“Kalau saya alergi dengan telur, bolehkah saya mengambil vaksin influenza?”.
Menurut CDC, vaksin influenza masih boleh diberikan jika pengambilan telur hanya menyebabkan anda mengalami hives (gegata). Namun, jika anda risau atau khuatir dengan risiko terhadap kesan alergi tersebut, rujuk doktor anda untuk mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
Dengan kata lain, jika anda alergi dengan telur, keputusan untuk membenarkan atau melarang pengambilan vaksin adalah bersifat klinikal. Tanpa pemeriksaan yang teliti oleh doktor, tiada keputusan boleh dibuat memandangkan risiko kesan sampingan berbeza pada setiap individu.
Namun, jika anda mempunyai sejarah komplikasi teruk akibat mengambil vaksin yang berasaskan telur, maka ia merupakan kontraindikasi (keadaan yang menandakan ketidaksesuaian suatu bentuk rawatan) kepada pengambilan vaksin. Apa yang anda boleh buat adalah menggalakkan pengambilan vaksin oleh individu yang berada dalam lingkungan sosial anda.
Jika mereka terlindung daripada jangkitan influenza, maka anda turut terlindung. Perkara ini memberi penekanan terhadap pengambilan vaksin oleh ahli keluarga anda terutamanya mereka yang berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi influenza.
Vaksin untuk bayi berusia 6 bulan ke bawah?
Jika anda sedar, CDC menyarankan had usia minimum bagi menerima vaksin iaitu pada usia 6 bulan. Anda mesti tertanya-tanya kan? Bagaimana pula dengan mereka yang berusia 6 bulan dan ke bawah? Adakah mereka tidak berisiko untuk mendapat jangkitan influenza?
Tidak banyak kajian yang dijalankan bagi menyiasat kesan vaksin influenza dari konteks fisiologi dan kesan negatif terhadap kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah. Buat masa sekarang, masih tiada lagi bukti yang menunjukkan bahawa pemberian vaksin kepada golongan tersebut dapat memberikan kebaikan imunologi untuk melawan virus influenza.
Kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke bawah mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami komplikasi serius jangkitan influenza. Terutama sekali jika anak tersebut dilahirkan oleh ibu yang tidak pernah terdedah kepada virus influenza. Walau bagaimanapun, jumlah kajian yang membuktikan mengenai hal ini sangatlah sedikit.
Tanpa dapatan kajian yang cukup berkaitan dengan keberkesanan vaksin dalam menghindarkan jangkitan virus influenza, pemberiannya terhadap golongan kanak-kanak berusia 6 bulan ke bawah dianggap tidak beretika. Walaupun ada negara yang membenarkan pemberian vaksin kepada bayi yang berusia 2 bulan dan ke atas, polisi pemberian vaksin seharusnya berteraskan dapatan kajian klinikal.
Pada tahun 2005, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan pemberian vaksin kepada ibu mengandung. Kajian pada tahun 2009 telah menunjukkan bahawa penggunaan vaksin tersebut kepada ibu mengandung bukan sahaja selamat, malah ia boleh menghindarkan bayi daripada jangkitan influenza sehingga mereka berusia 6 bulan.
Walau bagaimanapun, menurut CDC, penggunaan vaksin influenza terhadap ibu mengandung masih lagi tidak mencapai tahap yang memberangsangkan.
Konklusi
Jika anda masih belum mendapatkan suntikan vaksin influenza, dapatkannya daripada klinik swasta terdekat. Ajak rakan dan keluarga anda untuk sama-sama mendapatkan vaksinasi bagi melindungi kelompok sosial anda daripada jangkitan virus influenza.
Harga vaksin influenza kebiasaannya antara RM50 sehingga RM100. Ura-ura yang mengatakan bahawa harga vaksin naik sehingga mencecah RM150 kerana bekalan vaksin tidak mencukupi sudah disangkal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.