backup og meta

Susah Nak Tidur Malam? Mungkin Ia Kerana Roti Putih Yang Anda Makan Tadi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/07/2020

    Susah Nak Tidur Malam? Mungkin Ia Kerana Roti Putih Yang Anda Makan Tadi!

    Kita selalu dinasihatkan untuk menghindari sebarang minuman berkafein sebelum tidur bagi mengelakkan susah tidur malam. Tetapi, kajian baru-baru ini tentang susah tidur malam gejala penyakit apa dan kaitannya dengan roti putih amat mengejutkan!

    Susah tidur malam (insomnia) disebabkan roti putih?

    Saintis di New York City mencadangkan pengambilan makanan dengan kandungan tinggi gula boleh menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sehingga mengakibatkan badan melepaskan hormon yang menjadi punca seseorang individu itu sukar tidur.

    Turut dipercayai, individu wanita lebih berusia yang makan makanan bergula dan roti putih akan cenderung mengalami insomnia.

    Penyelidikan yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition ini telah mengkaji buku harian makanan bagi lebih daripada 50,000 individu wanita pertengahan usia 60-an.

    Responden wanita yang terlibat dalam kajian ini telah melalui proses menopaus dan tahap indeks glisemik diet mereka telah dicatatkan oleh saintis. 

    susah tidur malam

    Pengukuran indeks glisemik diet ini akan mengukur kesan makanan kepada gula dalam darah seseorang individu.

    Ini kerana makanan tinggi lemak atau protein mempunyai kandungan indeks glisemik lebih rendah berbanding makanan tinggi karbohidrat dan gula, yang akan mengakibatkan peningkatan tahap gula dalam darah.

    Analisis penyelidikan tentang susah tidur malam gejala penyakit apa

    Analisis mendedahkan pengambilan bijirin yang diproses dan gula dikaitkan dengan keadaan tidur yang tidak mencukupi.

    Keadaan ini juga dikaitkan dengan timbulnya keinginan untuk makan dengan lebih banyak, sekali gus akan turut memberikan kesan terhadap badan.

    Berdasarkan kajian mendapati wanita dengan skor indeks glisemik diet tertinggi adalah 11% lebih berkemungkinan untuk mengalami insomnia berbanding individu wanita yang mempunyai tahap skor indeks yang paling rendah.

    Selain itu, responden wanita yang terlibat dalam kajian ini juga adalah 16 peratus lebih berkemungkinan untuk membangunkan masalah insomnia dalam tempoh susulan kajian jika mereka mengambil terlalu banyak makanan tinggi kandungan gula.

    Individu wanita yang diet pemakanannya melibatkan pengambilan sayur-sayuran, serat dan buah-buahan (bukan jus) adalah sangat tidak berkemungkinan untuk mengalami insomnia atau mengembangkan risiko untuk membangunkannya.

    Walaupun buah-buahan, secara umumnya mempunyai kandungan gula yang tinggi. Namun, buah-buahan juga mempunyai kandungan serat yang dapat membantu mengurangkan peningkatan gula dalam darah.

    Keadaan ini sekali gus menjadikan ia sebagai makanan rendah indeks glisemik. 

    Hasil kajian tentang masalah susah tidur malam (insomnia)

    Menurut pengarang utama kajian, merangkap pakar psikiatri di Columbia University, Dr James Gangwisch,

    “Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan membuktikan pemilihan dan pengambilan diet pemakanan tertentu adalah penting kepada individu yang mempunyai masalah insomnia.”

    “Maka, jika seseorang ingin menghindari daripada berdepan dengan masalah insomnia, mereka perlu mengelakkan pengambilan makanan bergula serta mengawal berat badan,” ujar Dr James lagi.

    Tindak balas badan

    susah tidur malam gejala penyakit apa

    Walaupun kajian ini tidak menjelaskan mengapa pengambilan gula dan makanan karbohidrat diproses seperti roti putih, kek, pastri dan pasta boleh memberikan kesan terhadap kuantiti tidur seseorang, namun Dr James mempercayai perubahan hormon akibat pengambilan makanan tersebut boleh menjadi faktor yang mendasari.

    Dr James menjelaskan,

    “Apabila gula dalam darah naik secara mendadak, badan anda akan bertindak balas dengan melepaskan insulin. Situasi ini akan menyebabkan penurunan gula dalam darah, sekali gus mengakibatkan pelepasan hormon seperti adrenalin dan kortisol. Hormon-hormon tersebut boleh mengganggu tidur. 

    Apa kata pakar?

