Tanda-tanda dan gejala penyakit JE
Selepas dijangkiti virus Japanese Encephalitis, tanda-tanda dan gejala akan muncul di antara 4 hingga 14 hari.
Kebiasaannya, ramai penghidap penyakit Japanese Encephalitis hanya mendapat tanda-tanda dan gejala yang ringan ataupun tanpa gejala yang jelas sama sekali.
Gejala dan tanda-tanda yang utama untuk kanak-kanak ialah sakit perut dan muntah.
Selain itu, gejala paling teruk yang boleh dialami oleh penghidap penyakit JE ialah :
- Demam bersuhu tinggi
- Sakit kepala
- Kekejangan leher
- Kekeliruan
- Sawan
- Kelumpuhan spastik
- Koma
- Kematian
Mengikut WHO, kadar kematian kes boleh mencapai 30% bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit Japanese Encephalitis.
20-30% pesakit yang masih hidup selepas mengalami tanda dan gejala teruk akan mendapat masalah intelektual, tingkah laku atau neurologi yang berterusan seperti kelumpuhan, sawan berulang atau ketidakupayaan untuk bercakap.
Rawatan dan pencegahan
Setakat ini, belum ada rawatan yang sah untuk penyakit Japanese Encephalitis. Rawatan sokongan diberikan untuk mengawal gejala serta menstabilkan pesakit. Oleh itu, pentingnya pencegahan kerana belum ada penawarnya lagi.
Pencegahan boleh dimulakan dari rumah anda sendiri. Tujuan utama adalah untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk Culex dan membasmi pembiakannya.
1. Pencegahan daripada gigitan nyamuk
- Memasang kelambu ketika tidur
- Menggunakan bahan penghalau nyamuk seperti ubat lingkaran nyamuk, aerosol dan sebagainya
- Memakai pakaian yang menutup sepenuhnya ketika berada di ladang ternakan khinzir
2. Membasmi kawasan pembiakan nyamuk
- Mengelakkan air daripada bertakung
- Kawasan air bertakung seperti tempayan haruslah ditutup
- Memastikan sistem perparitan lancar dan tidak bertakung
- Kawasan ternakan babi haruslah dibersihkan selalu
- Menyembur racun nyamuk secara berkala
3. Penyuntikan vaksin bagi golongan yang berisiko mendapat penyakit Japanese Encephalitis
- Penternak khinzir
- Penduduk yang tinggal berhampiran dengan ladang khinzir, terutamanya golongan kanak-kanak (radius 2km)
Jadual imunisasi untuk Japanese Encephalitis

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dos pertama vaksin ini hanya diberikan kepada bayi berumur 9 bulan dan dos kedua sewaktu umurnya 21 bulan bagi penduduk di Sarawak sahaja.
Konklusi
Penyakit Japanese Encephalitis dapat dielakkan sama sekali jika mengikut cara pencegahan yang betul.
Jika anda mempunyai tanda-tanda dan gejala yang disenaraikan serta mempunyai faktor risiko, dapatkan rundingan dan rawatan selanjutnya daripada doktor anda.