Keadaan lembap dan hangat ini hanya akan menggalakkan lagi pertumbuhan bakteria.
Oleh itu, rajin-rajinlah menukar tuala wanita anda ya! Bukan sahaja anda boleh elak kegatalan, tetapi juga boleh cegah sebarang bau yang tidak enak pada bahagian intim anda.
3. Anda mungkin mengalami jangkitan yis
Apabila anda datang bulan, hormon dalam badan akan turut berubah.
Perubahan ini bukan sahaja mempengaruhi mood anda, malah, keadaan pH pada vagina anda mungkin turut terjejas.
Perubahan ini boleh menggalakkan jangkitan yis pada bahagian intim anda. Candida albicans merupakan salah satu jenis fungi yang boleh menyebabkan kemaluan gatal.
Jika anda mengalami kesukaran untuk membuang air kecil, kegatalan pada kawasan vagina, atau vulva berwarna merah dan membengkak, anda mungkin telah terkena jangkitan yis.
Jangkitan yis bukan sahaja disebabkan oleh infeksi ketika datang bulan, ia juga boleh berlaku jika anda mengamalkan seks oral.
Selain itu, jangkitan yis juga adalah perkara yang biasa berlaku kepada wanita yang sedang mengambil antibiotik.
Elakkan meruang ketika anda datang bulan. Selain itu, pakai seluar dalam yang longgar dan diperbuat daripada kapas untuk elakkan daripada terkena jangkitan yis.
4. Anda mengalami vaginosis bakteria
Sama seperti jangkitan yis, vaginosis bakteria (bacterial vaginosis) mungkin berlaku akibat daripada perubahan pH pada kawasan intim anda.
Namun, jangan keliru antara jangkitan yis dan vaginosis bakteria ya. Berbeza dengan jangkitan yis, vaginosis bakteria adalah berpunca daripada pertumbuhan bakteria secara luar biasa pada vagina.
Keadaan ini akan mengakibatkan Miss V anda berbau hanyir dan mengeluarkan lendir berwarna yang lebih tebal daripada biasa.
Di samping kegatalan pada bahagian kemaluan, anda juga akan rasa pedih ketika membuang air kecil dan juga sakit di sekitar kawasan vagina.
5. Anda mungkin mengalami sesuatu yang berbeza sama sekali!
Jika anda mengalami rasa gatal kemaluan yang berpanjangan walaupun ketika anda tidak datang bulan, sudah sampai masanya untuk anda dapatkan pandangan daripada pakar.
Mungkin anda mempunyai masalah lain yang menyebabkan kegatalan. Tetapi, ketika anda datang bulan, kegatalan itu mungkin menjadi lebih teruk dan buatkan anda rasa tidak selesa.
Penting untuk anda berjumpa dengan doktor supaya penyakit anda dapat dikenalpasti dan dirawat dengan sebaiknya.
Kesimpulan

Ketika datang bulan, wanita perlulah menjaga kebersihan diri dengan lebih rapi.
Akan tetapi, walaupun anda telah menjaga kebersihan diri dan menukar pad dengan kerap, kadang-kadang masih ada masalah vagina gatal.
Penukaran jenama tuala wanita lain yang bebas bahan kimia mungkin boleh menjadi penyelesaian mudah kepada masalah anda.
Namun, anda perlu tahu bila masanya perlu berjumpa dengan doktor. Jika kegatalan anda berlarutan, cepat-cepatlah berjumpa pakar untuk rawatan lanjut.