    Seorang penyelidik dari Tufts University di Boston yang tidak terlibat dengan penyelidikan ini, Dr Jose Ordovas berkata, “Kesan yang berlaku mungkin sebaliknya.” 

    Beliau berpendapat bahawa, wanita yang tidak dapat tidur akan cenderung untuk berdepan dengan diet yang tidak sihat. Ini kerana keletihan yang dialami akan meningkatkan pengambilan makanan ringan. 

    “Menggunakan kajian ini sebagai asas kepada pencegahan dan rawatan insomnia adalah sangat tidak kukuh,” ujar Dr Jose.

    Selalunya doktor akan menyarankan diet rendah glisemik kepada individu yang perlu menurunkan atau mengawal kadar gula dalam darah mereka. Ini termasuk mereka yang menghidap diabetes, perlu menurunkan berat badan ataupun membangunkan tabiat pemakanan yang seimbang dan sihat.

    “Untuk mendapatkan tidur yang lebih baik mungkin boleh dijadikan sebab lain untuk mengamalkan pemakanan rendah glisemik.

    Selain itu mesej utama dalam kajian ini adalah untuk mengehadkan pengambilan karbohidrat diproses seperti roti putih dan gula tambahan yang berisiko untuk membangunkan atau memburukkan lagi insomnia, ujar Dr Jose.

    Bagaimana insomnia berlaku?

    Insomnia atau masalah tidur malam sering berlaku terutamanya dalam kalangan individu di bandar. Kehidupan bandar yang semakin aktif pada hari ini membuatkan insomnia semakin berleluasa.

    Insomnia boleh muncul apabila anda mengalami tekanan. Masalah di tempat kerja atau sekolah dan kebimbangan tentang pekerjaan, kesihatan, kewangan, keluarga, rakan, atau hubungan boleh menjejaskan tidur anda.

    Lebih memburukkan keadaan, masalah tidak mendapat tidur yang berkualiti boleh berterusan walaupun selepas masalah anda berlalu.

    Minum kopi, teh atau minuman tenaga pada waktu petang; atau makan terlalu banyak pada lewat malam boleh menimbulkan masalah untuk tidur. Mengapa? Kafein boleh menyebabkan anda berjaga.

    Persekitaran yang tidak selesa juga boleh menyumbang kepada insomnia. Katil atau bantal yang tidak selesa, mahupun bilik yang terlalu panas, sejuk, bising dan cerah juga boleh membuatkan anda sukar tidur.

    Sesetengah masalah kesihatan boleh menyebabkan insomnia, seperti:

    • Masalah kesihatan mental seperti tekanan, gangguan bipolar dan gangguan panik
    • Masalah kesihatan fizikal seperti penyakit kronik, penyakit jantung, sirosis hati (liver cirrhosis) dan diabetes

    Pengambilan ubatan tertentu juga mendatangkan kesan sampingan, termasuk insomnia. Selain itu, faktor peningkatan usia yang menyumbang kepada perubahan dalam badan turut menjadi faktor insomnia.

    Cara atasi insomnia

    Insomnia jika dibiarkan untuk tempoh jangka masa panjang akan menyebabkan seseorang individu mengalami masalah tidak cukup tidur kronik yang tentunya memberikan impak pada psikologi dan fizikal.

    Jadi apakah cara untuk mengatasi insomnia?

    1. Hindari kafein. Ia dapat membantu untuk memudahkan anda tidur.
    2. Lakukan aktiviti. Jika tidak boleh tidur, bangun dari katil dan lakukan aktiviti lain seperti membaca buku atau mendengar muzik yang menenangkan. Tetapi jangan bermain telefon pintar atau sebarang gajet, kerana cahaya daripada skrin akan membuatkan anda lebih segar.
    3. Pemakanan seimbang. Amalkan pemakanan yang sihat serta melakukan aktiviti fizikal secara teratur. Ia pasti dapat membantu anda untuk tidur lebih mudah.
    4. Mengamalkan kebersihan tidur yang baik. Untuk pengetahuan, tahap kebersihan tidur dalam istilah perubatan merujuk kepada kepelbagaian amalan dan habit yang dilakukan untuk mendapatkan waktu tidur malam yang berkualiti dan fokus pada siang hari dengan sebaiknya. 

    Kesimpulan 

    Insomnia adalah satu keadaan biasa yang mempengaruhi tidur anda dan ia boleh berlaku kepada sesiapa. Jika keadaan yang anda hadapi semakin kronik, pastikan anda mendapatkan bantuan profesional.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan