Soal kesihatan yang membabitkan anggota kemaluan seperti salur kencing adalah sesuatu yang tabu dalam masyarakat. Kebanyakan orang lebih suka memendam dan menahan selagi mampu kerana khuatir ia satu perkara yang mengaibkan. Natijahnya, ramai orang menderita dalam senyap dan ada juga menjadi penyebar penyakit jangkitan kelamin kerana tidak mendapatkan rawatan. Oleh sebab itu, jika anda alami kegatalan pada saluran kencing, anda perlu memeriksa dan melakukan cara hilangkan gatal dengan betul.
Sila lihat penerangan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Urologi, anda boleh klik di sini.
Masalah kegatalan uretra
Masalah kegatalan pada salur kencing atau uretra adalah simptom yang tidaklah begitu jarang berlaku.
Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penghidap dan mempengaruhi kualiti kehidupan mereka.
Ada juga yang akan terus memikirkan bahawa ia adalah petanda kepada jangkitan kelamin dan membuat tindakan susulan yang tidak bijak.
Hakikatnya, kegatalan uretra tidak semestinya disebabkan oleh jangkitan kelamin dan jangkitan kelamin boleh juga menghasilkan simptom selain kegatalan uretra.
Kegatalan akibat jangkitan kelamin
Untuk punca yang disebabkan oleh jangkitan kelamin, boleh juga terjadi simptom-simptom yang lain seperti:
- Rasa pedih ketika membuang air kecil.
- Keluar lendir atau nanah daripada salur kencing.
- Wujud ruam, ulser atau perubahan kulit di sekitar kemaluan.
- Demam.
- Air kencing berbau busuk.
Jangkitan kelamin yang berlaku biasanya disebabkan oleh organisma seperti bakteria yang menjangkiti salur kencing. Antara organisma jangkitan kelamin yang menjadi punca kegatalan uretra adalah:
- Neisseria gonorrhoeae.
- Chlamydia trachomatis.
- Trichomonas vaginalis.
Kegatalan bukan akibat jangkitan kelamin
Kegatalan uretra juga boleh terjadi dalam kalangan mereka yang tidak aktif melakukan seks.
Selain itu, ia juga boleh berlaku pada mereka yang sentiasa menggunakan perlindungan ketika berhubungan dan juga mereka yang hanya melakukan seks dengan pasangan yang tidak mempunyai apa-apa penyakit.
Punca kegatalan uretra yang tidak disebabkan oleh jangkitan kelamin adalah seperti berikut:
- Iritasi akibat geseran kuat ketika seks.
- Iritasi daripada pendedahan kepada darah haid (seks ketika haid).
- Iritasi akibat bahan kumuh atau najis (seks anal).
- Penggunaan sabun yang meresap masuk ke dalam uretra ketika mencuci.
[embed-health-tool-ovulation]
Cara hilangkan gatal kemaluan
Untuk mengelakkan rasa gatal pada kemaluan atau salur kencing, pastikan anda mencuci bersih bahagian tersebut terutama sekali selepas membuang air kecil atau melakukan hubungan intim.
Selain itu, jika anda mengalami kegatalan, anda boleh menggunakan krim antikulat atau kortison sebagai cara hilangkan gatal.
Krim antikulat boleh digunakan pada bahagian luaran dan juga dalaman (dalam faraj).
Namun krim kortison hanya boleh disapu pada bahagian luar kemaluan sahaja.
Walau bagaimanapun, jika cara hilangkan gatal ini masih tidak berkesan, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
Kesimpulan
Tuntasnya, bukan semua kegatalan kemaluan itu disebabkan oleh penyakit berjangkit. Boleh jadi, ianya disebabkan oleh cara anda melakukan seks dan juga cara anda mencuci kemaluan.
Sekiranya anda tidak pasti apakah kemungkinan punca kegatalan uretra anda, segeralah berjumpa doktor.
Penilaian menyeluruh akan dilakukan untuk mengenal pasti punca masalah anda dan rawatan khusus juga dapat diberi. Dalam kes penyakit jangkitan kelamin, pasangan anda mungkin akan dirawat sekali bagi mengelakkan jangkitan sama berulang setiap kali anda bersama dengan si dia.
Tanpa diagnosis yang rasmi, anda mungkin menghidap jangkitan dan berisiko untuk menyebarkannya kepada orang lain.