Puting! Semak Petanda Infeksi @ Barah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/12/2022

    Bukan Susu Yang Keluar, Tapi Ada Cecair Warna Lain Pada Puting! Semak Petanda Infeksi @ Barah

    Pengeluaran cecair puting atau nipple discharge membawa maksud cairan yang keluar daripada puting payudara.

    Cecair boleh terhasil saat kalian menekan puting, atau ia juga boleh keluar dengan sendirinya.

    Apa yang menghairankan, mengapa sesetengah wanita alami kondisi ini walaupun tidak menyusu atau hamil?

    Ternyata, cairan daripada puting adalah perkara biasa yang boleh berlaku kepada kaum Hawa pada tahun-tahun subur (reproductive years) mereka, tanpa perlu hamil atau menyusu.

    Kebiasaannya, cecair puting tidak menjadi indikasi yang serius, tapi ia boleh menjadi antara tanda kanser payudara!

    Justeru, adalah wajar untuk melakukan konsultasi dengan doktor jika kalian mempunyai sebarang kemusykilan atau kebimbangan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita sila dapatkannya di sini.

    Jenis-jenis & simptom cecair puting

    Nipple discharge boleh hadir dalam pelbagai warna dan setiap warnanya dapat memberi anda petunjuk kepada penyebabnya.

    Berikut adalah senarai warna cecair puting berserta faktor yang berisiko menjadi punca:

    • Warna putih, kuning atau dipenuhi nanah: Disebabkan jangkitan pada puting atau payudara
    • Warna hijau: Sista mungkin penyebabnya
    • Warna coklat atau seakan keju: Mammary duct ectasia (saluran susu tersekat)
    • Warna jernih: Kanser payudara, terutamanya jika hanya terjadi pada sebelah payudara
    • Warna seperti darah: Papilloma atau kanser payudara

    Selain perbezaan warna, cecair puting juga boleh mempunyai tekstur yang berbeza, mungkin tebal, nipis, atau melekit.

    Di samping itu, kondisi ini boleh berlaku pada 1 atau kedua-dua puting dan juga mempunyai risiko bocor sendiri atau hanya terjadi saat puting ditekan.

    Simptom-simptom lain yang mungkin disertai dengan cecair puting termasuk:

    • Payudara terasa sakit
    • Benjolan atau bengkak di payudara atau di sekitar puting
    • Fizikal puting berubah, seperti tenggelam ke dalam, berubah warna, gatal, atau bersisik

      kemerahan

    • Ukuran payudara berubah, seperti 1 payudara lebih besar atau lebih kecil berbanding yang lain
    • Demam
    • Haid tidak menentu
    • Loya atau muntah
    • Keletihan

    Puting keluar cecair, apa puncanya?

    cecair puting

    Semasa sedang hamil atau menyusu, sejumlah kecil susu mungkin terbocor daripada payudara anda.

    Pun begitu, wanita yang tidak menyusu atau hamil juga boleh mengalami kondisi ini.

    Antara penyebab lain puting keluar cecair termasuk:

    • Pil pencegah kehamilan
    • Jangkitan di payudara atau abscess
    • Duct papilloma, pertumbuhan seakan ketuat yang tidak berbahaya di saluran susu
    • Ubatan yang meningkatkan tahap hormon penghasil susu prolaktin, ubat antidepresi dan penenang
    • Rangsangan payudara atau puting yang berlebihan
    • Fibrocystic breasts
    • Perubahan hormon ketika haid atau menopaus
    • Kecederaan pada payudara
    • Mammary duct ectasia (saluran susu tersekat)
    • Prolactinoma, tumor bukan barah pada kelenjar pituitari
    • Kelenjar tiroid tidak aktif
    • Kanser payudara

    Cecair puting & barah payudara

    Walaupun menyeramkan, kanser payudara berisiko menjadi punca keluarnya cecair puting, terutamanya ductal carcinoma in situ (DCIS), satu bentuk awal barah payudara yang bermula di saluran susu.

    Ia juga boleh berlaku dengan penyakit payudara Paget, sejenis kanser payudara jarang berlaku yang melibatkan puting.

    Jika anda menghidap kanser ini, cecair mungkin hanya keluar daripada sebelah payudara. Anda mungkin juga mempunyai benjolan di payudara.

    Bagaimanapun, cecair puting jarang disebabkan oleh barah. Malah, satu kajian mendapati hanya 9% dalam kalangan wanita berusia 50 tahun atau lebih menemui doktor dengan isu ini menghidap kanser payudara.

    Tapi usah terlalu selesa pula, adalah disarankan untuk membuat pemeriksaan sekiranya kondisi ini terjadi kepada anda, lebih-lebih lagi jika ia adalah gejala baru.

    Mencegah itu lebih baik daripada merawat, kan?

    Temui doktor apabila…

    cecair puting

    Kebiasaannya, kondisi puting keluar cecair tidak perlu dibimbangkan. Namun, kerana ia boleh menjadi tanda barah payudara, wanita amat disarankan menjalani pemeriksaan!

    Segera temui doktor sekiranya:

  • Mempunyai benjolan di payudara
  • Fizikal puting berubah, seperti berkerak atau perubahan warna
  • Mengalami kesakitan pada payudara atau gejala kanser payudara lain
  • Puting keluarkan darah
  • Hanya 1 payudara terjejas
  • Cecair keluar tanpa henti
  • Doktor bakal melakukan pemeriksaan klinikal untuk memeriksa sebarang ketulan atau tanda-tanda kanser lain.

    Anda juga mungkin perlu menjalani 1 atau lebih daripada ujian berikut:

    • Ultrabunyi: Menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej bahagian dalam payudara
    • Mamogram: Ujian ini mengambil imej sinar-X payudara untuk membantu doktor mencari tanda-tanda kanser
    • Biopsi: Doktor mengeluarkan sampel tisu kecil daripada payudara untuk memeriksa sel kanser
    • Duktogram: Ujian ini menggunakan mamografi dan bahan kontras yang disuntik untuk menghasilkan gambaran saluran susu di payudara

    Selain pemeriksaan di atas, ujian air kencing atau darah mungkin dilakukan untuk menentukan anda hamil atau sebaliknya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan