Sebab itulah, ahli keluarga serta mereka yang terdedah kepada asap sekunder turut berkongsi risiko kanser yang sama dengan perokok.
2. Elakkan asap rokok sekunder
Walaupun anda tidak merokok, risiko kanser paru-paru tetap akan meningkat jika anda terdedah dengan asap rokok sekunder.
Asap rokok sekunder boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 20% hingga 30%. Malah, di Amerika Syarikat, pendedahan terhadap asap rokok sekunder merupakan punca hampir 7,000 kes kanser paru-paru setiap tahun.
3. Jangan galakkan anak merokok
Menurut CDC, kebanyakan orang dewasa mula berkenalan dengan rokok pada umur 11 tahun dan mula ketagih ketika berusia 14 tahun.
Tidak dinafikan, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada budaya kuning kerana beranggapan ia merupakan sesuatu yang cool dan menarik.
Bukan itu sahaja, pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranannya yang tersendiri.
Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Semakin awal anda mengajar anak-anak mengenai keburukan merokok, semakin awallah mereka akan faham mengenai bahaya amalan ini.
4. Gas radon boleh menyebabkan kanser
Gas yang tidak boleh dilihat melalui mata kasar ini dilepaskan secara semula jadi oleh batuan dan tanah tertentu. Malah, pendedahan terhadap gas radon dalam satu jangka masa yang panjang boleh meningkatkan risiko kanser peparu.
5. Berhati-hati semasa bekerja

Hampir 15% kanser paru-paru dalam kalangan lelaki dan 5% dalam kalangan wanita berkait rapat dengan pendedahan karsinogen di tempat kerja.
Bahan-bahan seperti gas atau bahan kimia di tempat kerja boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.
Sebagai contoh, pekerja lombong atau mereka yang pernah terhidu asbestos mempunyai risiko kanser peparu yang lebih tinggi.
6. Makan lebih banyak sayur dan buah
Kajian menunjukkan diet yang seimbang mampu mengurangkan risiko kanser paru-paru dan kanser lain.
Selain itu, makanan yang rendah lemak, tinggi serat serta mengandungi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Malah, dapatan ini disokong oleh sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Nutrients.
Mereka melaporkan pengambilan buah-buahan sebanyak 100 gram sehari dapat mengurangkan risiko kanser sebanyak 5% dalam kalangan perokok dan bekas perokok.
7. Tinggalkan minuman beralkohol
Sama seperti merokok, mereka yang gemar mengambil minuman beralkohol turut mempunyai risiko kanser paru-paru yang lebih tinggi. Individu yang minum lebih daripada 7 beer atau minuman keras setiap hari mempunyai peningkatan risiko sebanyak 11%.
8. Bersenam dengan kerap untuk hentikan kanser
Tidak dinafikan, senaman mempunyai banyak kebaikan dalam mencegah penyakit. Malah, senaman juga boleh mengurangkan risiko kanser peparu dan juga kanser lain.
Orang dewasa digalakkan untuk bersenam selama 150 minit setiap minggu. Selain itu, banyakkan bergerak dan jangan duduk sepanjang hari.
9. Berhati-hati dengan pengambilan suplemen

Ada banyak suplemen di luar sana yang dikatakan dapat mengubat kanser paru-paru. Namun, jangan tertipu dengan ubat-ubatan ini. Malah, tidak ada lagi sebarang suplemen yang terbukti dapat menghentikan kanser.
Lebih teruk lagi, ada beberapa jenis suplemen yang boleh meningkatkan risiko kanser! Sebagai contoh, pengambilan suplemen beta karotena dalam kalangan perokok boleh meningkatkan risiko kanser peparu sebanyak 18%.
10. Dapatkan ujian saringan kanser paru-paru
Jika anda sudah bertahun-tahun merokok, ujian saringan untuk kanser paru-paru mungkin dapat membantu. Walaupun ujian saringan tidak boleh menyembuhkan kanser, pengesanan awal dapat mengurangkan kematian sebanyak 20%.
Ujian ini juga boleh dilakukan oleh individu yang mempunyai sejarah keluarga atau pernah terdedah dengan karsinogen di tempat kerja.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen