Ya, musim COVID-19 masih belum berakhir dan kebanyakan negara belum lagi membenarkan aktiviti melancong ke luar. Namun, sekiranya anda perlu ke luar negara, sama ada atas urusan kerja, belajar mahupun kecemasan, anda dan anak mungkin perlu mendapatkan suntikan jenis jenis vaksin tambahan tertentu.
Negara yang berbeza mempunyai risiko kesihatan berlainan, maka suntikan vaksin yang diperlukan pastinya tidak sama.
Sebelum pergi melancong
Merancang perjalanan yang selamat bukan hanya sekadar berkaitan dengan membeli insurans perjalanan.
Tetapi ia juga melibatkan persediaan kesihatan diri untuk kekal sihat.
Kebanyakan vaksin harus diberikan sekurang-kurangnya sebulan sebelum perjalanan, jadi sebaiknya cubalah jadualkan pemeriksaan doktor 4 hingga 6 minggu sebelum mula melancong.
Ia untuk memberikan masa bagi vaksin bertindak balas. Malahan untuk jenis vaksin tertentu ia mungkin perlu diberikan dalam jangka masa beberapa hari atau minggu.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda akan pergi melancong dalam tempoh masa kurang 4 minggu, anda masih tetap perlu membuat temu janji dengan doktor, okay?
Jenis-jenis vaksin yang perlu diambil
Berikut adalah antara jenis suntikan vaksin yang mungkin perlu diambil sebelum anda melancong:
1. Typhoid
Typhoid atau kepialu adalah jangkitan bakteria sering terjadi dan serius di seluruh dunia.
Ia boleh menular apabila tidak ada sanitasi mencukupi, tandas kotor serta melalui makanan dan air yang tercemar.
Ia boleh menyebabkan demam berterusan, sakit perut, cirit-birit atau sembelit, hilang selera makan, sakit kepala dan ruam.
Kepialu juga kadangkala memerlukan prosedur pembedahan perut kecemasan.
2. Hepatitis A
Hepatitis A disebarkan oleh air atau makanan tercemar, terutamanya kerang atau makanan disentuh oleh tukang masak mahupun pengendali makanan lain yang sakit.
Jangkitan ini juga boleh berlaku di mana kebersihan diri dan tangan tidak dijaga sebaiknya.
Ia adalah virus yang boleh menyebabkan penyakit hati yang dicirikan dengan demam ringan, sakit sendi dan otot serta cirit-birit.
Keadaan itu kemudiannya akan menjadi sakit perut, urin berwarna gelap, najis pucat, mata dan kulit bertukar kuning – keadaan ini juga boleh dilihat di bawah lidah.
3. Hepatitis B
Antara jenis jenis vaksin yang mungkin perlu diambil adalah hepatitis B.
Ia adalah penyakit boleh mengakibatkan kerosakan hati yang serius dan merebak melalui pendedahan darah, seks atau jarum.
Individu aktif secara seksual dengan pasangan baharu, bekerja di klinik perubatan, merancang menindik atau bertatu mahupun ingin melakukan sebarang prosedur perubatan perlu diberikan suntikan vaksin ini.
4. Rabies
Sebelum melancong, pastikan anda mendapatkan suntikan vaksin rabies.
Rabies adalah virus daripada gigitan, jilatan, cakaran atau kontak lain dengan haiwan yang dijangkiti dan/atau melalui air liurnya.
Virus ini banyak dijumpai pada anjing, kelawar serta mamalia lain seperti kucing, musang hinggalah monyet.
5. Polio
Polio adalah antara virus yang sudah hampir berjaya dihapuskan.
Walau bagaimanapun, ia masih disenaraikan antara jenis jenis vaksin yang diperlukan bagi individu yang melancong ke kawasan jangkitan polio masih menular.
Jangkitan ini juga boleh merebak melalui air.
6. Demam kuning
Vaksin demam kuning atau yellow fever adalah jangkitan virus serius tetapi jarang terjadi.
Ia disebarkan oleh nyamuk yang sama menyebarkan denggi dan hanya terdapat di sesetengah negara sahaja.
Antara simptom yang boleh dialami selepas 3 hingga 6 hari pendedahan adalah seperti demam panas, sakit kepala, mual, muntah, sakit otot dan hilang selera makan. Ia juga boleh membawa maut.
Untuk suntikan vaksin ini ia perlu diambil 10 hari sebelum mula melancong.
7. Japanese Encephalitis (JE)
Ia adalah jangkitan jarang berlaku dan kebanyakan jangkitan adalah tidak serius. Pun begitu ada juga kes yang serius dan berbahaya.
Virus JE ini boleh mengakibatkan masalah neurologi serius dan sering dijumpai di beberapa negara Asia termasuklah China dan India.
8. Malaria
Untuk suntikan malaria, ia tidak mempunyai vaksin berlesen.
Anda harus berbincang dengan doktor untuk memulakan profilaksis bagi malaria sebelum memulakan sebarang perjalanan.
9. Denggi, Chikungunya dan TB
Umumnya, tiada suntikan vaksin untuk penyakit berikut.
Tetapi anda perlu sentiasa berhati-hati dengan nyamuk di kawasan yang mungkin mempunyai penularan denggi atau chikungunya.
10. Zika
Tiada vaksin untuk virus Zika.
Pun begitu anda perlu berusaha untuk menghindari gigitan nyamuk sama seperti penyakit malaria, denggi atau chikungunya.
Ini khususnya jika anda dan pasangan sedang hamil atau merancang kehamilan.
Virus ini boleh disebarkan melalui nyamuk dan seks.
Jenis jenis vaksin lain
Di bawah turut disenaraikan jenis-jenis vaksin yang turut perlu diberikan perhatian:
-
Measles-Mumps-Rubella (MMR)
Anda memerlukan 2 suntikan campak-beguk-rubella. Jika anda melancong dengan anak, pastikan mereka diberikan vaksin lebih awal.
Pastinya anda tidak mahu mendapat penyakit campak atau membiarkannya merebak kepada anak anda yang lebih berisiko, kan?
-
Varicella (Cacar air)
Sekiranya anda masih belum pernah terkena jangkitan cacar air atau chickenpox, maka ia adalah antara jenis vaksin yang perlu anda ambil.
-
Diphtheria-Tetanus-Pertussis
Pastikan anda sudah mendapat suntikan tetanus dalam tempoh masa 10 tahun terakhir.
-
Influenza
Anda disarankan untuk mendapatkan suntikan flu secara berkala setiap tahun.
Pemeriksaan doktor
Banyak bukan jenis-jenis vaksin yang perlu diambil sebelum melancong?
Jika anda tidak pasti suntikan vaksin apa yang diperlukan, anda disaran mendapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.