backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Masa Datang Haid Perut Mesti Rasa Tak Sedap & Memulas, Cuba Buat 4 Perkara Ini Untuk Atasinya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/12/2022

    Masa Datang Haid Perut Mesti Rasa Tak Sedap & Memulas, Cuba Buat 4 Perkara Ini Untuk Atasinya

    Masalah sakit perut memulas disebabkan sembelit, cirit-birit dan kesakitan lain dalam usus adalah perkara biasa yang berlaku sebelum dan semasa haid.

    Perkara ini biasanya berlaku apabila tahap hormon anda menjadi tidak normal semasa datang bulan.

    Sembelit mahupun cirit-birit ketika tempoh anda haid mungkin akan mengganggu hari anda dan membuatkan anda tidak selesa, namun sebenarnya masalah yang berlaku ini adalah normal.

    Selagi anda tidak mempunyai simptom-simptom yang teruk, seperti keluar darah daripada najis atau mengalami kesakitan yang melampau, tidak ada perkara yang perlu dibimbangkan.

    Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengapa masalah sakit perut memulas ini boleh berlaku kepada anda ketika period dan bagaimanakah cara untuk merawat masalah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Bagaimanakah masalah sakit perut memulas ini berlaku ketika haid?

    sakit perut memulas

    Masalah sakit perut memulas yang anda alami sepanjang haid sama sekali tidak berkaitan dengan sistem pencernaan anda.

    Hormon yang dikeluarkan oleh badan anda semasa haid boleh menyebabkan kekembungan, retensi cecair dan kekejangan perut.

    Prostaglandin atau asid lemak, boleh menyebabkan keradangan. Jadi apabila anda mengalami masalah kembung dan kekejangan, ia mungkin terasa seperti di perut tetapi sebenarnya ia berlaku pada bahagian rahim.

    Doktor Perubatan Keluarga, Dr. Donald Ford mengatakan, hormon progesteron yang terkumpul boleh menyebabkan masalah sembelit.

    Hormon ini akan bertanggungjawab untuk pertumbuhan dan penebalan dinding rahim, dan ia akan memuncak sebelum berlakunya ovulasi.

    Disebabkan kejadian inilah terjadinya masalah sakit perut seperti sembelit dan cirit-birit ketika anda haid.

    Cirit-birit dan sembelit berlaku apabila prostaglandin mula mengendurkan tisu otot (smooth muscle tissues) ketika haid anda bermula.

    Apakah kaedah dalam merawat masalah sakit perut memulas ketika haid?

    1. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat

    Menurut pakar, makan makanan yang berkhasiat dan cukup zat amat penting bagi merawat masalah cirit-birit dan sembelit.

    Mengamalkan pemakanan yang sihat dan banyak fiber akan dapat membantu walaupun ia mungkin masih belum mencukupi bagi sesetengah pihak.

    Yang penting, jika anda mengambil pemakanan yang menyertakan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran ia akan berfungsi sebagai asas kepada sistem pencernaan usus yang baik.

    2. Anda boleh mencuba untuk mengambil ubat

    Sekiranya anda sudahpun mengamalkan pemakanan yang berkhasiat, mungkin anda harus beralih ke pilihan yang lain, seperti mengambil ubat-ubatan.

    Pakar mengatakan bahawa julap mungkin merupakan pilihan ubat yang agak kuat.

    Oleh itu, pakar mengesyorkan agar individu wanita yang ingin mengambilnya mendapatkan konsultasi doktor dan memilih julap ataupun pelembut najis yang lebih lembut.

    Ubat-ubatan ini akan membantu dalam mengurangkan gejala-gejala sakit perut ini.

    Sekiranya anda mempunyai sembelit yang lebih kronik, ubat-ubatan yang dipreskripsi seperti linaclotide atau lubiprostone kadangkala mampu menawarkan penyelesaian yang berkesan, menurut pakar.

    Ubat-ubatan ini akan berfungsi dengan baik apabila diambil secara berkala.

    3. Pertimbangkan kontraseptif oral

    Doktor anda juga boleh mengesyorkan kontraseptif oral yang akan mengurangkan kekerapan haid anda.

    Sekiranya anda sudah mengambil pil perancang, pilihan yang ada ialah melangkau haid dengan melewatkan minggu plasebo.

    Menurut pakar, kaedah ini mungkin tidak akan dapat menyelesaikan masalah anda namun dapat membantu dalam jumlah kekerapan masalah ini berlaku.

    4. Makan makanan yang mengandungi lebih banyak serat

    sakit perut memulas

    Serat akan membantu melawaskan pengeluaran najis anda, ia akan membuatkan najis untuk bergerak dengan lebih mudah ketika melalui sistem pencernaan.

    Antara contoh pemakanan untuk mengatasi sembelit dan cirit-birit termasuk:

    • Epal
    • Kekacang
    • Sayuran berdaun hijau gelap
    • Bijirin penuh

    Bilakah masa yang sesuai untuk bertemu dengan doktor?

    Sekiranya pergerakan usus anda kembali normal dalam tempoh beberapa hari setelah haid anda bermula, maka anda tidak perlu risau terhadap masalah sakit perut memulas yang anda hadapi.

    Tetapi jika masalah ini sampai mengganggu kehidupan seharian anda atau berlangsung lebih dari 3 hari, dinasihatkan agar anda berbincang dengan doktor untuk memastikan tidak terjadi masalah kesihatan lain yang lebih serius.

    Antara petanda sakit perut memulas yang perlu diawasi agar anda segera menemui doktor ialah:

    • Jika ada pendarahan pada najis anda
    • Sakit pada bahagian belakang
    • Pendarahan yang banyak ketika haid
    • Rasa sakit berdenyut di bahagian pelvis dan kaki
    • Masalah pencernaan yang berterusan dan teruk ketika haid
    • Loya dan muntah ketika haid

    Rumusan

    Sebaik-baiknya berbincanglah dengan doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom di atas kerana dikhuatiri anda mempunyai masalah kesihatan yang lebih serius selain sekadar sakit perut ketika haid.

    Pastikan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan menjaga pemakanan dan bersenam secara berkala dalam usaha menjaga kesihatan diri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan