backup og meta

Khas Buat Lelaki, Ini 5 Cara Terbaik Untuk Jaga Kesihatan Prostat, No. 3 Kena Elakkan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    Khas Buat Lelaki, Ini 5 Cara Terbaik Untuk Jaga Kesihatan Prostat, No. 3 Kena Elakkan!

    Menjaga kesihatan prostat merupakan sesuatu yang amat penting untuk kaum lelaki. Manakan tidak, kelenjar yang berbentuk kacang walnut ini merupakan sebahagian daripada sistem reproduktif lelaki dan amat penting untuk kesuburan kaum Adam.

    Malah, prostat juga merupakan satu-satunya kelenjar pada tubuh lelaki yang akan membesar apabila lelaki menjadi semakin berusia. 

    Disebabkan kondisi ini, kaum Adam berisiko mengalami pelbagai ketidakselesaan dan kesukaran disebabkan penyakit prostat.

    Sebagai contoh, lelaki lebih kerap ke tandas disebabkan penyakit prostat yang dialami.

    Malah, isu mengenai kesihatan prostat, lebih-lebih lagi kerap kencing selalu menjadi masalah ketika kaum Adam perlu menempuh satu perjalanan yang jauh.

    Walaupun penyakit prostat ini datang seiring dengan usia, ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Sebenarnya, ia boleh dicegah jika kaum Adam mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    Jika anda menghidap masalah prostat, sama ada kanser prostat, prostat membesar disebabkan BPH (benign prostate hyperplasia) atau prostatitis, pasti anda ingin tahu langkah yang terbaik untuk menjaga kesihatan prostat.

    Jangan risau! Di bawah, kami senaraikan 5 langkah yang boleh dilakukan oleh kaum Adam untuk prostat yang lebih sihat. Jom baca!

    1. Minum teh untuk kesihatan prostat yang baik

    menjaga kesihatan prostat

    Menjaga kesihatan prostat bukanlah sesuatu yang sukar. Salah satu langkah yang mudah untuk memastikan prostat sentiasa sihat ialah minum teh dengan kerap.

    Terdapat dua jenis teh yang baik untuk kaum Adam iaitu teh hijau dan teh bunga raya. Malah, kedua-dua teh ini juga mengandungi antioksidan yang tinggi dan dapat memperlahankan tumbesaran kanser prostat yang agresif.

    Walau bagaimanapun, ketika anda sedang memilih teh yang terbaik, pastikan anda pilih teh yang bebas kafein.

    Kafein boleh menyebabkan iritasi pada kawasan prostat dan pundi kencing. Jika anda menghidap BPH atau prostatitis, anda perlu elakkan kafein untuk sistem urinari yang lebih sihat.

    2. Jangan lupa bersenam dan turunkan berat badan

    Bersenam merupakan antara perkara yang terbaik yang anda boleh lakukan untuk menjaga kesihatan prostat.

    Banyak kajian yang mendapati senaman dapat mengurangkan risiko dan simptom penyakit prostat. Malah, ia juga dapat membantu kaum Adam mengelakkan masalah kesihatan lain seperti mati pucuk atau disfungsi erektil.

    Menurut laman sesawang Prostate Cancer Foundation New Zealand, lelaki yang mempunyai masalah obesiti, lebih-lebih lagi mereka yang buncit mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap BPH.

    Mereka dapat mengelakkan kondisi ini dengan cara menurunkan berat badan masing-masing. Dalam masa yang sama, mereka juga dapat mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh penyakit ini.

    3. Jaga kesihatan prostat, kurangkan stres!

    menjaga kesihatan prostat

    Tidak dinafikan, simptom penyakit prostat boleh menyebabkan kaum Adam tertekan. Manakan tidak, mereka perlu ke tandas dengan kerap dan terpaksa bangun malam untuk ke tandas.

    Tidur mereka akan terganggu dan semua ini akan menyebabkan lelaki mengalami perubahan mood.

    Pembesaran prostat merupakan salah satu penyebab kegelisahan dan depresi dalam kalangan lelaki.

    Oleh sebab itu, penting untuk lelaki mengawal stres masing-masing ketika berhadapan dengan penyakit prostat.

    Beberapa langkah yang boleh dibuat untuk menjaga kesihatan prostat adalah dengan melakukan senaman seperti yoga atau tai chi, dan juga menjalani aktiviti yang dapat mengurangkan stres seperti meditasi dan sebagainya.

    Jika semua ini tidak berkesan, tidak ada salahnya jika anda ingin melakukan janji temu bersama ahli psikologi untuk menangani masalah tekanan perasaan yang dialami.

    4. Menjaga kesihatan prostat dengan pemakanan yang sihat

    Ada banyak makanan yang dapat membantu penghidap penyakit prostat untuk mengurangkan simptom yang dialami.

    Sebagai contoh, pesakit boleh makan lebih banyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, sayur-sayuran serta makanan yang mengandungi lemak sihat seperti avokado dan kekacang.

    Tahukah anda, ada beberapa kawasan di dunia yang mempunyai kadar kanser prostat yang lebih rendah? Mereka ini mempunyai satu persamaan iaitu diet yang mereka amalkan.

    Mereka tidak makan terlalu banyak makanan yang diproses, tinggi gula dan tinggi lemak. Malah, mereka mengikuti diet Mediterranean yang lebih sihat dan baik untuk pesakit prostat.

    5. Ambil suplemen jika perlu

    menjaga kesihatan prostat

    Kadangkala, kaum Adam tidak boleh mengatasi semua masalah prostat tanpa mengambil beberapa jenis suplemen.

    Terdapat banyak suplemen di pasaran yang boleh membantu lelaki menjaga kesihatan prostat dengan lebih baik.

    Jika anda ingin mengambil suplemen, pastikan anda mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada doktor yang bertauliah.

    Doktor dapat memberikan pendapat mengenai suplemen yang terbaik mengikut kondisi serta faktor risiko yang dialami.

    Kesimpulan

    Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan prostat.

    Jika anda boleh mengikuti kelima-lima tip yang kami gariskan di atas, tidak mustahil anda boleh hidup sihat dan tidak perlukan sebarang preskripsi untuk penyakit prostat yang dialami.

    Malah, kesemua kaedah di atas tidak memerlukan duit yang banyak dan boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kelapangan anda.

    Selain itu, jika anda mempunyai masalah prostat, jangan malu atau segan untuk berjumpa doktor. Doktor boleh mengenal pasti punca penyakit tersebut supaya ia boleh dirawat untuk memberikan keselesaan kepada anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan