backup og meta

Sebaiknya Sebelum Rancang Nak Hamil, Buat Dulu Ujian Penyakit Kelamin! Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/02/2021

    Sebaiknya Sebelum Rancang Nak Hamil, Buat Dulu Ujian Penyakit Kelamin! Ini Sebabnya

    Penyakit kelamin seperti HIV, gonorea, sifilis dan chlamydia mungkin bukanlah satu perkara yang baharu kerana kami pasti anda pernah mendengar mengenainya.

    Kesemua penyakit ini adalah penyakit kelamin bagi lelaki dan juga wanita yang boleh berjangkit daripada aktiviti seks yang berisiko.

    Jika anda atau individu terdekat baru sahaja terlibat dengan hubungan seks yang berisiko, adalah disarankan untuk menjalani ujian penyakit kelamin bagi mengesan risiko terhadap penyakit-penyakit di atas. 

    Namun, itu bukan hanya satu-satunya sebab mengapa anda perlu menjalani ujian penyakit kelamin.

    Ada beberapa sebab lain yang perlu anda tahu. Lihat apa yang kami sediakan di bawah ini.

    Sebab-sebab mengapa anda perlu menjalani ujian penyakit kelamin

    Seperti mana penyakit-penyakit lain, penyakit kelamin juga boleh memiliki atau menunjukkan pelbagai simptom yang boleh menjejaskan kehidupan seharian anda.

    Mungkin kemaluan anda akan berasa sakit, gatal-gatal atau berlakunya kelemahan sistem imun tubuh. 

    Jika lambat didiagnosis, ia berisiko besar untuk menjangkiti individu lain selain menimbulkan komplikasi pada diri sendiri.

    Anda perlu melakukan ujian penyakit jangkitan seksual setelah terlibat dengan beberapa keadaan atau situasi seperti berikut:

    #1. Aktif melakukan hubungan seksual

    penyakit kelamin bagi lelaki

    Bagi mereka yang aktif dan sering melakukan hubungan seks, anda lebih berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit kelamin.

    Melakukan hubungan intim tanpa sebarang perlindungan seperti kondom boleh memindahkan virus yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

    Oleh itu, ujian penyakit jangkitan seksual sangat dianjurkan kepada mereka yang aktif melakukan hubungan seksual sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. 

    Ia boleh membantu anda untuk mengesan sebarang jangkitan dengan lebih awal apatah lagi jika anda tidak menunjukkan sebarang simptom. 

    Antara jenis ujian penyakit kelamin bagi lelaki dan juga wanita ialah ujian chlamydia dan juga gonorea.

    #2. Hubungan seks sesama lelaki

    penyakit kelamin bagi lelaki

    Lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki juga berisiko untuk dijangkiti penyakit jangkitan seksual.

    Lebih-lebih lagi jika tidak memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

    Mereka yang terlibat digalakkan untuk menjalani ujian penyakit jangkitan seksual seperti ujian chlamydia, HIV, sifilis dengan lebih kerap iaitu setiap 3 atau 6 bulan sekali.

    Berbincanglah dengan doktor untuk menentukan kekerapan melakukan ujian penyakit kelamin bagi lelaki.

    #3. Jika anda seorang perempuan

    penyakit kelamin wanita

    Sesetengah jenis human papillomavirus (HPV) boleh menyebabkan golongan wanita berisiko untuk mendapat kanser serviks atau ketuat kelamin.

    Sebab mengapa ujian HPV perlu dilakukan adalah kerana virus HPV boleh menyebabkan berlakunya kanser serviks dalam kaum wanita.

    Ia sangat penting terutamanya bagi mereka yang aktif melakukan hubungan seksual yang berisiko dijangkiti, tetapi tidak menunjukkan simptom berkaitan. 

    Selain daripada ujian HPV, kaum wanita juga digalakkan untuk menjalani ujian HIV dan chlamydia. 

    #4. Merancang untuk hamil

    ibu hamil

    Selain daripada sebab-sebab di atas, anda juga digalakkan untuk menjalani ujian penyakit jangkitan seksual jika anda merancang untuk hamil.

    Ini sangat perlu untuk dilakukan terutamanya bagi mereka yang berisiko dijangkiti virus penyakit kelamin.

    Antara ujian yang perlu dilakukan sewaktu awal kehamilan ialah ujian sifilis, HIV, dan Hepatitis B.

    Ujian mungkin akan dilakukan dengan kerap untuk melindungi kesihatan ibu mengandung dan juga bayi di dalam kandungan.

    Ini kerana, penyakit jangkitan seksual yang dimiliki oleh ibu yang hamil boleh berpindah kepada janin yang berada di dalam kandungan.

    Amalkan gaya hidup sihat sepanjang masa

    Mencegah lebih baik daripada mengubat. Sesuai dengan kata-kata tersebut, anda perlu mengamalkan gaya hidup seksual yang sihat bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

    Ini termasuklah dengan memakai kondom, menjaga kebersihan kemaluan dan permainan seks, dan tidak bertukar-tukar pasangan.

    Selain itu, anda juga boleh mendapatkan vaksin bagi sesetengah penyakit jangkitan seksual seperti vaksin HPV bagi membantu anda mencegahnya dengan lebih berkesan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/02/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan