What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

7 Jenis Buah Terbaik Untuk Ibu Hamil, Kandungan Nutriennya Bantu Pertumbuhan Bayi Sihat

7 Jenis Buah Terbaik Untuk Ibu Hamil, Kandungan Nutriennya Bantu Pertumbuhan Bayi Sihat

Pengambilan diet pemakanan yang sihat adalah penting bagi wanita ketika hamil. Pemakanan yang dimakan akan memberikan kandungan nutrien penting untuk pertumbuhan dan perkembangan. Diet yang sihat merangkumi buah buahan, sayur-sayuran, bijirin, protein tanpa lemak dan lemak yang sihat.

Diet berkhasiat memainkan peranan penting dalam kesihatan keseluruhan seseorang, membantu tubuh berfungsi dengan berkesan dan mengurangkan risiko beberapa penyakit.

Kebanyakan individu menyedari bahawa diet yang sihat harus merangkumi banyak buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, protein tanpa lemak, dan lemak yang sihat.

Walau bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari bahawa buah spesifik bermanfaat semasa hamil.

Tahukah anda, apakah buah terbaik yang memberikan banyak manfaat untuk dimakan ketika hamil?

Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengapa buah-buahan terbaik itu penting untuk dimakan ketika hamil.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan pemakanan sihat, anda boleh klik di sini.

Buah terbaik sepanjang tempoh kehamilan

  • Oren

buah buahan

Merupakan sumber yang baik untuk folat – vitamin B yang membantu mencegah kecacatan otak dan tulang belakang, vitamin Cmengandungi antioksidan yang dapat mencegah kerosakan sel, dan membantu badan menyerap zat besi dan air.

Buah dari kumpulan sitrus ini dapat membantu anda kekal hidrasi.

Oren turut mempunyai folat dan kandungan air yang tinggi. Oren adalah baik untuk memastikan seseorang individu kekal terhidrat dan sihat.

Vitamin C boleh membantu mencegah kerosakan sel dan membantu penyerapan zat besi. Folat pula boleh membantu mencegah kecacatan tiub neural, yang boleh menyebabkan keabnormalan otak dan tulang belakang pada bayi.

  • Mangga

Kaya dengan vitamin A dan C. Secawan potongan buah mangga memberikan 100% daripada keperluan harian vitamin C dan lebih daripada satu pertiga jumlah keperluan vitamin A yang disyorkan RDA (Recommended Dietry Allowance).

Bayi yang lahir dengan kekurangan vitamin A berkemungkinan untuk mengalami masalah imun yang rendah dan berisiko untuk menghadapi komplikasi selepas bersalin, seperti jangkitan pernafasan.

Mangga adalah buah yang terbaik untuk diambil ketika hamil, tetapi pastikan anda juga mengambil buahan lain.

  • Delima

Buah delima merupakan sumber buah-buahan yang padat dengan sumber tenaga yang baik.

Ia boleh memenuhi keperluan vitamin K – penting untuk mengekalkan tulang yang sihat, kalsium, folat, zat besi, protein, serat – bantu mengatasi kesakitan akibat sembelit, tenaga dan pelbagai nutrien lain yang diperlukan wanita hamil.

Kajian turut mencadangkan, mengambil jus delima berkemungkinan dapat mengurangkan risiko kecederaan kepada plasenta.

  • Avokado

buah buahan

Merupakan sumber terbaik bagi vitamin C, vitamin E, vitamin B dan vitamin K, asid lemak tidak tepu tunggal (monounsaturated fatty acid), serat, tembaga, kolin (choline) – penting untuk perkembangan otak dan saraf bayi, magnesium dan kalium.

Buah ini mengandungi lemak yang dapat memberi tenaga dan membantu mencegah kecacatan tiub neural.

  • Pir

Ia membekalkan nutrien seperti serat, kalium (potasium) dan folat – membantu mencegah kecacatan tiub neural, yang boleh menyebabkan keabnormalan pada otak dan tulang belakang bayi.

Kecacatan tiub neural boleh menyebabkan keadaan seperti spina bifida; iaitu saraf tunjang tidak berkembang dengan baik dan anencephaly – sebahagian otak dan tengkorak hilang.

Mendapat jumlah serat yang tinggi ketika hamil adalah baik kerana ia membantu mengelakkan masalah berkaitan sembelit – antara simptom yang sering dilalui wanita hamil.

Kalium pula bermanfaat untuk kesihatan jantung, sama ada buat ibu mahupun bayi dalam kandungan. Ia juga merangsang pertumbuhan semula sel.

  • Pisang

buah buahan

Mengandungi kuantiti yang tinggi bagi vitamin C, kalium, vitamin B-6 dan serat.

Serat yang tinggi dalam pisang amat membantu wanita mengandung yang kerap berdepan masalah sembelit – yang mungkin berlaku disebabkan tekanan rahim pada usus, rasa bimbang dan kegelisahan, diet rendah serat dan zat besi dan kandungan zat besi dalam vitamin yang diambil.

Terdapat juga bukti yang mengatakan bahawa vitamin B-6 boleh membantu mengurangkan dan melegakan masalah mual dan muntah pada awal kehamilan.

  • Buah kering

Buah buahan kering mengandungi nutrien yang terdiri daripada serat, vitamin dan mineral serta tenaga. Buah kering mengandungi semua nutrien yang sama seperti buah segar.

Oleh itu, wanita hamil boleh mendapatkan vitamin dan mineral RDA mereka dengan memakan sebahagian buah-buahan kering dengan jumlah yang lebih kecil daripada jumlah buah buahan segar yang bersamaan.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa buah kering berkemungkinan mengandungi kandungan gula yang tinggi dan tidak mengandungi kandungan air sepertimana buah buahan segar.

Ini bermakna ia tidak membantu dalam pencernaan makanan. Wanita hamil hanya boleh makan buah buahan kering secara sederhana.

Adakah terdapat sebarang buah yang perlu dielakkan semasa hamil?

Tiada buah tertentu yang harus dielakkan oleh wanita hamil. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi wanita untuk mengetahui saiz bahagian pengambilannya.

Sesetengah buah mempunyai kandungan gula yang tinggi, dan buah-buahan tertentu, seperti jus dan buah buahan kering, seringkali mengandungi kandungan gula yang tinggi dan kalori daripada buah buahan segar.

Membeli buah buahan organik akan memastikan ia tidak mengandungi baja dan racun perosak yang boleh merosakkan kualitinya.

Walau bagaimanapun, jika buah buahan organik tidak menjadi pilihan, buah buahan bukan organik masih lebih baik berbanding daripada tidak mengambil buah-buahan sama sekali dalam diet harian individu.

Adalah penting untuk membuang mana-mana racun perosak dan bakteria yang mungkin terdapat pada buah dengan membasuh dengan teliti sebelum memakannya.

Individu harus mengambil langkah keselamatan yang lain dengan cara:

  • Membuang kawasan buah yang lebam, yang lebih cenderung mengandungi bakteria
  • Menyimpan buahan di kawasan yang berasingan di peti sejuk daripada mana-mana produk daging mentah
  • Elakkan buah buahan yang telah dipotong siap
  • Hanya meminum jus buah yang telah dimasak atau dipasteur

health-tool-icon

Kalkulator BMR

Guna kalkulator pengambilan kalori ini untuk menentukan keperluan kalori seharian yang anda perlu, berdasarkan tinggi, berat, umur dan tahap aktiviti anda.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Top 20 foods for pregnancy. https://www.allinahealth.org/health-conditions-and-treatments/health-library/patient-education/beginnings/diet-and-exercise/top-20-foods-for-pregnancy. Accessed on April 26, 2019.

Dehydration During Pregnancy. https://americanpregnancy.org/womens-health/dehydration-pregnancy/. Accessed on April 26, 2019.

EATING HEALTHY DURING PREGNANCY. https://www.marchofdimes.org/pregnancy/eating-healthy-during-pregnancy.aspx#. Accessed on April 26, 2019.

Eating Right Before and During Pregnancy. https://www.ucsfhealth.org/education/eating-right-before-and-during-pregnancy. Accessed on April 26, 2019.

Have a healthy diet in pregnancy. https://www.nhs.uk/pregnancy/keeping-well/have-a-healthy-diet/. Accessed on April 26, 2019.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 21/04/2022
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan