
Pernahkah anda berasa sakit sendi tangan ataupun sakit sendi jari tangan yang berpanjangan? Tak cukup dengan itu, kadang-kala anda juga mengalami kesakitan di bahagian siku, bahu, mahupun bahagian bawah tubuh seperti tumit, lutut dan pinggang?
Jika anda perasan, kesakitan di semua bahagian tubuh ini mempunyai satu persamaan, apakah ia? Ya, ia berlaku di bahagian sendi tubuh anda. Ini pasti akan membuatkan anda tertanya-tanya, apakah kesakitan yang sedang anda alami itu? Ikuti jawapannya di bawah ini.
Sakit Sendi Jari Tangan: Mungkinkah Ia Rheumatoid Arthritis?
Pernahkah anda mendengar nama Rheumatoid arthritis ataupun RA? Rheumatoid arthritis adalah sejenis penyakit autoimun di mana sistem imun badan yang sepatutnya melindungi tubuh daripada serangan bendasing seperti bakteria dan virus, kini mula menyerang bahagian sendi tubuh individu itu sendiri 1!
Ia kemudiannya menyebabkan keradangan yang menjadikan tisu dalam sendi yang bernama synovium menjadi tebal 1. Akibatnya, individu tersebut akan mengalami kesakitan dan bengkak pada sendi mahupun di sekitarnya. Rheumatoid arthritis boleh menjejaskan mana-mana sendi yang ada dalam tubuh, termasuklah sendi tangan dan jari.
Antara simptom Rheumatoid arthritis adalah seperti:
- Sakit di bahagian tangan ataupun jari apabila disentuh 1
- Sakit sendi tangan (dan juga bengkak)
- Sakit sendi jari tangan (dan juga bengkak)
- Sendi jari kelihatan “cacat”
- Sindrom carpal tunnel seperti kekebasan dan rasa kesemutan pada tangan
- Keletihan
- Kesakitan dan kekejangan yang berlangsung lebih dari satu jam selepas bangun dari tidur
Memandangkan Rheumatoid arthritis boleh merebak dengan pantas, simptom yang terjadi boleh menjadi semakin buruk jika tidak dirawat. RA ini boleh menyebabkan kerosakan yang teruk 2 pada bahagian sendi, malah komplikasi serius pada kebanyakan organ lain.
Berikut kami kongsikan jenis-jenis kecacatan sakit sendi tangan dan sakit sendi jari yang disebabkan Rheumatoid arthritis:
Sakit sendi jari tangan #1: Ulnar deviation ataupun ulnar drift
Ulnar deviation melibatkan keadaan di mana jari-jemari anda akan kelihatan mencondong ke jari kelingking dan mula menjauhi jari ibu. Mengapa ia terjadi? Apabila tulang rawan mula hilang fungsi dengan ketara, tulang yang lain akan mula “berlanggar” dengan sendi.
Ini kemudiannya akan mendatangkan kerosakan pada sendi tersebut hingga menyebabkan ia terdistorsi dan membengkok.
Kecacatan leher swan (swan-neck)
Kecacatan swan-neck melibatkan sendi bawah dan yang paling hujung jari anda membengkok ke bawah, manakala sendi tengah jari berada dalam keadaan yang lurus.
Sakit sendi jari tangan #3: Kecacatan Boutonniere
Sakit sendi tangan ini turut dikenali sebagai kecacatan lubang butang (buttonhole). Sendi jari tengah anda membengkok ke arah bawah tapak tangan, manakala sendi hujung jari membengkok ke atas menjauhi tapak tangan.
Sakit sendi tangan #4 Ibu jari Hitchhiker
Ini pula adalah kecacatan yang terjadi pada ibu jari tangan. Ia turut dikenali sebagai kecacatan Z, berlaku apabila ibu jari tangan membengkok di bahagian sendi yang menjadikannya lebih rapat dengan tapak tangan, dan kembali membengkok ke belakang di bahagian sendi yang berada di bawah kuku ibu jari.
Claw toe
Claw toe boleh terjadi melalui beberapa keadaan, contohnya seperti:
- Jari kaki membengkok ke atas daripada bahagian tapak kaki anda
- Jari kaki membengkok ke bawah ke arah tapak kaki, di bahagian sendi tengah
- Jari kaki membengkok ke bawah di bahagian sendi atas, di bahagian kuku jari
Bunion
Bunion terjadi apabila ibu jari kaki anda menjadi lebih besar dan terkeluar daripada garisan normal tapak kaki. Ia kemudiannya menjadikan ibu jari kaki anda menekan jari kaki kedua, lalu membuatkan jari kaki kedua bertindih ke atas ibu jari ketiga.
Sekiranya keadaan kecacatan seperti di atas tidak dirawat, sendi akan mengalami kerosakan jangka panjang yang amat signifikan.
Tisu berserabut akan terbentuk di sekitar sendi dan tulang akan tercantum. Jika perkara ini terjadi dan dibiarkan berlarutan, ia akan menjadi kecacatan kekal malah juga menyebabkan ketidakmampuan untuk jari bergerak.
Oleh sebab itu, penderita kecacatan yang disebutkan di atas amat disarankan untuk berjumpa dengan doktor, lebih-lebih lagi selepas pengambilan ubat tahan sakit tidak menunjukkan sebarang hasil hingga menyebabkan kesakitan berpanjangan, dan pembengkakan di bahagian jari tangan atau kaki.
Punca Sakit Sendi Jari Tangan Atau Sakit Sendi Tangan
Selain disebabkan masalah Rheumatoid arthritis, masalah sakit sendi jari tangan turut boleh terjadi kerana:
- Terkehel: Jari tangan terseliuh adalah perkara biasa. Ia selalunya terjadi apabila ligamen jari terlalu tegang atau terkoyak 3. Ketegangan yang berlaku pada otot atau tendon boleh menyebabkan jari terkehel, lebih-lebih lagi semasa bersukan, terjatuh, mengangkat barang dengan postur yang salah dan lain-lain.
- Sendi terkeluar: Sendi jari yang terkeluar terjadi apabila tulang tidak lagi berada di kedudukan yang betul. Untuk memperbetulkannya, anda memerlukan pakar perubatan.
- Tulang patah: Jika terdapat tulang yang patah berhampiran dengan sendi, kesakitan boleh menekan fungsi jari 3 anda. Ia kemudiannya akan mengakibatkan sakit sendi, kekakuan dan pergerakan yang terhad.
- Metastasis: Metastasis tulang adalah tumor yang terjadi apabila sel barah tersebar ke tisu tulang. Keadaan ini jarang berlaku, dan biasanya ia terjadi pada penghidap kanser. Antara simptomnya adalah sakit tulang dan kelemahan anggota badan.
Bagaimana Rheumatoid arthritis Dirawat?
Rheumatoid arthritis tidak boleh dirawat, tapi boleh dikawal dengan berkesan. Kini, rawatan berstrategi menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam meningkatkan kualiti hidup penderita RA. Pendedahan yang dilakukan dalam rawatan ini memperlihatkan hasil seperti mengurangkan gejala dan meredakan kesakitan pesakit.
Selain itu, Rheumatoid arthritis juga boleh dirawat melalui:
- Ubat-ubatan 4
- Ubat-ubatan alternatif atau traditional
- Perubahan diet
- Senaman tertentu
Dapatkan pandangan doktor untuk menentukan rawatan mana yang paling sesuai dengan keperluan perubatan anda. Bagi kebanyakan penghidap RA, pilihan rawatan-rawatan ini membantu mereka hidup dengan lebih aktif, dan mengurangkan risiko komplikasi jangka masa panjang.
Ubat-ubatan yang sering dipreskripsi oleh doktor untuk merawat Rheumatoid arthritis boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu:
- Rawatan simptomatik: Ia dirancang untuk melegakan kesakitan dan keradangan akut. Ubat-ubatan dalam kumpulan ini termasuklah ubat tahan sakit (NSAID) dan steroid.
- Rawatan pengubahsuaian penyakit 4: Turut dikenali sebagai ubat anti-rematik yang mengubah penyakit, atau DMARDs, dirancang untuk melambatkan perkembangan penyakit. Rawatan jenis ini akan menghalang tindak balas keradangan badan, lalu mengurangkan gejala, melambatkan perkembangannya, dan mencegah kerosakan sendi.
- Biologi: Sejenis DMARDs generasi baru yang memimik molekul imun badan manusia.
Makanan Yang Boleh Mengurangkan Simptom Penyakit
Terdapat sebuah kajian yang mendedahkan perkaitan antara apa yang dimakan setiap hari dan kesannya terhadap penyakit Rheumatoid arthritis. Diet yang seimbang dengan pemilihan makanan yang tepat membantu mengurangkan simptom dan meredakan keradangan.
Makanan tersebut terdiri daripada:
- Makanan yang diperkaya dengan Omega-3 seperti ikan salmon, tuna dan kekacang
- Makanan yang diperkaya dengan antioksidan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, wain merah, coklat gelap, dan kayu manis
- Minyak zaitun turut dilihat mengurangkan keradangan
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.