Lelaki yang mengalami masalah urologi mungkin lebih berisiko mengalami masalah mental seperti depresi dan kebimbangan. Ini merupakan kesimpulan kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari University of California, Irvine (UCI) setelah melihat kesan tekanan perasaan dan masalah urologi dalam kalangan 124 orang lelaki.
Dapatan kajian ini telah membuktikan betapa seriusnya masalah urologi sehinggakan ia boleh memberi kesan kepada mental kaum Adam.
Lelaki yang menyertai kajian ini merupakan pesakit yang mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan.
Dengan bantuan doktor, mereka perlu melengkapkan soal selidik mengenai kesihatan mental dan masalah urologi yang mereka alami.
Menggunakan soal selidik tersebut, saintis telah berjaya mengenal pasti kaitan antara masalah urologi seperti disfungsi erektil dengan masalah mental dan juga masalah tidur.
Menurut pengarang utama kajian ini, Arman S. Walia, doktor perlu memberi perhatian yang lebih terhadap pesakit masalah urologi.
Kadangkala, pesakit lebih berisiko untuk mengalami masalah lain seperti depresi, kebimbangan dan juga kesukaran untuk tidur disebabkan penyakit saluran kencing yang mereka alami.
Lelaki yang berusia dan obes lebih berisiko
Separuh daripada lelaki yang menyertai soal selidik ini mempunyai masalah urologi seperti disfungsi erektil. Selain itu, 80% daripada mereka mempunyai kadar testosteron yang rendah manakala 43% lagi mempunyai masalah prostat.
Berdasarkan dapatan kajian, hampir 50% lelaki yang ada masalah urologi berisiko untuk mengalami apnea tidur.
Lebih teruk lagi, 39% daripada pesakit mencapai kriteria depresi. Mereka juga sukar untuk tidur malam. Dicatatkan hampir 18% dan 17% pesakit menghidap insomnia.
Golongan yang paling terkesan ialah lelaki yang berusia dan mempunyai berat badan berlebihan. Kesan tekanan perasaan terhadap golongan ini juga lebih serius.
Masalah saluran kencing merupakan sesuatu yang normal. Selalunya, ia boleh dirawat dan akan sembuh dalam masa beberapa minggu.
Walau bagaimanapun, masalah urologi yang serius boleh membuatkan pesakit alami kesan tekanan perasaan dan masalah tidur yang serius sehingga mampu mempengaruhi kualiti hidup mereka.
[embed-health-tool-bmi]
Jumpa doktor jika stres disebabkan masalah urologi
Kesan tekanan perasaan dan masalah urologi tidak harus dipandang remeh oleh kaum Adam.
Walaupun lelaki sering mengabaikan masalah kesihatan yang nampak kecil dan remeh, namun mereka masih perlu mengenal pasti simptom masalah urologi supaya ia tidak bertukar menjadi sesuatu yang lebih serius.
Menurut Dr. Richard Jadick dari Peidmont Healthcare, lelaki yang semakin berusia perlu memberikan perhatian yang lebih terhadap kesihatan urologi masing-masing.
Semua masalah ini perlu diperiksa oleh doktor dengan kadar yang segera. Sebagai lelaki, ada 8 masalah urologi yang perlu dilihat dengan lebih mendalam oleh doktor:
- Disfungsi erektil. Disfungsi erektil boleh dirawat namun ia perlulah diperiksa oleh doktor terlebih dahulu. Malah, kebanyakan masalah disfungsi erektil sebenarnya berpunca daripada masalah kesihatan yang lebih besar.
- Kencing bocor. Masalah inkontinens urin boleh dirawat jika anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera.
- Darah di dalam air kencing. Jika ini berlaku, jumpa doktor secepat mungkin. Ia mungkin tanda batu karang atau kanser buah pinggang.
- Sakit abdomen di bahagian bawah.
- Ketulan pada kawasan testis.
- Sukar membuang air kencing.
- Tidak ingin melakukan hubungan seksual.
- Mati pucuk.
Jangan pandang rendah kesan tekanan perasaan
Kaum lelaki selalunya tidak akan mendapatkan bantuan, lebih-lebih lagi berkaitan masalah mental. Ramai yang cuba menjadi ‘anak jantan’ serta menafikan sebarang bentuk kesukaran yang dialami.
Ketahuilah, kesan tekanan perasaan terhadap kaum Adam amat serius. Malah, masalah mental juga selalunya tidak akan sembuh dengan sendirinya.
Secara purata, 1 dalam 8 lelaki akan mengalami depresi sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. Untuk masalah kegelisahan pula, 1 daripada 5 akan alami kondisi ini.
Oleh sebab itu, amat penting untuk pesakit masalah saluran kencing bertindak mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Jika tidak, masalah mental yang dialami akan menjadi semakin teruk dan sukar untuk dikawal. Kesan tekanan perasaan ini juga boleh memberikan impak negatif terhadap pekerjaan dan juga hubungan peribadi penghidapnya.
Ingat, masalah mental seperti depresi dan kebimbangan bukanlah tanda kelemahan. Ia merupakan sejenis penyakit yang boleh dirawat. Malah, ada banyak rawatan yang boleh pesakit lakukan untuk mengatasi masalah ini.
Kesimpulan
Untuk kaum lelaki, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika anda sukar tidur malam atau tertekan disebabkan masalah urologi seperti kencing tidak lawas, disfungsi erektil atau sering kencing malam.
Anda tidak perlu rasa tertekan dan alami depresi sehingga mengganggu kehidupan seharian anda. Kesan tekanan perasaan amatlah serius, sebab itulah ia perlu diperiksa oleh pakar secepat mungkin.
Kaum Adam perlu tahu, semua penyakit ini boleh dirawat dengan bantuan doktor yang bertauliah.
Apa yang penting, berterus teranglah dengan doktor mengenai simptom yang anda alami, lebih-lebih lagi jika sukar tidur disebabkan masalah urologi.