Anemia adalah satu keadaan yang mana bilangan sel darah merah yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan fisiologi tubuh. Keperluan fisiologi yang khusus adalah berbeza dengan umur, jantina, ketinggian kediaman di atas paras laut (altitud), merokok dan peringkat kehamilan yang berbeza.
Sel darah merah berfungi sebagai sistem pengangkutan yang membawa oksigen ke tisu tubuh. Apabila anda mengalami anemia, sel darah merah tidak mencukupi atau ia tidak berfungsi dengan sepatutunya menyebabkan anda berasa lemah, letih dan sesak nafas.
Terdapat banyak jenis anemia. Berikut adalah beberapa jenis anemia:
1. Anemia kekurangan zat besi
Ia adalah jenis anemia paling biasa. Ia berlaku apabila anda tidak mempunyai zat besi yang mencukupi di dalam tubuh. Kekurangan zat besi biasanya disebabkan oleh kekurangan darah, tetapi kadang-kadang ia juga boleh berlaku disebabkan pleh penyerapan zat besi yang berkurang. Kehamilan dan melahirkan anak mengambil banyak zat besi dan itu boleh menyebabkan anemia berkaitan dengan kehamilan. Selain itu, seseroang yang telah menjalani pembedahan pintasan gastrik untuk tujuan penurunan berat badan atau sebab lain juga mungkin menyebabkan kekurangan zat besi kerana penyerapan yang kurang baik.