Punca
Ia boleh tersebar melalui pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi virus tersebut lantas boleh merebak dan membiak daripada satu individu ke individu lain.Dalam pada itu, ada beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan potensi anda dijangkiti penyakit ini, termasuklah: - Golongan warga emas
- Bayi dan kanak-kanak
- Ibu yang sedang hamil
- Pernah melancong ke kawasan di mana polio selalu terjadi atau yang baru diserang wabak polio
- Tinggal bersama atau menjaga mereka yang mungkin terkesan dengan poliovirus
- Sistem imun tubuh badan yang lemah, seperti yang berlaku akibat jangkitan HIV
- Individu yang telah dibuang tonsil (tonsilektomi)
- Aktiviti fizikal yang terlalu kuat atau stres melampau pada tubuh badan selepas terdedah dengan virus polio, keduanya boleh melemahkan sistem imun
- Tidak mendapatkan suntikan imunisasi polio
Pendek kata, ia memang berbahaya kerana penyakit ini berpotensi menjadi epidemik atau pandemik sekiranya dibiarkan tanpa mendapatkan sebarang rawatan susulan.

Apa kesan penyakit ini terhadap otot anda?
Mungkin ramai yang pernah terdengar atau terbaca mengenai penyakit polio namun kurang arif akan akibat jika dijangkiti penyakit ini.
Buat anda yang mungkin belum tahu, virus ini akan menyerang otot-otot pada tubuh badan anda lantas mungkin mengakibatkan kelumpuhan.
Kelumpuhan yang terjadi ini adalah antara kesan daripada late effects of polio (LEoP) dan biasanya berlaku kepada individu yang mempunyai sejarah penyakit ini.
Dalam erti kata yang lebih mudah, penderita polio mungkin akan mengalami kelumpuhan anggota tubuh badan jika lambat mendapatkan rawatan susulan.
Bukan niat untuk menakutkan, namun kelewatan dalam usaha kalian berkunjung ke pusat kesihatan berdekatan juga boleh mengakibatkan kematian.
Hari Polio Sedunia 2020
Pada penghujung tahun 2019, kita semua telah digemparkan dengan satu berita di mana seorang bayi berusia 3 bulan telah disahkan menghidap penyakit polio.
Ini merupakan kes pertama setelah Malaysia diisytiharkan sebagai negara bebas polio pada tahun 2000 berikutan penguatkuasaan pemberian vaksin secara meluas kepada bayi yang baru lahir.
Bayi yang malang itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam wad isolasi untuk tujuan pemerhatian dan rawatan lanjutan.
Ujian makmal yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia telah mendapati bahawa virus yang menjangkiti bayi tersebut mempunyai persamaan genetik dengan virus di Filipina yang menyebabkan kes Acute Flaccid Paralysis (AFP).
Ini merupakan antara contoh kes yang disebabkan oleh pergerakan manusia masuk ke dalam negara yang bebas polio.
Ini bermakna kita semua masih belum selamat meskipun pernah diisytihar sebagai negara bebas polio suatu ketika dahulu.
Vaksin adalah jalan penyelesaiannya
Bersempena Hari Polio Sedunia ini, marilah kita bersama mengingatkan semua kelompok masyarakat akan bahaya penyakit ini.
Cara mudah untuk mencegah dan menghalang ia kembali menjadi wabak adalah dengan semudah mengambil vaksin di hospital.
Jangan berdegil atau bersangka buruk terhadap vaksinasi kerana inilah satu-satunya cara untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat sejagat!