backup og meta

Sering Sakit Bahu Dan Belakang Badan? Jaga-Jaga, Ini Mungkin Tanda Kanser Paru-Paru!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/01/2023

    Sering Sakit Bahu Dan Belakang Badan? Jaga-Jaga, Ini Mungkin Tanda Kanser Paru-Paru!

    Tahukah anda, ramai penghidap kanser paru-paru mengalami sakit bahu dan tengkuk sebagai simptom pertama barah peparu?Jangan pelik!

    Ya, sakit bahu merupakan salah satu masalah kesihatan yang lazim kita alami. Oleh sebab itu, tidak mustahil ramai yang mungkin terlepas simptom ini.

    Walaupun begitu, tidak dinafikan sakit bahu dan tengkuk boleh berpunca daripada masalah lain. Malah, jarang sekali kanser boleh menyebabkan simptom seperti sakit bahu. 

    Tetapi, ada sebabnya mengapa beberapa jenis kanser paru-paru boleh menyebabkan rasa sakit pada kawasan bahu. Mari ikut penjelasannya melalui artikel di bawah. 

    Sakit bahu disebabkan tumor Pancoast

    sakit bahu dan tengkuk

    Sakit bahu dan tengkuk yang berpunca daripada kanser paru-paru merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku. 

    Ia merupakan sejenis simptom lazim kanser yang dikenali sebagai tumor Pancoast. Tumor ini hanya merangkumi 3%-5% kes kanser paru-paru secara keseluruhan.

    Berbeza dengan tumor lain, tumor jenis ini bermula pada bahagian atas paru-paru pesakit. Oleh sebab itu, simptom seperti sesak nafas akan datang kemudian.

    Selain itu, tumor ini juga akan merebak ke bahagian tulang rusuk, tulang belakang, saraf dan juga saluran darah pesakit.

    Apabila kanser ini merebak, pesakit akan mula mengalami simptom seperti sakit bahu, lengan dan otot pada kawasan tersebut.

    Bukan itu sahaja, apabila tumor ini kian membesar, rasa sakit ini akan menjalar pula ke bahagian belakang badan dan juga ketiak.

    Disebabkan lokasi tumor ini yang agak abnormal, pesakit mungkin tidak akan mengalami simptom lazim kanser paru-paru seperti batuk-batuk, batuk berdarah dan sesak nafas.

    Tumor Pancoast juga lebih sukar untuk didiagnosis kerana ia boleh ‘menyorok’ daripada dikesan oleh imbasan X-ray.

    Kadangkala, penghidap tumor Pancoast boleh mengalami sindrom Horner, sejenis kondisi yang menyebabkan kelopak mata melorot dan saiz anak mata mengecil.

    Apa itu sindrom Horner?

    Hampir 40% penghidap tumor Pancoast akan mengalami sindrom Horner. Sakit bahu yang kronik merupakan antara tanda utama kondisi ini. Selain sindrom Horner, kondisi ini turut dikenali dengan nama sindrom Pancoast.

    Apabila tumor Pancoast telah merebak ke luar kawasan paru-paru, ia boleh membesar dan menekan saraf di kawasan sekitarnya. Tekanan ini akan menyebabkan pesakit rasa sakit bahu dan tengkuk.

    Tetapi, bukan itu sahaja. Ia juga boleh menyebabkan masalah saraf pada sebelah kawasan muka pesakit seperti:

    1. Kelopak mata yang melorot.
    2. Anak mata yang mengecil.
    3. Kulit kemerah-merahan.
    4. Tidak dapat berpeluh secara normal.

    Sindrom Horner selalunya akan mempengaruhi kawasan muka yang berada pada bahagian yang sama dengan tumor. Kadangkala, pesakit juga akan rasa sakit atau sesemut pada bahagian tangan.

    Selain sakit bahu, kenali simptom lain kanser paru-paru

    sakit bahu dan tengkuk

    Selain sakit bahu dan tengkuk, ada banyak lagi simptom lain yang perlu diperhatikan untuk mengesan kanser paru-paru. Antara simptom yang lazim ialah:

    1. Batuk yang tidak beransur pulih dalam masa 2 hingga 3 minggu.
    2. Batuk yang berterusan dan menjadi semakin serius.
    3. Jangkitan yang berulang kali.
    4. Batuk berdarah.
    5. Sakit ketika bernafas atau batuk.
    6. Kerap sesak nafas.
    7. Sering rasa letih atau kekurangan tenaga.
    8. Tidak lalu makan.
    9. Pengurangan berat badan.

    Selain itu, ada juga simptom-simptom lain yang lebih jarang berlaku. Antaranya ialah:

    1. Perubahan pada kawasan jari. Contohnya, jari akan menjadi semakin bengkok dan hujung semakin besar (finger clubbing).
    2. Sering berdehit.
    3. Suara yang garau.
    4. Muka atau leher membengkak.
    5. Sering sakit dada dan sakit bahu.

    Semua tanda di atas merupakan antara simptom kanser yang perlu diperhatikan. Walaupun begitu, kebanyakan simptom di atas boleh berlaku disebabkan penyakit lain.

    Namun, jika anda mempunyai faktor risiko kanser paru-paru, berjumpalah doktor secepat mungkin. Ingatlah, kanser yang dikesan awal lebih mudah untuk dirawat.

    Kadangkala, kanser paru-paru dikesan apabila pesakit melakukan imbasan X-ray untuk penyakit lain.

    Malah, kebanyakan pesakit yang menemui kanser dengan cara ini tidak mengalami sebarang simptom yang menunjukkan mereka menghidap kanser paru-paru.

    Walau bagaimanapun, sebarang abnormaliti pada kawasan peparu tidak bermaksud anda mempunyai kanser paru-paru.

    Ada banyak lagi punca lain seperti jangkitan dan sebagainya. Namun, untuk mengesahkan diagnosis tersebut, doktor mungkin perlu melakukan ujian lain.

    Elak kanser peparu, jangan merokok

    sakit bahu dan tengkuk

    Rasa sakit bahu dan tengkuk merupakan antara tanda kanser yang kurang lazim. Disebabkan sakit bahu merupakan satu kondisi yang selalu berlaku kepada kita, ia mungkin juga disebabkan penyakit lain yang tidak serius.

    Apa yang penting, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin lebih-lebih lagi jika anda merokok atau pernah terdedah kepada asap rokok sekunder.

    Untuk pengetahuan anda, risiko kanser paru-paru akan meningkat dengan setiap rokok yang disedut.

    Tidak kiralah bila pun anda berhenti, risiko kanser paru-paru dapat diturunkan dengan drastik. Sama jugalah dengan risiko yang dihadapi oleh ahli keluarga anda.

    Oleh sebab itu, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin jika anda risau mengenai risiko kanser paru-paru. Konsultasi bersama doktor mungkin dapat membantu anda membuat keputusan yang terbaik untuk kesihatan anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 09/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan