Ujar beliau lagi, soal pemakanan juga memainkan peranan penting untuk menghindari dari terkena serangan gout dan ia berbeza bagi setiap orang. Antara makanan yang cuba dielakkannya adalah seperti ikan bilis, ikan sardin dan beberapa jenis makanan laut lain.
“Gout ini datang bukan terus selepas makan sesuatu makanan. Ada masanya kita makan dalam kuantiti yang banyak, gout tidak menyerang dan ada ketikanya kita cuma mengambil dalam jumlah yang sedikit, terus kena serangan gout. Bagaikan mengisi air di dalam gelas, bila lama air dituang, maka akan penuhlah gelas itu”, jelas beliau.
Bawa kesan dalam kehidupan seharian
Bagi penghidap gout yang berusia 37 tahun ini, walaupun gout bukan satu penyakit yang menyerang pesakitnya setiap namun ia tetap membawa kesan dalam kehidupan seharian. Ini kerana apabila gout menyerang pergerakan akan terbatas sekaligus membantutkan perjalanan tugasan seharian. Lebih malang lagi andai kesakitan itu adalah pada tahap yang paling menyakitkan. Apa yang penting kena pandai jaga pemakanan dan sebolehnya elakkan dari mengambil atau makan sesuatu yang boleh menyebabkan gout.
Allopurinol
Sebagai perkongsian, Allopurinol adalah ubat yang digunakan untuk merawat gout, tahap asid urik yang tinggi dalam badan dan batu karang. Ubat ini juga boleh merawat kekejangan, jangkitan, dan kesakitan yang disebabkan oleh penyakit berkaitan pankreas.
Antara kesan penggunaan ubat Allopurinol yang kurang serius seperti muntah, cirit-birit, mengantuk, sakit kepala, kesakitan otot, perubahan pada deria rasa. Dan penggunaan ubat ini juga boleh mendatangkan kesan serius seperti:
- Demam, sakit tekak, dan sakit kepala dengan ruam pada kulit, mengelupas, dan kemerahan.
- Mual, sakit perut pada bahagian atas, kegatalan, hilang selera makan, kehilangan berat badan, air kencing berwarna gelap, najis berwarna gelap dan jaundis.
- Sakit atau pendarahan apabila membuang air kecil.
- Kurang kencing atau tidak kencing langsung.
- Sakit sendi atau simptom selsema.
- Mudah lebam, pendarahan luar biasa, atau bintik-bintik merah atau ungu di bawah kulit.
- Sakit otot.
Colchicine
Juga merupakan ubat untuk merawat atau mencegah serangan gout. Ia berfungsi mengurangkan bengkak dan pembentukan hablur asid urik yang menyebabkan sakit pada sendi.
Antara kesan sampingan ubat ini adalah cirit-birit, loya, kekejangan, sakit perut dan muntah. Berhenti mengambil ubat ini jika terdapat kesan sampingan serius yang berlaku seperti:
- Pendarahan atau lebam yang luar biasa.
- Cirit-birit atau muntah yang teruk.
- Lemah atau sakit otot.
- Pucat atau perubahan warna pada bahagian bibir, lidah atau telapak tangan.
- Demam dan sakit tekak berterusan.
- Kadar denyutan jantung yang cepat.
- Sesak nafas.
- Masalah berkaitan buah pinggang (perubahan jumlah air kencing).
Jika anda mengalami simptom seperti di atas atau mungkin terdapat kesan lain yang tidak dinyatakan,selepas penggunaan ubat Allopurinol atau Colchicine, sila berjumpa doktor anda.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen