backup og meta

Masalah Prostat Membesar: Simptom, Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan Kaum Adam!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/09/2022

    Masalah Prostat Membesar: Simptom, Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan Kaum Adam!

    Ada individu yang mungkin tidak menyedari bahawa dirinya sedang mengalami masalah prostat lelaki. Ini kerana, kebanyakan sakit prostat tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas pada awalnya. 

    Begitu juga dengan sakit prostat yang satu ini, iaitu pembesaran prostat. Apakah yang dimaksudkan dengan pembesaran prostat?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Prostat, sila dapatkannya di sini.

    Apakah maksud pembesaran prostat lelaki?

    Pembesaran prostat disebut sebagai hiperplasia prostat jinak (BPH). Ia berlaku ketika sel kelenjar prostat mula membiak. Pertambahan sel dengan banyak ini menyebabkan kelenjar prostat membengkak, yang kemudiannya menyempitkan tiub urethra. 

    Kesannya, air kencing hanya dapat keluar dengan sedikit disebabkan penyempitan saluran urethra. BPH tidak sama dengan kanser prostat dan tidak meningkatkan risiko untuk mengalaminya. 

    Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan gejala yang mampu mempengaruhi kualiti hidup anda dan biasanya berlaku pada lelaki yang berumur lebih dari 50 tahun.

    Simptom-simptom masalah prostat lelaki membesar

    masalah prostat

    Tahap teruk simptom yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza. Namun, semakin lama ia berlaku, maka simptomnya akan menjadi lebih teruk dan menyakitkan. 

    Antara simptom sakit prostat yang membesar adalah:

  • Kerap membuang air kecil
  • Kerap berasa ingin membuang air kecil
  • Kerap membuang air kecil pada waktu malam
  • Berasa sukar untuk memulakan kencing
  • Pengeluaran air kencing yang lemah atau terhenti-henti
  • Air kencing yang menitis selepas berhenti membuang air 
  • Air kencing tidak dapat dikeluarkan sehingga habis
  • Mengalami kencing tidak lawas
  • Berasa sakit ketika membuang air kecil
  • Kemunculan darah dalam air kencing
  • Punca dan faktor risiko masalah prostat yang membesar

    Kelenjar prostat terletak di bawah pundi kencing. Tiub yang mengangkut air kencing dari pundi kencing keluar dari zakar iaitu urethra akan melalui kawasan di tengah prostat. Apabila prostat mengalami pembesaran, maka ia akan menyekat aliran air kencing yang keluar itu. 

    Kebanyakan lelaki terus mengalami masalah prostat membesar sepanjang hidup mereka. Pembesaran ini berlaku dari hari ke hari sehingga boleh menyebabkan pengeluaran air kecil tersekat secara total. 

    Punca yang menyebabkan pembesaran prostat lelaki ini tidak begitu jelas. Namun, ia mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang berlaku apabila lelaki semakin berusia. 

    Ramai lelaki yang berusia lebih daripada 80 tahun mempunyai gejala prostat membesar. Pembesaran kelenjar prostat jarang menyebabkan tanda dan gejala dalam kalangan lelaki yang berusia lebih muda dari 40 tahun. 

    Kira-kira satu pertiga lelaki mengalami gejala sederhana hingga teruk pada usia 60 tahun. Sekitar separuh daripada lelaki pula mempunyai gejala prostat membesar pada usia 80 tahun.

    Sejarah keluarga yang pernah ada masalah prostat atau kelainan pada testis boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit ini. 

    Namun, bagi lelaki yang telah membuang testisnya pada usia muda, mereka tidak akan mengalami sakit prostat membesar.

    Diagnosis dan rawatan sakit prostat yang membesar

    sakit prostat

    Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mendiagnosis sekiranya anda mengalami masalah prostat membesar atau tidak. 

    Antara kaedah yang akan digunakan oleh doktor ialah:

    #1. Urinalisis

    Urinalisis adalah ujian air kencing. Ia bukan hanya mengesan pembesaran prostat, tetapi juga digunakan untuk mengesan gangguan lain seperti jangkitan saluran kencing, penyakit ginjal dan diabetes. 

    Urinalisis melibatkan pemeriksaan penampilan, kepekatan dan kandungan air kencing. Hasil urinalisis yang tidak normal mungkin menunjukkan sebarang penyakit yang dialami oleh pesakit seperti pembesaran prostat. 

    #2. Biopsi prostat

    Biopsi prostat adalah prosedur yang digunakan untuk mendapatkan sampel tisu dari kelenjar prostat bagi mengesan sebarang keganjilan. 

    Prosedur ini dilakukan dengan cara alat biopsi inti jarum yang digerakkan oleh spring (atau senapang biopsi). Sementara Transasonal ultrasonografi (TRUS) digunakan untuk memandu jarum biopsi itu. 

    #3. Ujian urodinamik

    Ujian urodinamik adalah sejenis ujian yang menilai bagaimana pundi kencing dan tiub uretra menjalankan tugas mereka menyimpan dan mengeluarkan air kencing.

    Ujian urodinamik dapat membantu menjelaskan gejala seperti kencing tidak lawas, kerap membuang air kecil, keinginan buang air kecil yang mendadak dan rasa ingin membuang air kecil tetapi tiada air kencing yang keluar.

    #4. Ujian antigen khusus prostat (PSA)

    PSA adalah bahan yang dihasilkan dalam prostat. Tahap PSA meningkat apabila anda mempunyai prostat yang membesar. Walau bagaimanapun, peningkatan tahap PSA juga boleh disebabkan oleh prosedur yang baru sahaja dijalani, jangkitan, pembedahan atau kanser prostat.

    #5. Ujian air kencing PVR

    Ujian ini akan mengukur sama ada anda boleh mengosongkan pundi kencing secara sepenuhnya atau tidak. 

    Ujian boleh dilakukan menggunakan ultrasound atau memasukkan kateter ke dalam pundi kencing setelah anda membuang air kecil. Ia akan mengukur berapa banyak jumlah air kencing yang tersisa di dalam pundi kencing anda.

    #6. Sistoskopi

    Sistoskopi ialah prosedur yang membolehkan doktor memeriksa lapisan pundi kencing anda dan tiub yang mengeluarkan air kencing dari badan (urethra). 

    Tiub berongga (sistoskop) yang dilengkapi dengan lensa akan dimasukkan ke dalam uretra dan perlahan-lahan pergi ke bahagian pundi kencing. 

    #7. Urografi

    Urografi adalah pemeriksaan yang digunakan untuk menilai buah pinggang, ureter dan pundi kencing pesakit. Urografi ekskresi, juga dikenali sebagai pyelogram intravena, dilakukan menggunakan sinar-x konvensional setelah pemberian bahan kontras radiografi secara intravena.

    Kaedah rawatan bagi masalah prostat yang membesar pula melibatkan empat jenis kaedah rawatan. Rawatan-rawatan tersebut ialah:

    #1. Penyekat alpha-1

    Ubat-ubatan ini akan mengendurkan otot leher pundi kencing dan serat otot di bahagian prostat, menjadikan kencing lebih mudah. 

    Penyekat alfa yang merangkumi alfuzosin (Uroxatral), doxazosin (Cardura), tamsulosin (Flomax) dan silodosin (Rapaflo), biasanya berfungsi dengan cepat pada lelaki dengan prostat yang agak kecil.

    Kesan sampingan yang mungkin berlaku termasuklah pening dan keadaan tidak berbahaya di mana air mani masuk ke dalam pundi kencing dan bukannya keluar dari hujung zakar (ejakulasi retrograde).

    #2. Ubat pengurang hormon

    Ubat yang mengurangkan kadar hormon yang dihasilkan oleh kelenjar prostat seperti dutasteride dan finasteride biasanya akan diberikan oleh doktor.

    Ini adalah dua jenis ubat yang menurunkan kadar hormon testosteron. Kadangkala, menurunkan kadar hormon akan menjadikan prostat semakin kecil dan meningkatkan aliran air kencing. 

    Ubat-ubatan ini mungkin akan mengambil masa sekitar enam bulan untuk memberi kesan seperti yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti mati pucuk dan penurunan dorongan seks.

    #3. Antibiotik

    Antibiotik boleh digunakan jika prostat menjadi radang secara kronik disebabkan prostatitis bakteria yang berkaitan dengan BPH. Mengubati prostatitis bakteria dengan antibiotik dapat memperbaiki gejala BPH anda dengan mengurangkan keradangan. 

    Walau bagaimanapun, antibiotik tidak akan membantu prostatitis atau keradangan yang bukan disebabkan oleh bakteria.

    #4. Pembedahan

    Terdapat pelbagai jenis prosedur pembedahan yang dapat membantu merawat BPH apabila ubat-ubatan tidak berkesan. Sebilangan prosedur tidak invasif atau invasif secara minimum boleh dilakukan di klinik biasa (prosedur pesakit luar). Prosedur yang lebih invasif perlu dilakukan di hospital (prosedur pesakit dalam).

    Pencegahan daripada sakit pembesaran prostat

    Terdapat empat perkara yang perlu dilakukan bagi mencegah penyakit ini daripada berlaku. Cara pencegahan tersebut ialah:

    • Bersenam: kerap bersenam dapat menurunkan berat badan. Berat badan yang ideal serta tubuh badan yang lebih aktif bukan hanya mencegah sakit prostat, tetapi juga penyakit berbahaya yang lain
    • Ambil makanan yang baik untuk prostat: ambil makanan yang mesra dengan prostat dan tidak memberikan beban kepada prostat anda. Elakkan pengambilan minuman beralkohol dan kafein kerana ia boleh memburukkan lagi simptom prostat yang membesar
    • Ambil suplemen: rujuk doktor anda terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang suplemen untuk kesihatan prostat
    • Kurangkan stres: belajar teknik-teknik untuk mengurangkan stres agar kesihatan prostat anda lebih baik dan terkawal

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan