Anda sedang batuk dan menyedari air liur atau kahak yang dikeluarkan mengandungi tompokan darah. Anda pasti akan cepat panik apabila berlakunya batuk darah di tisu. Batuk berdarah tiba-tiba ini boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai punca.
Semak simptom dan puncanya di sini serta apa yang perlu anda lakukan jika ia berlaku.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kanser, anda boleh klik di sini.
Batuk darah di tisu?
Kenapa saya batuk keluar darah? Batuk berdarah juga dikenali sebagai hemoptisis. Apabila ia terjadi, ia bukan sahaja boleh menakutkan diri kita, tetapi juga membuatkan kita keliru kerana tidak tahu dari mana dan bagaimana darah ini boleh keluar.
Ia boleh terkeluar sama ada dari saluran pernafasan, saluran esofagus, trakea, paru-paru dan juga perut.
Walaupun batuk darah di tisu ini mungkin boleh menjadi tanda kanser paru-paru, namun ia juga boleh berpunca daripada penyakit lain seperti bronkitis, pneumonia dan penggunaan ubat pencair darah.
Tanda atau simptom batuk berdarah tiba-tiba
Hemoptisis adalah pendarahan khusus yang berpunca daripada trakea atau saluran udara besar dan kecil paru-paru (disebut sebagai bronkus dan bronkiol).
Ramai orang menyifatkan gejala hemoptisis ini seperti “memuntahkan darah” atau mempunyai lendir yang berlumuran darah.
Kahak yang bercampur darah selalunya akan kelihatan sedikit berbuih.
Bergantung pada punca yang menyebabkannya, antara gejala atau simptom yang boleh berlaku termasuklah:
- Sakit dada
- Demam
- Sesak nafas
- Pening kepala atau rasa melayang
Punca yang menyebabkan batuk darah di tisu
Terdapat banyak sebab berbeza yang memungkinkan anda mengalami batuk berdarah tiba-tiba ini. Sesetengah punca yang terjadi mungkin lebih serius daripada yang lain.
Namun, ia tidak boleh ditentukan dengan tepat sekadar dengan melihat atau merasakannya sahaja.
Tidak kira jumlah darah yang keluar itu sama ada sedikit atau banyak, ia perlu diambil berat dengan sebaiknya.
Antara punca yang mungkin boleh menyebabkan keadaan ini ialah:
- Batuk yang berlebihan dan kasar
- Bronkitis (keradangan bronkus)
- Bronkiektasis (kerosakan pada saluran pernafasan)
- Bronkoskopi dan prosedur invasif lain
- Trauma pada dada
- Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)
- Kegagalan jantung kongestif (CHF)
- Komplikasi penyakit lupus (penyakit autoimun)
- Fibrosis sista (CF)
- Hemofilia dan gangguan pendarahan lain
- Menyedut objek asing dalam pernafasan
- Pneumonia
- Edema pulmonari (pengumpulan cecair di dalam paru-paru)
- Embolisme pulmonari (darah beku dalam paru-paru)
- Tuberkulosis (TB)
- Penggunaan antikoagulan (ubat pencair darah)
- Vaskulitis (keradangan saluran darah) paru-paru
- Kanser paru-paru
Bila perlu pergi ke hospital jika alami batuk darah di tisu?
Batuk berdarah tiba-tiba boleh menjadi satu kes kecemasan yang memerlukan perhatian segera. Batuk lebih daripada satu sudu teh darah dianggap sebagai kecemasan perubatan.
Batuk sehingga 100 sentimeter padu (cc) darah atau 1/3 cawan disebut sebagai hemoptisis besar-besaran dan mempunyai kadar kematian 30% hingga 50%.
Jika ini berlaku, hubungi ambulans dengan segera dan jangan memandu sendiri ke hospital.
Batuk berdarah di tisu boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dengan pantas.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan penyusupan darah ke dalam paru-paru anda, yang membawa kepada sesak nafas dan kematian.
Diagnosis batuk berdarah
Jika anda mengalami batuk berdarah walaupun dalam jumlah yang sangat sedikit, anda perlu segera berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Jika boleh, bawa bersama sampel darah atau kahak yang mengandungi darah ke hospital untuk analisis lanjut.
Cuba bungkus dalam beg plastik sebelum dibawa ke hospital.
Selain itu, doktor juga akan menyemak sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal tubuh anda.
Berdasarkan kepada semakan doktor, anda mungkin disarankan untuk menjalani beberapa ujian bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian batuk berdarah tersebut. Antara ujian yang mungkin dilakukan ialah:
- Ujian makmal untuk melihat jumlah sel darah dan tahap oksigen dalam darah
- CT scan
- X-ray dada untuk melihat sebarang jangkitan, trauma, gangguan atau tumor
- Bronskopi (skop fleksibel yang dimasukkan melalui mulut ke dalam bronkus)
Kesimpulan
Batuk darah di tisu boleh menunjukkan pelbagai punca yang mungkin berlaku kepada diri anda.
Tidak kira sama ada darah tersebut banyak atau sedikit, anda masih perlu berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan mengetahui punca sebenar yang menyebabkannya berlaku.
Jika tidak, ia boleh menyebabkan komplikasi lain yang mengakibatkan kematian.