backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

7 Makanan Mesra Jantung, Sesuai Untuk Penghidap Jantung Tersumbat! #6 Paling Popular

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/07/2022

    7 Makanan Mesra Jantung, Sesuai Untuk Penghidap Jantung Tersumbat! #6 Paling Popular

    Makanan untuk pesakit jantung tersumbat perlu dikawal rapi agar penyakit jantung, salah satu penyakit berbahaya di Malaysia, dapat dihindari.

    Jika plak sudah terbentuk pada dinding arteri anda, kebanyakan rawatan melibatkan prosedur invasif.

    Oleh yang demikian, polisi terbaik dalam menghindari berlakunya masalah jantung tersumbat adalah dengan mengamalkan amalan pemakanan untuk mengelakkan terbentuknya plak arteri.

    Jika anda berminat dan ingin mengetahui jenis makanan untuk pesakit jantung tersumbat, baca artikel ini sehingga habis.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.

    #1 Buah beri, makanan untuk hindar jantung tersumbat

    Seringkali kita dimaklumkan bahawa buah beri seperti bluberi baik untuk perkembangan minda.

    Namun, tahukah anda, mana-mana buah beri (bluberi, strawberi, kranberi, raspberi dan beri hitam) berupaya untuk menghindarkan proses radang dan meningkatkan tahap kesihatan jantung.

    Ini sekali gus menghindarkan insiden berlakunya penyakit berbahaya di Malaysia, penyakit jantung.

    Beri mempunyai pelbagai jenis nutrisi mikro, mineral dan kompaun tumbuhan yang baik untuk tubuh badan.

    Selain itu, buah beri juga mengandungi antioksidan yang merupakan kompaun terbaik dalam memelihara tahap kesihatan jantung.

    Perkara ini terbukti melalui kajian terdahulu yang menunjukkan penurunan risiko aterosklerosis seperti kolesterol jahat LDL, tekanan darah dan paras gula dalam darah.

    #2 Ikan, rendahkan risiko penyakit jantung tersumbat

    Anda mungkin lebih sukakan ayam berbanding ikan dalam hidangan makanan harian. Apa yang mungkin anda tidak tahu adalah ikan boleh menurunkan risiko penyakit jantung tersumbat.

    Antara elemen nutrien penting yang terkandung di dalam ikan adalah lemak omega-3. 

    Kajian menunjukkan lemak omega 3 boleh menghindarkan faktor yang menyebabkan arteri tersumbat berikutan peranannya dalam menurunkan jumlah molekul lekatan akibat proses radang di dalam salur darah.

    Pengambilan ikan juga boleh merendahkan risiko aterosklerosis. 

    Kajian oleh Universiti di Itali menunjukkan dalam kalangan 961 subjek, 13.3% individu yang mengambil hidangan ikan kurang daripada sekali seminggu didiagnosis dengan masalah aterosklerosis.

    Situasi ini dibandingkan dengan mereka yang makan ikan lebih 2 kali seminggu. Hanya 6.6% individu tersebut mengalami masalah aterosklerosis.

    #3 Tomato, kaya dengan likopen, kompaun mesra jantung

    makanan untuk pesakit jantung tersumbat

    Tomato mengandungi pigmen likopen yang mempunyai banyak kebaikan kesihatan.

    Banyak kajian yang menunjukkan pigmen tersebut boleh menurunkan kadar keradangan, meningkatkan paras kolesterol HDL dan menurunkan risiko penyakit jantung.

    Apa yang lebih menarik adalah, jika anda menggunakan minyak zaitun dalam masakan tomato, ia boleh meningkatkan kadar perlindungan terhadap arteri tersumbat.

    Perkara ini terbukti melalui kajian yang melibatkan 40 subjek di Universiti Barcelona. 

    Mereka yang makan sos tomato bersama dengan minyak zaitun mengalami kadar penurunan molekul lekatan dan protein radang terbanyak.

    #4 Bawang putih, berbau tetapi baik untuk kesihatan

    Bawang putih merupakan bahan ruji masakan. Pun begitu, ada yang tidak menyukainya berikutan ia boleh mempengaruhi bau mulut sesudah makan.

    Apa yang mungkin anda tidak tahu berkenaan dengan sayuran ini adalah bawang putih boleh melindungi arteri anda daripada tersumbat.

    Kajian 15 tahun yang melibatkan 1,226 wanita berusia 70 tahun dan lebih menunjukkan pengambilan bawang putih boleh menurunkan risiko kematian akibat penyakit yang disebabkan oleh aterosklerosis.

    Bawang putih juga mengandungi kompaun sulfur. Ia boleh membantu menghindarkan radang salur darah, mengelakkan terjadinya pembekuan darah di dalam salur darah dan meningkatkan keberadaan nitrik oksida.

    Semua kesan yang dinyatakan mampu melindungi anda daripada masalah jantung.

    #5 Buah-buahan sitrus, musuh ketat molekul radikal bebas

    Buah sitrus bukan sahaja kaya dengan vitamin, ia juga mengandungi garam mineral penting dan antioksidan termasuklah flavonoid.

    Flavonoid boleh mengurangkan kadar radang dan menghindarkan kerosakan yang disebabkan oleh molekul radikal bebas.

    Molekul tersebut kebiasaannya terhasil kesan daripada proses pengoksidaan kolesterol jahat, LDL.

    Banyak kajian yang mengaitkan peningkatan risiko aterosklerosis apabila proses pengoksidaan LDL meningkat.

    Oleh sebab itulah pengambilan buah sitrus boleh menurunkan risiko jantung dan strok.

    #6 Oat, makanan sarapan pagi yang baik untuk jantung

    makanan untuk pesakit jantung tersumbat

    Bijirin oat sering diiklankan sebagai makanan yang baik untuk jantung. Ia sememangnya benar namun penyediaannya perlu bertepatan dengan gaya hidup sihat yang seharusnya anda amalkan.

    Sekiranya oat diambil dalam pakej penyediaan segera, ia kebiasaannya mengandungi jumlah gula yang banyak.

    Oat mengandungi antioksidan (avenanthramides) yang boleh mengurangkan aktiviti protein sel radang (sitokin) dan molekul lekatan.

    Kajian yang melibatkan 716 subjek yang menghidap penyakit arteri koronari menunjukkan mereka yang makan oat secara kerap mempunyai paras LDL yang rendah.

    #7 Sayuran hijau, kaya dengan nutrien

    Sayur hijau seperti bayam, sawi, kangkung dan daun salad mempunyai kandungan nutrien yang boleh melindungi anda daripada penyakit aterosklerosis.

    Ia mengandungi kalium dalam amaun yang banyak. Elemen tersebut berupaya untuk menghindarkan pengerasan salur darah yang boleh menyebabkan masalah aterosklerosis.

    Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan sayur hijau boleh menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 15.8%.

    Konklusi

    Makanan untuk pesakit jantung tersumbat lebih tertumpu kepada makanan yang mampu menghindarkan radang di dalam salur darah.

    Masalah jantung tersumbat adalah antara penyakit berbahaya di Malaysia.

    Sekiranya anda pernah didiagnosis, anda perlu membuat perubahan pada rutin harian anda. Rujuk doktor anda untuk maklumat selanjutnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 06/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan