backup og meta

'Stress' Boleh Buat Lelaki Mati Pucuk! Ada 19 Lagi Punca Lain Kena Awasi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/07/2022

    'Stress' Boleh Buat Lelaki Mati Pucuk! Ada 19 Lagi Punca Lain Kena Awasi

    Peningkatan usia bukanlah satu-satunya punca mati pucuk (disfungsi erektil). Ia merupakan satu keadaan kesihatan yang lazim berlaku pada lelaki.

    Mati pucuk atau disfungsi erektil boleh mempengaruhi keupayaan lelaki untuk melakukan hubungan seks.

    Keadaan ini mengakibatkan penis lelaki tidak boleh mengalami ereksi, mengekalkan ereksi atau mencapai orgasme.

    Bukan semua mati pucuk perlu diberi perhatian oleh doktor memandangkan ia boleh berlaku ketika seseorang itu berada dalam keadaan stres.

    Walau bagaimanapun, jika kerap terjadi, ia boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang memerlukan rawatan atau masalah dalam hubungan romantik serta emosi yang perlu dirujuk kepada profesional.

    Artikel ini akan memberikan klu kepada pembaca berkenaan dengan punca mati pucuk dan cara mengatasinya.

    Apa yang menyebabkan seseorang itu mengalami ereksi?

    Ereksi boleh terjadi dalam beberapa peringkat berikutan perubahan fisiologi yang berlaku di dalam badan.

    Apabila seseorang itu mengalami rangsangan seksual, aliran darah ke dalam penis mereka meningkat.

    Keadaan ini disebabkan oleh otot pada penis yang mengalami relaksasi menyebabkan salur darah arteri lebih mudah diisi dengan darah.

    Apabila ruangan yang berada di dalam penis sudah penuh, ia akan menyebabkan penis menegang dan memanjang.

    Setelah seseorang itu mencapai orgasme atau rangsangan seksual sudah tiada, otot di sekitar penis boleh mengalami kontraksi.

    Keadaan tersebut menyebabkan darah yang terkumpul di dalam ruangan penis mengalir keluar menerusi salur darah vena. Penis kemudiannya akan mengendur. 

    Masalah mati pucuk boleh berlaku apabila terdapat gangguan pada mana-mana peringkat yang menghalang penis daripada mencapai ereksi sepenuhnya.

    Anda mungkin mengalami masalah mati pucuk, jika anda:

    1. Mengalami kesukaran untuk mencapai ereksi.
    2. Mengalami kesukaran untuk mengekalkan ereksi semasa melakukan hubungan seks.
    3. Tidak berminat untuk melakukan hubungan seks.

    Masalah lain yang turut berkait dengan mati pucuk adalah:

    1. Ejakulasi pramatang.
    2. Ejakulasi lambat.
    3. Ketidakupayaan untuk mencapai orgasme walaupun telah mendapat rangsangan yang mencukupi (anorgasmia).

    Punca mati pucuk lazim yang perlu diberi perhatian

    punca mati pucuk

    Mati pucuk bukanlah satu keadaan kesihatan yang asing. Ia lebih kerap berlaku daripada apa yang anda sangkakan.

    Namun, oleh sebab terdapat stigma yang berkait dengan masalah kesihatan ini, kebanyakan lelaki tidak cenderung untuk mendapatkan bantuan golongan profesional.

    Ada yang membeli preskripsi ubat tanpa pantauan atau pemeriksaan doktor terlebih dahulu!

    Punca mati pucuk boleh berkait dengan beberapa masalah fizikal serta emosi penghidap. Antaranya adalah:

    • Masalah kardiovaskular
    • Kencing manis
    • Tekanan darah tinggi
    • Tinggi kolesterol
    • Obesiti
    • Paras testosteron rendah atau masalah ketidakseimbangan hormon yang lain
    • Penyakit buah pinggang
    • Peningkatan usia
    • Stres
    • Keresahan
    • Murung
    • Masalah hubungan romantik
    • Pengambilan preskripsi ubat tertentu seperti ubat tekanan darah tinggi dan kemurungan
    • Masalah tidur
    • Penggunaan dadah terlarang
    • Pengambilan alkohol berlebihan
    • Penggunaan produk tembakau
    • Mengalami masalah kesihatan tertentu seperti sklerosis berbilang dan penyakit Parkinson
    • Kawasan pelvik mengalami kecederaan
    • Penyakit Peyronie

    Masalah dan punca mati pucuk boleh disebabkan daripada satu atau lebih faktor yang tersenarai di atas.

    Oleh sebab itulah penting buat lelaki mendapatkan pertolongan daripada golongan profesional sebelum mengambil sebarang rawatan berkaitan.

    Rawatan masalah kesihatan yang dialami boleh meningkatkan prestasi ereksi penis seterusnya keupayaan anda untuk menikmati hubungan seks di ranjang.

    Rawatan mati pucuk yang perlu anda tahu

    punca mati pucuk

    Seperti yang anda sedia maklum, rawatan bergantung kepada punca mati pucuk yang dialami oleh pesakit.

    Anda mungkin memerlukan gabungan rawatan atau terapi tertentu bagi mencapai kesembuhan penyakit seterusnya meningkatkan keupayaan anda untuk mencapai ereksi.

    1. Ubat mati pucuk. Ini merupakan kaedah rawatan yang popular bagi penghidap mati pucuk. Anda mungkin pernah atau tahu akan ekspresi ‘pil biru’ yang sering digunapakai untuk merujuk kepada ubat mati pucuk. Terdapat pelbagai jenis ubat yang telah dipatenkan untuk rawatan mati pucuk. Antara yang paling popular adalah sildenafil, avanafil, tadalafil dan vardenafil. Kaedah pemberian ubat juga berbeza mengikut jenis ubat. Ada yang diberi dalam bentuk pil dan ada juga yang merupakan suntikan pada tapak atau sisi penis.
    2. Terapi sembang. Masalah mati pucuk boleh berlaku berikutan beberapa faktor psikologi seperti stres, keresahan, kecelaruan stres selepas trauma (PTSD) dan kemurungan. Terapi sembang boleh memberikan kebaikan kepada anda dalam mengawal masalah psikologi yang menghindarkan anda daripada mencapai ereksi penuh.
    3. Pam vakum. Alat ini akan mencipta keadaan vakum bagi merangsang kemasukan darah ke dalam penis untuk mencapai ereksi. Ia terdiri daripada beberapa komponen seperti tiub plastik, pam dan cincin elastik bagi mengekalkan ereksi dan menahan darah yang masuk ke dalam penis daripada keluar ke sistem aliran badan. 

    Konklusi

    Punca mati pucuk tidak terhad kepada masalah berkait dengan usia dan rangsangan seksual semata-mata.

    Oleh sebab itulah penting bagi anda untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan sekiranya didiagnosis dengan masalah berkaitan.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan berkenaan disfungsi erektil, sila ajukan kepada doktor perubatan yang bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan